BAB 27

276 10 0
                                    

Melilau-lilau mata Ashraf Izuan mengibas sekelilingnya. Dia bagaikan seorang pesakit koma yang terlantar lama di atas katil wad. Keadaan di dalam bilik itu dirasakan begitu janggal sekali. Sedangkan... sedangkan bilik itu adalah bilik tidurnya sendiri.

Kelam-kabut dia menyelak sedikit langsir bercorak bunga-bunga yang menutup jendelanya. Berpusu-pusu cahaya matahari menerjah masuk ke dalam biliknya yang kecil itu. Seketika, dia menghumban pandangannya jauh- jauh ke tengah laut.

Ashraf Izuan kemudiannya duduk sambil lututnya bertaup. Ya, ni bilik aku! Ni bilik aku tapi... Tapi macam mana aku boleh tidur kat atas katil ni? Bukan ke semalam aku tidur dekat..."

Seingatnya, malam tadi dia tidur di luar. Dia atas kerusi panjang. Dan bilik ini pula, dia sendiri yang kemas dan menyediakannya untuk Hayder Rayyan beradu. Barang-barang lelaki itu pun semuanya masih ada dalam bilik itu.

Tanpa teragak-agak, dengan rasa bengang, dia terus melangkah keluar daripada bilik tidurnya. Ini pasti kerja dia! Kalau Ibu, takkan adanya orang tua itu larat nak angkat aku!'

Malam semalam

Hayder Rayyan hanya terjaga ketika jam tepat menunjukkan pukul 3.00 pagi. Perlahan-lahan dia mengangkat badannya sehingga separuh bangun. Seketika dia memisat-misat matanya berulang kali. Langsung dia tidak sedar dia sudah tertidur.

Lebar senyumannya sebaik terpandangkan sebutir cawan yang terletak di atas meja kecil di sebelah kepala katil. Kembang kucup hatinya buat seketika. Dia benar-benar terharu. Dalam keadaan marah begitu pun Ashraf Izuan masih mampu memenuhi permintaannya.

Perlahan-lahan Hayder Rayyan meneguk air kopi yang sudah sejuk itu. Walaupun lidahnya tidak 'serasi' dengan kopi sejuk, dipaksanya juga masuk ke celah kerongkongnya. Semuanya dilakukan sebagai menghargai susah-payah Ashraf Izuan membancuhkan air kopi itu untuknya. Ternyata lelaki itu masih ikhlas, Buktinya, aroma kopi itu masih sama baunya. Rasanya juga tidak berubah sedikit pun.

Mata Hayder Rayyan yang terbuka luas menjadi separuh bukaannya apabila menjengah masuk ke dalam ruang tamu yang terang berlampu. Dia melihat Ashraf Izuan sedang lena tertidur di atas kerusi panjang. Simpatinya tercurah di situ. Disebabkan dirinya, Ashraf Izuan terpaksa 'bermalam' di situ.

Rasa simpatinya makin menebal. Apatah lagi apabila melihatkan lelaki itu sekadar berbantalkan kusyen yang tebal. Tentu kepalanya sakit kalau dibiarkan begitu.

Hayder Rayyan tersenyum halus. Dia terus mendepangkankan kedua tangannya lalu mengendong tubuh Ashraf Izuan sehingga ke dalam bilik tidurnya. Dengan cermat dia membaringkan tubuh Ashraf Izuan ke atas katil. Tidak beberapa lama kemudian, dia keluar daripada bilik itu semula setelah menyelimutkan tubuh lelaki itu dengan selimut. Kini dia mengambil alih 'katil mewah' di ruang tamu itu pula.

Melihat Hayder Rayyan tiada di ruang tamu, dia terus menjengah masuk ke dalam dapur. Pukul 9.00 pagi. Tentu dia sedang bersarapan. Siaplah dia! Memang sengaja nak naikkan suhu kemarahan aku. Sebaik terpandangkan sahaja lelaki itu yang sedang menyediakan sarapan, Ashraf Izuan menjadi serba-salah. Patut ke aku memarahi dia?

"Hai sayang, good morning. Apa yang tercegat lagi kat situ macam nampak hantu tu? Ni abang dah siapkan sarapan ni. Marilah sini kita makan sama-sama."

Ashraf Izuan menjadi semakin bersalah. Lidahnya kelu. Bertambah kelu apabila melihat wajah segar Hayder Rayyan yang kelihatan begitu tampan sekali. Walaupun hanya mengena kan kemeja-T kosong dan seluar jeans, lelaki itu kelihatan segak sekali di matanya. Dedaun hatinya bergetar-getar.

"Saya cuma nak tahu! Macam mana saya boleh tidur atas katil?" Tegas suara Ashraf Izuan yang sudah memeluk tubuh memandang lelaki di hadapannya itu.

Mujur Puan Dayang tiada di dalam rumah. Kalau tidak, pasti dia akan ditegur kerana bersikap biadab. Seperti pagi-pagi kebiasaannya, ibu angkatnya itu pasti sedang memberi dedak kepada ayam-ayam ternakannya.

"Err... Sebenarnya, saya..." Tergugup-gugup Hayder Rayyan bersuara. Tangan yang sedang ligat menyapu kaya pada roti itu terus terhenti. Dia kaku di situ.

Belum pun sempat dia ingin menjelaskan situasi sebenar, Ashraf Izuan sudah memotong.

"Apa sahaja alasan Tuan Hayder, saya tak suka Tuan Hayder sentuh saya walaupun..."

"Saya bukannya sengaja." Kali ini, Ashraf Izuan pula yang tidak dapat menghabiskan ayatnya apabila Hayder Rayyan cepat- cepat mencelah.

"Stop! Saya tak habis cakap lagi!"

Berubah wajah Hayder Rayyan apabila ditengking sebegitu. Sementara wajah Ashraf Izuan pula semakin tegang! Marah benar dia pada waktu itu.

"Walaupun hakikatnya saya ni memang yang tak ubah macam sampah, saya tetap tak suka!"

Merah padam wajah Hayder Rayyan apabila disindir begitu. Mukanya yang ditundukkan, diangkat semula. Lama dia merenung wajah Ashraf Izuan sehingga lelaki itu menjadi gelisah. Dia tahu, dia telah melakukan kesilapan yang cukup besar bila mana telah menghina Ashraf Izuan dengan sebegitu hina sekali dulu.

Dengan tenang, dia mengeluarkan bekas kecil berbaldu merah dari poket seluarnya. Bekas itu sentiasa dibawanya ke mana sahaja kerana dia hanya menanti masa untuk melamar lelaki pujaannya itu.

"Ash, sudikah awak menjadi pasangan hidup saya?" soal Hayder Rayyan dengan ikhlas. Tangannya sudah bersedia untuk menyarungkan cincin berlian di jari mania lelaki itu.

Ashraf Izuan yang tidak dapat menyembunyikan rasa bahagianya, sudah tersenyum nipis. Namun setelah dia perasan lelaki itu merenung wajahnya, sepantas kilat dia terus mematikan senyumannya. Dia tidak dapat menafikan. Hatinya benar-benar terusik dengan lamaran itu. Apatah lagi melihat kesungguhan lelaki itu.

Namun, Ashraf Izuan terus melangkah meninggalkan Hayder Rayyan yang sudah separuh melutut di hadapannya.

'Bahagiakah engkau dengan lamarannya itu Ashraf? Semudah itukah kau lupakan penghinaan dan perbuatannya pada kau' sebelum ini?'

Hanya Dia Aku CintaWhere stories live. Discover now