BAB 3

502 16 0
                                    

Setelah habis secawan kopi yang dibancuh Ashraf Izuan diteguknya, Tan Sri Wahid dan Puan Seri Aisyah sama-sama meloloskan diri ke dalam BMW milik Tan Sri Wahid dan terus lesap di balik tembok banglo mewah yang menjulang tinggi hingga hampir menutup pemandangan dari luar itu.

Tan Sri Wahid seperti biasa, dia akan menghabiskan waktu senggangnya di kafe miliknya walaupun kafe yang berkonsepkan ala-ala Jepun itu sentiasa diuruskan dengan baik oleh pekerja-pekerjanya. Mungkin kerana Puan Seri Aisyah sering saja sibuk dengan butik pengantinnya, jadi Tan Sri Wahid juga sengaja menghabiskan waktunya di W.A kafe. Di rumah, tiada kerja yang boleh Tan Sri Wahid buat selain membaca. Kalau di restoran, boleh juga lelaki itu berbual-bual dengan pekerja-pekerja dan pelanggan-pelanggan tetapnya di situ.

Pagi itu, tinggallah Ash seorang diri di dalam banglo mewah itu. Sebentar tadi, dah puas dia menyapu, cuci pinggan, mop lantai, sidai kain. Semua kerja sudahpun dibereskan. Dia pun tak tahu nak buat apa lagi. Nak tengok TV, tiada satu pun rancangan yang menarik awal-awal pagi begini.

Lantas, dia terus menghala masuk ke dalam ruang tamu. Di situ dia membaringkan badannya. Sekejap dia memusing badannya ke kiri. Seketika kemudian dia pusingkan ke kanan pula bagi meringankan lenguh-lenguh pada badannya yang penat melakukan kerja-kerja rumah sebentar tadi.

Bukan dia tidak mahu berehat, cuma dia saja segan. Puas Puan Seri Aisyah memujuknya suruh dia berehat, tapi dia yang menolak kerana semasa dia menyidai kain tadi, jam baru sahaja menunjukkan pukul 10.30 pagi. Takkan lah dia nak berehat padahal bukan banyak sangat kerja yang dibuatnya. Pula tu, dah lah dia datang lambat. Segan rasanya pada sikap Puan Seri Aisyah yang baik hati dan tidak berkira itu.

Ashraf Izuan memeluk kusyen yang terletak di atas sofa yang menampung tubuhnya itu. Matanya yang sekejap tadi segar-bugar terasa mengantuk pula. Dalam hati, dia berkira- kira untuk tidur sekejap sebelum ke dapur bagi menyediakan hidangan tengah hari kerana sebentar lagi Puan Seri Wahid dan Tan Sri Aisyah akan pulang ke rumah untuk bersarapan bersama.

Bantal kusyen yang dipeluknya tadi diletakkan di bawah kepalanya. Agak lama dia berbaring di atas sofa itu sebelum matanya lelap dan akhirnya dia tertidur juga di situ bersama dengkuran halus.

"Hoi jantan! Bangun!! Aku cakap bangun! Bangunlah!" jerkah Hayder Rayyan dengan suara yang bergegak-gempita.

Waktu itu, dia berdiri di hadapan Ashraf Izuan sambil berpeluk tubuh. Tali lehernya ditanggalkan bagi membebaskan haba kemarahan yang sedang mengepung dadanya saat itu.

Menggelegak hatinya sebaik sahaja terpandangkan wajah lelaki yang cukup dibencinya itu. Walaupun baru sekali mereka pernah bersua, dia masih berjaya mengecam wajah bujur sireh yang putih mulus itu. Muka aje nampak comel, tapi perangai...! Comel ke? Bolehlah... Sempat lagi dia menilai lelaki bertubuh kecil itu.

Ashraf Izuan memisat-misat kedua-dua belah matanya sambil menekup mulutnya bagi menahan rasa kantuk. Wajah lelaki di hadapannya itu masih kelihatan samar- samar di pandangannya. Sehinggalah sesaat kemudian barulah dia dapat melihat dengan jelas wajah tampan milik Hayder Rayyan.

"Awak? Err... Macam mana awak boleh ada kat dalam rumah ni?" Terkejut beruk Ashraf Izuan melihat wajah itu. Pantas dia mengangkat tubuhnya dan dia kini sudahpun berdiri berhadapan dengan Hayder Rayyan. Sesekali, dia menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal.

'Aku kat mana sekarang ni? Dan macam mana aku boleh berjumpa balik dengan pelayan restoran ni? Ya Tuhanku, jangan-jangan dia nak balas dendam tak?' Takut pula Ashraf Izuan memikirkannya. Dunia sekarang ni bukan boleh dibuat main. Manusia memang suka berdendam!

"Kau boleh tanya apa aku buat kat sini? Kau tak payah nak berlakon la. Kau ingat kau boleh lepas macam tu aje? Apa yang kau cuba buat kat dalam rumah ni haa? Kau nak merompak ya? Mana koncu-koncu kau yang lain?" Hayder Rayyan sudah mencengkam pergelangan tangan Ashraf Izuan sambil mengibaskan pandangan di sekeliling sudut rumah. Namun, tidak pula dia mendapati ada orang lain yang berada di dalam banglo itu selain budak kampung itu.

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now