"Apa yang awak jumpa, Fateh?" soal Iskandar sambil melihat pada kertas yang sedang ditenung oleh Fateh. Salahuddin dan Balqis turut merapati.
"Kamu berjaya bongkar kod rahsia?" soal Kimi, disambut anggukan kepala Fateh.
"Kata-kata Abang Kimi tadi telah berikan klu yang penting," ujar Fateh. "Fungsi kod rahsia ialah menyembunyikan sesuatu, iaitu jawapan. Semasa jumpa Bad, kita telah bertanya kepada dia lokasi Cikgu X. Tetapi Bad tidak terus beritahu lokasi. Dia cuma ucapkan serangkap pantun. Bad telah sembunyikan jawapan bagi soalan kita itu dalam pantunnya. Dalam pantun Bad, ada diberitahu lokasi Cikgu X!"
"Bagaimana?" soal Iskandar, tidak sabar-sabar.
Fateh senyum, kemudian dia tuding ke arah pantun yang tertulis pada kertas. "Cuba kamu semua baca suku kata pertama bagi setiap baris pantun."
Mereka yang lain berkerut melihat pantun pada kertas. Kemudian hampir serentak, mata mereka membuntang.
"Ba.. wah... mar... kas...?" ucap Balqis.
"Bawah markas?" ulang Salahuddin.
Kimi tersengih lebar. "Bawah markas! Cikgu X ada di bawah markas kumpulan kongsi gelap X!"
Fateh mengangguk dan bersuara, "Semua ahli kumpulan kongsi gelap X sudah ditangkap, kecuali Cikgu X. Dia telah dikurung di dalam sebuah bilik rahsia yang terletak di bawah markas. Bad tidak mahu Cikgu X ditangkap oleh pihak polis, jadi dia berikan kod rahsia supaya kita dapat bebaskan Cikgu X."
"Genius!" Iskandar menepuk kuat bahu Fateh hingga kawan baiknya itu mengaduh.
Kimi dan Fateh bangun berdiri hampir serentak. "Kamu semua tinggal di sini. Saya mahu pergi bebaskan Cikgu X!" ujar Kimi.
Mereka yang lain turut sama berdiri. Namun, mereka tidak rancangan untuk tinggal di situ.
Balqis bersuara, "Maaf, Abang Kimi. Cadangan ditolak."
"Kali ini kami tidak mahu tersisih lagi," ujar Iskandar.
"Kita selesaikan misi ini sama-sama!" ucap Salahuddin dengan penuh semangat.
Kimi dan Fateh saling berpandang. Mereka tiada pilihan lain.
***
Malam itu bulan penuh dan tidak berawan. Mudah mereka berlima memasuki kawasan markas kongsi gelap X. Markas itu sebenarnya sebuah rumah agam yang rekaannya seperti rumah lama. Suasana sunyi dan hening. Hanya kedengaran bunyi cengkerik, berselang-seli bunyi katak yang meminta hujan.
Pintu hadapan markas telah disita dengan tali kuning berbelang hitam. Kimi memberi isyarat dan kemudian berjalan ke tepi markas. Empat kanak-kanak mengekori langkah Kimi dengan berhati-hati. Kimi pernah masuk ke dalam markas itu bagi menyelamatkan Mat. Maka Kimi sudah tahu selok-beloknya.
Mereka berlima masuk ke dalam markas menerusi pintu dapur di belah belakang. Kimi berjalan paling hadapan sambil menyuluh dengan telefon pintar. Fateh, Iskandar, dan Balqis berjalan mengekori Kimi, manakala Salahuddin berada paling belakang.
Mereka menuruni tangga elips yang menghala ke ruang bawah tanah. Bunyi keriut anak-anak tangga kayu yang dipijak membangkitkan suasana seram. Iskandar mula menyesal kerana turut serta dalam misi itu. Namun melihatkan Balqis yang tidak kelihatan gentar, semangat Iskandar kembali pulih.
Mereka tiba di ruang bilik kurungan yang satu masa dahulu pernah mengurung Mat. Namun, semua bilik kurungan itu kosong tidak berpenghuni.
"Di mana Cikgu X?" bisik Iskandar sambil menyuluh cahaya dengan jam pintar.
"Kita sudah sampai di bawah markas," sahut Salahuddin sambil matanya melihat sekeliling.
Fateh berkerut. Matanya tajam melingas ke segenap sudut ruang sempit itu. "Mungkin ada bilik rahsia yang pintunya tersembunyi."
"Cikgu X!" Tiba-tiba Kimi berteriak, menyebabkan yang lain terkejut. "Cikgu X! Cikgu X di mana?" Suara Kimi bergema, disahut suasana hening.
Tiba-tiba kedengaran sayup-sayup suara seseorang. Iskandar membuka pengesan bunyi pada jam pintar. Pada skrin, terpapar bentuk gelombang beramplitud rendah. Perisian pengesan bunyi itu 100 kali lebih sensitif berbanding telinga manusia. Mampu mengesan gelombang bunyi dan frekuensi yang berada di luar julat pendengaran manusia biasa.
"Ada suara menyahut!" ujar Iskandar, teruja.
Mereka berpecah kepada dua kumpulan. Kimi dan Fateh sekumpulan, manakala Iskandar, Salahuddin dan Balqis sekumpulan. Mereka berpecah supaya lebih pantas mencari petunjuk yang membawa kepada penemuan Cikgu X. Mereka beberapa kali memeriksa bilik-bilik kurungan, namun tiada hasil.
"Di mana Cikgu X dikurung?" gumam Iskandar yang wajahnya kini dibasah peluh. Keadaan di bilik bawah tanah itu amat bahang dan kepam.
Salahuddin berjalan perlahan sambil tangannya meraba dinding. Tiba-tiba dia mendapati sesuatu yang aneh pada bunyi tapak kakinya. Lantai yang sedang dipijaknya seakan-akan ada lompong. Dia memijak-mijak lantai dengan kuat. Kedengaran bunyi lompong yang berbeza daripada bunyi pijakan lantai di tempat lain.
"Kawan-kawan, ada sesuatu tentang lantai di sini!" laung Salahuddin, menyebabkan mereka yang lain datang merapati.
Fateh melompat-lompat di atas bahagian lantai yang dimaksudkan oleh Salahuddin. Iskandar pula menyuluh ke bahagian lantai itu. Ada garis panjang berbentuk segi empat sama, membentuk pintu rahsia pada lantai.
"Bagaimana cara untuk buka pintu ini? Tiada pemegang atau selak," soal Balqis.
"Ya, anehnya!" sahut Iskandar. "Umpil guna besi pun tidak boleh. Bukaan pintu ini terlalu sempit. Mustahil kita boleh buka pintu ini!"
Fateh melihat sekeliling. Berhampiran mereka, ada sebuah meja kayu kecil dan dua kerusi. Di atas meja itu, terdapat besi berbentuk C. Fateh merapati meja dan mengangkat besi itu. Beratnya lebih kurang 5 kilogram. Hampir saja terlepas dari tangan Fateh disebabkan terlalu berat. Fateh mengangkat dengan dua tangan dan membawanya ke pintu rahsia pada lantai.
"Apa itu?" soal Iskandar sambil menyuluh ke arah besi padat yang diangkat Fateh.
Fateh meletakkan besi di atas pintu rahsia. Dia menggerakkan besi itu ke kiri dan kanan. Tiba-tiba besi itu mengeluarkan bunyi 'klik' dan melekat kuat pada pintu rahsia.
"Adakah itu pemegang pintu rahsia?" soal Balqis.
"Ya!" sahut Kimi bersama senyuman lebar. "Dan pemegang ini gunakan magnet!"
Salahuddin bergerak ke hadapan lalu menarik pemegang pintu rahsia. Berat. Salahuddin menarik dengan sekuat hati. Perlahan-lahan pintu terangkat, dan Kimi bantu menolak pintu itu hingga terbuka sepenuhnya.
Iskandar menyuluh ke arah lubang berbentuk segi empat pada lantai yang kini tersingkap. Terdapat sebuah tangga besi menegak yang menghala ke bahagian bawah lantai. Salahuddin yang pertama menuruni tangga, diikuti Kimi dan yang lain-lain.
Selepas turun dari tangga, mereka tiba di hadapan sebuah pintu besi. Tidak seperti pintu di bilik kurungan atas, pintu besi itu tertutup sepenuhnya, tiada jeriji atau ruang pengudaraan. Di bahagian tengah pintu, terdapat selak besar yang mengunci pintu itu.
Kimi membuka selak, kemudian menolak daun pintu besi itu. Kedengaran bunyi berkeriut yang lantang bergema. Di balik pintu besi itu adalah sebuah bilik kurungan sempit yang berbau hamis.
"Siapa itu?" laung satu suara dari sudut bilik kurungan.
Iskandar menyuluh ke arah suara. Kelihatan susuk seorang lelaki yang bertubuh mering dan berpakaian lusuh. Rambutnya kusut-masai dengan kumis yang berbentuk X. Lelaki itu menutup bahagian matanya daripada terkena suluhan cahaya.
"Siapa?" soal lelaki itu sekali lagi dengan suara bergetar.
"Ini saya, anak murid cikgu," jawab Kimi. Dadanya sebak melihat guru kesayangannya dalam keadaan cukup menyedihkan.
"Kimi? Adakah kamu Kimi?" teka Cikgu X sambil perlahan-lahan menurunkan tangannya dari wajah.
"Cikgu masih ingat saya?" soal Kimi sambil berjalan merapati Cikgu X.
Sebaik melihat wajah Kimi, Cikgu X berusaha menarik senyuman dengan saki-baki tenaga. "Mestilah ingat. Kamu ialah pelajar terbaik saya."
Mata Kimi berkaca. Dia berusaha menahan air mata jantan tumpah ke pipi. Akhirnya dia berjaya temui Cikgu X, iaitu guru yang menyebabkan dia jatuh cinta pada bidang Kimia.
YOU ARE READING
Misi Detektif Fateh: Sherlock vs Lupin
Mystery / ThrillerCerita ini merupakan sambungan kepada novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, juga sambungan bagi komik Misi 4 Flat X dan Misi Kimia. Dalam Perang Mental, Fateh dan kawan-kawan berjaya memberkas Didi Amin atas bantuan Kimi. Sebagai timbal balik, m...