Dato Khalid dan Datin Camelia baru sahaja pulang daripada kota Paris semata-mata untuk membeli barang-barang untuk persiapan perkahwinan anaknya itu. Perkahwinan yang dijanjikan sebagai sebuah majlis yang mewah dan cukup eksklusif itu sememangnya begitu dinanti-nantikan, lebih-lebih lagi Dato Khalid. Dia sememangnya tidak sabar untuk berbesan dengan rakan baiknya itu.
"Ke mana kamu berdua pergi selama ni. Kata ada kerja, tapi semalam berkotak-kotak barang yang kamu bawa balik. Siapa pula yang nak kahwin?" Tan Sri Wahid bingung sendiri. Dari semalam dia asyik mengulang soalan yang sama tetapi tiada tanda-tanda bahawa soalannya itu akan dijawab oleh adik kandung dan adik iparnya itu. Bertambah rungsing fikirannya tatkala terpandangkan barangan-barangan di dalam perut kotak-kotak yang dibawa oleh mereka berdua.
Semuanya barang-barang perkahwinan.
'Siapa pula yang akan berkahwin? Takkan Hayder Rayyan kot?" soalnya di dalam hati.
Takkanlah anak buahnya itu yang akan ke jinjang pelamin. Walaupun hatinya dapat merasakan yang Hayder Rayyan sedang hangat bercinta dengan pembantu rumahnya, tetapi tidak pula terdetik di fikirannya yang anak buahnya itu akan mendirikan rumah tangga dalam waktu yang terdekat ini.
"Apa semua ni, mummy?" Pada waktu itu, Hayder Rayyan pulang dari pejabat. Tan Sri Wahid dan Puan Seri Aisyah membiarkan Dato Khalid sendiri yang menjawab persoalan yang bermain di benak anaknya itu.
"Siapa pulak yang nak kahwin ni?" Hayder Rayyan sudah tersenyum-senyum. Barang-barang perkahwinan yang bersusun-susun di atas lantai dibelek-beleknya. Di dalam hati, besar impiannya berbunga. Tidak sabar rasanya menunggu saat-saat bahagia dengan Ashraf Izuan.
"Untuk apa barang-barang ni semua, mummy, daddy?" aju Hayder Rayyan lagi. Kali ini, ditekankan sedikit suaranya. Dia melihat ayahnya berpura-pura tekun membaca sesuatu didalam tabletnya. Ibunya pula kelihatan serba tidak kena. Apa sebenarnya yang cuba disembunyikan mereka?
Datin Camelia tidak menunjukkan sebarang tanda pun untuk menjawab soalan anak sulungnya itu sebaliknya dia menjeling suaminya untuk meraih pertolongan. Dia tidak mahu Hayder Rayyan mendengar dari mulutnya. Biarlah suaminya yang memberitahu. Lagipun, suaminya yang merupakan dalang segala-galanya.
"Barang-barang ni semua tentulah untuk majlis perkahwinan kamu nanti. Kamu akan berkahwin dengan Khaleef Aqif tak lama lagi!!" tegas suara itu bersuara secara tiba-tiba, menggegar segenap ruang tamu rumah banglo mewah itu.
"Kahwin dengan Khaleef?" Hayder Rayyan bagaikan tidak percaya. Wajahnya terus berubah. Jantungnya bagaikan hampir pecah. Mujur dinding dadanya masih kuat untuk menampung gempa bumi yang bergegar di dalam hatinya.
Puan Seri Aisyah juga begitu. Dia hampir terbangun dari kerusinya untuk memprotes. Mujur Tan Sri Wahid menyabarkan. Kalau tidak, pasti kecoh satu rumah itu dibuatnya. Baru dia sedar, dia sebenarnya tiada hak untuk menentukan hidup anak buahnya itu. Tapi... apa kurangnya Datin Camelia dan Dato Khalid. Mereka juga tiada hak untuk mendesak Hayder Rayyan untuk berkahwin dengan perempuan yang bukan pilihannya.
Dato Khalid masih cuba bertenang walaupun dia tahu semua yang ada di situ sedang memandangnya dengan rasa yang kurang senang. Hanya isterinya sahaja yang menyokong dari belakang. Dia berdehem berkali-kali sebelum menelan air liur, bagaikan sedang cuba mengumpul semangat untuk bersuara.
"Lebih kurang sebulan dari sekarang, kamu akan menjadi suami kepada Khaleef Aqif." Baru kali ini Dato Khalid letakkan tablet yang sedang ditatapnya tadi. Direnungnya wajah anaknya itu dengan sepasang mata yang mencerlung tajam. Sengaja ingin memberikan arahan pada anaknya itu supaya mengikut sahaja apa yang telah dirancangnya.
"Hayder tak setuju. Hayder tak setuju. Kenapa secara tiba- tiba? Hayder tak setuju!" Hayder Rayyan mula memberontak. Terasa dirinya bagaikan dijadikan bahan perjudian sedangkan kini dia sudahpun dewasa. Dia berhak menyusun jalan hidupnya sendiri. Dia berhak untuk menentukan kehidupan masa hadapannya. Bukan ayahnya, bukan ibunya, sekalipun wanita itu yang mengandung dan melahirkannya. Dia punya haknya sendiri.
YOU ARE READING
Hanya Dia Aku Cinta
RomancePerasanan cinta ini ialah sesuatu yang ingin dielakkan oleh kedua-duanya. Ashraf Izuan sedar dia seolah-olah mengambil kesempatan. Hayder Rayyan pula tahu keluarganya pasti menentang. Anak tuan rumah dan orang gaji saling menaruh hati. Tetapi, siap...