Awal pagi, di restoran mamak 24 jam.
Cikgu X baru selesai mengisi perut yang sudah lama kosong. Dia bersandar dengan wajah yang lebih bermaya. Satu per satu wajah di hadapannya itu diperhati.
"Cikgu, mereka ini kecil-kecil cili api," ujar Kimi. "Tanpa bantuan mereka ini, saya tidak akan berjaya jumpa cikgu."
"Terima kasih, anak-anak," balas Cikgu X bersama senyuman.
"Mengapa cikgu dikurung di dalam bilik itu?" soal Iskandar sesudah menyedut air teh O ais limau. Roti canai di hadapannya baru berusik separuh.
Cikgu X menarik nafas dalam dan menghembus panjang. Dia memandang ke arah langit pagi yang dicemari suluhan lampu neon. "Kamu semua tentu sudah tahu. Saya ialah salah seorang ahli kongsi gelap X. Saya dihantar ke sekolah-sekolah sebagai guru ganti, dengan tujuan merekrut ahli dalam kalangan pelajar sekolah. Tetapi, selepas berjumpa Kimi, semuanya berubah. Saya tidak lagi mahu meneruskan misi jahat itu. Saya tidak mahu merosakkan masa hadapan pelajar-pelajar yang berpotensi, seperti Kimi."
"Adakah disebabkan itu, cikgu telah dikurung oleh Bad?" soal Iskandar.
Cikgu X mengangguk, kemudian meneruskan bicara, "Saya berjumpa Bad dan menyatakan hasrat menarik diri dari aktiviti kongsi gelap. Bad amat marah hingga wajahnya jadi merah. Tidak pernah saya lihat dia beremosi sebegitu. Biasanya dia tenang dan sabar. Terus dia arahkan saya dikurung di bilik paling bawah. Bilik yang digunakan untuk mengurung pesalah paling besar dalam kumpulan kongsi gelap X. Para pengkhianat."
Wajah Cikgu X berubah menjadi keruh sebaik teringat pengalaman dikurung dalam bilik itu. Itulah pengalaman paling dahsyat yang pernah dia alami sepanjang usianya yang mencecah 40-an.
"Sekarang, apa yang cikgu akan lakukan?" soal Kimi. "Kongsi gelap X sudah dibubarkan. Bad sudah ditangkap. Sekarang ini, cikgu sudah bebas, bukan?"
Cikgu X merenung dalam-dalam wajah polos Kimi. "Saya belum bebas, Kimi. Saya masih dibelenggu dosa masa silam. Saya akan serahkan diri kepada pihak polis. Saya mahu tebus segala kesilapan yang telah saya lakukan semasa bergelar ahli kongsi gelap X."
"Cikgu, tentu ada hikmahnya cikgu masih belum ditangkap oleh pihak polis," ujar Fateh. "Bad juga tidak terus beritahu lokasi cikgu. Dia telah berikan lokasi cikgu dalam bentuk kod rahsia. Bermaksud dia tidak mahu cikgu ditangkap. Benar, cikgu pernah buat kesalahan, tetapi cikgu sudah bertaubat."
"Betul!" sahut Iskandar, kemudian menyambung penuh semangat, "Ustaz ada beritahu. Jika kita bertaubat dengan bersungguh-sungguh, berazam tidak mengulang dosa lama, insya-Allah dosa-dosa kita akan diampunkan oleh Allah. Jika cikgu bertaubat kepada Allah dan berjanji tidak lagi buat jenayah, cikgu tidak perlu serah diri kepada polis."
Balqis mengangguk, turut bersetuju dengan pendapat Iskandar. Gadis itu mencelah, "Saya setuju. Cikgu boleh tebus kesilapan lama dengan cara membuat kebaikan baru. Berbakti kepada masyarakat. Mendidik anak bangsa. Saya yakin, itu yang sebaiknya."
Iskandar tersipu-sipu kerana pendapatnya dipersetujui oleh Balqis.
Cikgu X memerhatikan satu per satu wajah bersih di hadapannya. Kemudian dia tertunduk menahan rasa sebak. "Terima kasih, anak-anak. Terima kasih."
Kimi menepuk lembut bahu Cikgu X. "Alhamdulillah, Allah berikan peluang kedua kepada cikgu."
Cikgu X meminta diri pulang ke rumahnya. Sebelum mereka yang lain bersurai pulang, sempat Balqis bersuara, "Syukur, misi kita selesai. Tahniah kepada Fateh sebab banyak berikan sumbangan kepada siasatan kita."
Fateh segera menolak pujian itu, "Ish, kalau tiada kamu semua, saya pun tiada keberanian dan kekuatan untuk buat siasatan. Kamu semua ialah sumber inspirasi saya. Terima kasih, Abang Kimi, Balqis, Iskandar, dan Salahuddin!"
Iskandar mengangguk dengan senyuman kelat. Hati dia rasa tidak sedap apabila Balqis hanya beri penghargaan kepada Fateh, sedangkan mereka yang lain juga ada memainkan peranan penting. Namun Iskandar hanya menyimpan rasa itu dalam hati. Tidak patut dia rasa cemburu pada Fateh. Memang kawan baiknya itu seorang yang genius dan berbakat menjadi detektif handal.
***
Iskandar melangkah masuk ke dalam biliknya. Dia melompat ke atas katil dan menggeliat puas-puas. Berbunyi tulang-temulang pada tubuhnya.
"Mengantuknya, ya Allah!" Dia sudah tidak mampu menahan kelopak mata.
Namun belum sempat dia memasuki alam mimpi, terdengar bunyi notifikasi daripada jam pintar. Spontan dia mengangkat tangan dan mengerling ke arah paparan jam. Ada masuk satu emel daripada nama yang amat dia kenali.
"Sher ... lock?" Iskandar berkerut melihat paparan nama penghantar emel.
Emel itu berbunyi begini:
"Hai, Iskandar.
Nama saya Sherlock. Saya seorang detektif.
Saya boleh bantu kamu selesaikan sebarang kes misteri dan penyiasatan.
Termasuklah menangkap pencuri Lupin.
Ikhlas,
Sherlock"
"Apa ini? Modus operandi baru scammer?" gumam Iskandar dengan mata kuyu.
Tidak lagi mampu menahan kantuk, dia terus terlelap.
***
Kimi menghantar Fateh hingga ke pintu pagar rumah.
"Fateh, terima kasih banyak atas bantuan kamu dan kawan-kawan. Tidak terbalas jasa baik kamu semua," ujar Kimi bersama senyuman lebar.
Fateh mengangguk. "Terima kasih juga kepada Abang Kimi kerana percaya pada kami. Banyak yang kami belajar dalam misi kali ini."
"Selepas ini, kalau kamu perlu sebarang bantuan, kamu tahu cara hubungi saya."
Fateh mengangguk. Mereka bersalam buat kali terakhir kemudian Kimi beredar pergi. Fateh membuka kunci pintu dan melangkah masuk ke dalam rumah.
Fateh terkejut sebaik dia membuka lampu ruang tamu. Ada dua susuk orang dewasa sedang duduk di sofa.
"Abah! Ibu!" laung Fateh. Terus hilang rasa mengantuk sebaik ternampak dua wajah yang amat dirindui itu.
Ayah dan ibu Fateh bangun dari sofa bersama senyuman, dan tiga beranak itu berpelukan erat. Sudah genap seminggu mereka tidak bertemu.
"Kami sudah selesaikan kes," ujar ayah Fateh.
"Kami akan bercuti selama lima hari!" sambung ibu Fateh pula.
Mata Fateh buntang memandang wajah ibu dan ayahnya. "Selama lima hari, abah dan ibu akan berada di rumah?"
Ayah dan ibu Fateh mengangguk gembira. Sebagai detektif tersohor, mereka tiada cuti tahunan seperti orang lain. Malah mereka bekerja tujuh hari seminggu demi membanteras jenayah. Khidmat mereka sentiasa diperlukan oleh pihak polis. Namun kali ini, mereka bersungguh meminta cuti supaya dapat luangkan masa bersama Fateh iaitu anak tunggal mereka.
"Alhamdulillah! Rasa macam tidak percaya!" Fateh memeluk ibu dan ayahnya lebih erat. Dibenamkan wajahnya yang tembam pada perut ayahnya yang kian membulat.
"Abah, ke mana perginya six pack abah?" soal Fateh dengan naif.
"Ada, sedang bersembunyi di balik lemak. Huhu!" balas ayah Fateh, disahut tawa ibunya.
"Sejak kes kongsi gelap X selesai, abah jadi senang hati. Selera dia semakin bertambah hingga pemakanan langsung tidak dijaga," jelas ibu Fateh, menyebabkan ayahnya berkerut malu.
YOU ARE READING
Misi Detektif Fateh: Sherlock vs Lupin
Bí ẩn / Giật gânCerita ini merupakan sambungan kepada novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, juga sambungan bagi komik Misi 4 Flat X dan Misi Kimia. Dalam Perang Mental, Fateh dan kawan-kawan berjaya memberkas Didi Amin atas bantuan Kimi. Sebagai timbal balik, m...