"Is, mengapa awak sudah tiga hari tidak ke sekolah?" soal Fateh menerusi panggilan video pada komputer riba. Terkeluar angin sendawa dari mulutnya. Bau nasi lemak dan sambal sotong. Dia duduk di meja makan yang baru dibersihkan.
"Saya batuk pagi tadi," balas Iskandar.
"Adakah awak terkena virus selesema?" soal Fateh.
"Bukanlah. Saya cuma terbatuk dua kali pagi tadi. Mama risau, jadi dia kata saya tidak perlu ke sekolah. Rehat saja di rumah. Jadi, terpaksalah saya duduk di rumah, bermain permainan komputer."
"Terpaksa, ya? Kasihan awak," usik Fateh.
"Adakah awak rindukan rakan penyiasat awak ini?" usik Iskandar kembali.
Fateh segera menggeleng. "Ish, gelilah! Saya cuma mahu beritahu, ada berlambak-lambak kerja sekolah. Jangan terlalu leka main permainan komputer."
"Baiklah, baiklah." Tiba-tiba tona suara Iskandar berubah menjadi teruja, "Eh, lupa mahu beritahu! Awak ingat tentang berlian terbesar dunia yang dibuka bidaan itu? Yang Balqis beritahu tempoh hari."
Fateh berkerut, cuba mengingat. "Ya, ingat. Mengapa? Sudah ada pembeli?"
"Betul! Cuba teka siapa pembeli berlian terbesar itu!"
Fateh mengangkat kening. "Adakah saya kenal orang itu?"
"Awak mungkin tidak kenal dia, tetapi saya sangat kenal!" balas Iskandar, separa berteriak.
"Kalau begitu, bagaimana saya boleh teka pula?" balas Fateh, mengaku kalah. "Cakaplah, siapa yang beli berlian itu?"
"Pak cik saya! Pak Cik Wang!" laung Iskandar.
"Pak Cik ... Wang?" ulang Fateh. Pertama kali dia dengar nama itu.
"Ya, nama sebenar dia Ridhwan. Oleh kerana dia berasal dari Terengganu, maka kami panggil dia Pak Cik Wang. Dia memang seorang bilionair, tetapi tidak sangka pula dia yang berjaya membida berlian itu. Tahu berapa Pak Cik Wang bayar untuk dapatkan berlian itu?"
"RM100 juta?" teka Fateh.
"RM247 juta!" balas Iskandar, menyebabkan mata Fateh buntang. Tidak terbayang jumlah duit sebanyak itu.
Tiba-tiba seseorang memasuki panggilan video. Tertera nama 'Salahuddin' pada skrin. Pantas Iskandar membenarkan Salahuddin menyertai panggilan video.
"Salahuddin, mahu tahu satu berita gempar?" soal Iskandar dengan nada suara yang sama teruja seperti dia beritahu Fateh sebentar tadi.
Salahuddin senyum. "Adakah berkaitan berlian terbesar di dunia?"
Mata Iskandar buntang. "Adakah awak juga sudah jadi detektif handal seperti Fateh? Ah, mengapa semua orang sudah jadi hebat? Saya saja yang masih belum handal! Huhu!"
"Bagaimana awak tahu, Salahuddin?" soal Fateh.
"Sebenarnya, pak cik saya bekerja dengan pak cik Iskandar. Nama pak cik saya ialah Samsol. Dia yang ceritakan tentang berlian terbesar dunia yang kini dimiliki Pak Cik Wang," jelas Salahuddin.
Mata Iskandar semakin buntang. "Pak Cik Samsol itu ialah bapa saudara awak, Salahuddin? Baru saya tahu. Pak Cik Wang selalu puji Pak Cik Samsol. Katanya, tiada orang yang sejujur Pak Cik Samsol."
Salahuddin mengangguk bangga. "Betul. Sebab itulah, Pak Cik Samsol jadi ketua pasukan keselamatan yang menjaga berlian itu."
Ada seorang lagi mahu menyertai penggilan video mereka. Melihat nama yang tertera pada skrin, sepantas kilat Iskandar membenarkan orang itu masuk ke dalam panggilan.
"Hei, mengapa awak semua bermesyuarat tanpa ajak saya?" ucap Balqis dengan wajah masam berkerut. "Adakah awak semua mahu sisihkan saya lagi? Kes misteri apa pula kali ini?"
"Eh, bukan, bukan!" balas Iskandar sambil mengangkat kedua-dua tangan. "Kami bercakap kosong saja, berkenaan berlian terbesar dunia yang awak bangkitkan tempoh hari. Berlian itu sudah pun dimiliki ... oleh pak cik saya!"
Mata Balqis bergemerlapan sebaik mendengar berita itu. "Pak cik awak, Iskandar? Adakah dia mahu hadiahkan kepada saya?"
Iskandar menggaru dahi. "Errr, tidak pula saya dengar pak cik saya mahu hadiahkan kepada awak atau sesiapa. Maaf, Balqis."
Bibir Balqis memuncung. "Sedihnya saya!"
Iskandar sekadar sengih dalam kebuntuan kata-kata. Kalaulah dia kaya, tentu dia sudah beli berlian terbesar itu dan hadiahkan kepada Balqis.
Sementara itu, ibu dan ayah Fateh memerhatikan gelagat anak tunggal mereka. Wajah Fateh kelihatan bercahaya dan ceria. Jauh berbeza daripada Fateh sebelum ini, yang selalu muram dan mendung.
"Lihatlah. Anak kita sudah jumpa kawan baik," bisik ibu Fateh kepada suaminya.
Ayah Fateh mengangguk bersama senyuman lebar. "Alhamdulillah. Nasib baiklah kita tidak perlu berpindah dalam masa terdekat. Bayangkan kalau dia perlu berpindah sekolah dan terpaksa berpisah dari kawan-kawan baiknya itu."
"Dia tentu akan sedih," balas ibu Fateh.
"Begitulah kehidupan. Ada pertemuan dan perpisahan," ucap ayah Fateh. "Satu hari nanti, Fateh akan berpisah juga dari kawan-kawannya itu."
"Betul." Ibu Fateh mengangguk, menyambung, "Tetapi sementara mereka masih bersama, biarlah mereka menikmati setiap saat dan detik yang berlalu."
Ayah Fateh turut mengangguk. Mereka berdua senyap seketika, leka memerhatikan Fateh yang sedang tertawa sambil berbicara menerusi panggilan video.
"Saya rasa, sudah tiba masanya kita berikan kes misteri itu kepada Fateh untuk dia selesaikan," ujar ayah Fateh. Raut wajah dan tona suaranya berubah secara mendadak, menjadi serius.
"Kes ... yang itu?" soal ibu Fateh. Bulat mata dia merenung wajah suaminya yang tercinta.
"Ya, sayang," sahut ayah Fateh. "Kes misteri yang paling sukar dan menghairankan!"
YOU ARE READING
Misi Detektif Fateh: Sherlock vs Lupin
Mystery / ThrillerCerita ini merupakan sambungan kepada novel Misi Detektif Fateh: Perang Mental, juga sambungan bagi komik Misi 4 Flat X dan Misi Kimia. Dalam Perang Mental, Fateh dan kawan-kawan berjaya memberkas Didi Amin atas bantuan Kimi. Sebagai timbal balik, m...