Bab 6: Kes Misteri Paling Sukar dan Menghairankan

21 1 0
                                    

Fateh baru selesai menamatkan panggilan video. Dia menutup komputer riba dan bangun dari kerusi.

Terkejut besar dia apabila mendapati ibu dan ayahnya sedang berdiri di belakang sambil memandang dirinya dengan wajah serius.

"Ada apa, abah, ibu?" soal Fateh dengan wajah polos.

"Abah rasa, sudah tiba masanya kami berikan satu kes misteri kepada Fateh," jawab ibunya.

Ayahnya mengangguk dan menyambung, "Kami mahu Fateh selesaikan kes misteri ini. Tetapi untuk pengetahuan Fateh, ini adalah kes misteri yang paling sukar dan menghairankan!"

Mata Fateh buntang sebaik mendengar perkataan-perkataan yang paling digemarinya, iaitu 'kes', 'misteri', dan 'sukar'. Itulah kata-kata kunci yang boleh memutar tombol keterujaan dalam jiwanya.

"Baik, saya sudah bersedia!" sahut Fateh sambil menggenggam erat kedua-dua buku lima.

"Kalau Fateh sudah sedia, mari ikut abah."

Ibu dan ayah Fateh berjalan ke stor yang terletak di bawah tangga. Fateh mengekori dari belakang dengan fikiran yang ligat memikirkan kes misteri yang bakal dihadapinya. Mungkinkah kes pembunuhan dalam bilik tertutup? Adakah kes penculikan yang belum diselesaikan? Kes kod rahsia dalam lukisan Da Vinci?

Selepas hampir 10 minit mengeledah stor, akhirnya ayah Fateh membawa keluar sebuah kotak yang dipenuhi wayar. Kotak itu diletakkan di atas lantai dengan berhati-hati. Di belah atas wayar-wayar berselirat, terdapat sebuah gajet yang belum pernah Fateh nampak.

Ibu Fateh mengambil gajet itu dan menghulurnya kepada Fateh. "Ini ialah perakam video yang lama. Kes misteri itu, ada dirakam di dalamnya."

Ayah Fateh menyambung, "Tetapi untuk membolehkan kamu tonton rakaman di dalam perakam ini, kamu perlu cari wayar yang betul. Wayar itu perlu disambungkan dari perakam video ke televisyen."

Bulat mata Fateh melihat wayar-wayar yang berselirat di dalam kotak. "Saya perlu cari satu wayar yang betul daripada kesemua wayar ini?"

Serentak ayah dan ibu Fateh mengangguk bersama senyuman yang penuh dorongan.

"Kami tinggalkan Fateh di sini, ya. Apabila sudah jumpa wayarnya, Fateh panggil kami," ucap ibunya, sebelum mereka berdua beredar meninggalkan Fateh di situ.

Fateh duduk di hadapan kotak sambil merenung wayar-wayar panjang yang pelbagai bentuk dan warna. Dia cuba tarik salah satu wayar, namun wayar itu terikat dengan wayar-wayar lain.

"Demi kes misteri paling sukar, aku mesti cari wayar yang tepat!" azam Fateh dalam hati.

Selepas sejam, Fateh masih gagal mencari wayar yang betul. Dia baru dapat meleraikan tiga helai wayar, dan semuanya tidak boleh disambungkan kepada perakam kerana port yang tidak sepadan.

Fateh terbaring keletihan. Dia sudah kepenatan fizikal dan mental.

"Letihnya mencari wayar! Aku tidak mahu buat kerja ini! Aku cuma mahu selesaikan kes misteri menggunakan akal fikiran dan kebijaksanaan!" teriak Fateh dalam hatinya. Dia tidak mahu luahkan menerusi mulut. Takut ibu dan ayahnya terdengar, kemudian berkecil hati.

"Fateh, semua okey?" soal ibunya yang tiba-tiba menjengah.

Fateh segera bangun sebaik ternampak wajah ibunya. Dia tidak mahu tunjuk lemah dan mengalah di hadapan manusia yang paling dia sayang.

"Okey, ibu. Cuma Fateh perlukan sedikit masa," balas Fateh bersama senyuman tawar.

Ibunya mengangguk, senyum. "Ambillah masa sebanyaknya, Fateh. Jika penat, berehatlah sekejap. Tetapi jangan berhenti terus. Detektif hebat tidak akan pernah menyerah kalah walau sesukar mana pun misteri itu."

Fateh melepaskan keluhan kecil. "Tetapi meleraikan wayar berselirat ini bukan kes misteri atau kerja detektif, ibu."

Ibu Fateh bertinggung kemudian menepuk lembut bahu Fateh. "Kami sudah jadi detektif sejak Fateh belum lahir lagi. Majoriti kes misteri yang kami hadapi tidak diselesaikan dengan kepintaran atau fikiran genius."

"Habis itu, apa?" soal Fateh.

"Kesabaran," jawab ibunya, ringkas tetapi padat dan membuka mata.

Ibunya meneruskan bicara, "Detektif yang bersabar menyelesaikan misteri itu lebih diperlukan berbanding detektif genius yang kurang bersabar."

Fateh berkerut mendengar bicara ibunya. Dia berusaha membenam ayat itu ke dalam akal dan jiwanya supaya tidak luput ditelan masa.

"Baiklah, ibu. Saya sudah faham. Terima kasih!" balas Fateh.

Semangat juang kembali membara dalam dirinya. Pada wajah dia, terlakar senyuman yang penuh yakin dan bijaksana. Senyuman seorang detektif handalan!

You've reached the end of published parts.

⏰ Last updated: Mar 09 ⏰

Add this story to your Library to get notified about new parts!

Misi Detektif Fateh: Sherlock vs LupinWhere stories live. Discover now