Pagi itu wajah Ash berseri-seri. Senang hatinya melakukan kerja-kerja di dapur hingga dalam menunggu roti dibakar pun dia masih sempat berangan. Entah apa yang dikhayalkannya. Yang pasti, pagi ini dia menyediakan sarapan yang cukup istimewa. Pasti Hayder akan menyukainya.
Sewaktu dia sedang sibuk menghidangkan juadah sarapan di atas meja makan, Hayder Rayyan kelihatan gesa-gesa menuruni anak tangga. Cukup kelam-kabut. Wajahnya pula mendung dan murung. Langsung tiada serinya walaupun raut dan rambutnya masih basah dengan sisa air mandi. Tidak cukup tidurkah lelaki itu? Ash menyoal-nyoal di dalam hati. Langkah Hayder yang tergesa-gesa itu hanya terhenti apabila terdengar sapaan Ash.
"Tak sudi jamah sarapan pagi dulu? Penat saya sedia kan."
Wajah Ash kelihatan cukup berseri-seri pagi itu. Bibirnya tidak kering dengan senyuman. Dia sudahpun melupakan amarahnya terhadap Hayder yang telah menipu dan memain- mainkannya malam tadi. Waktu dia sedang berseronok menghabiskan cutinya di rumah Adam, punah gara-gara penipuan lelaki itu. Tapi kerana sayang, dilupakan juga rasa sakit hatinya itu!
Kemaruk sangatkah aku ni? Wajahnya jadi merah dengan sendirinya, namun tetap tersenyum, seceria mentari pagi. Namun, wajahnya yang ceria itu sebenarnya tidak bertahan lama. Sebaik dia melihat wajah tegang Hayder sebaik lelaki itu menoleh, wajahnya juga ikut berubah. Badannya sedikit menggeletar apabila direnung sebegitu tajam. Apa yang dah berlaku? Apa kesalahan yang telah dilakukannya?
Dengan pantas, Hayder melangkah ke arahnya dengan renungan mata yang tajam. Melihat wajah tulus dan polos Ash yang bagaikan menagih simpati daripadanya itu masih belum cukup untuk menyisih rasa bencinya yang sudah terpahat buat lelaki itu. Bahkan, rasa benci dan jijik itu semakin,meluap-luap.
'Dasar anak haram! Keturunan iblis!, kenapa aku boleh simpan satu perasaan yang istimewa untuk manusia jijik sepertinya? Aku malu. Aku malu pada diri aku sendiri' Marahnya dalam hati.
Bagi Hayder, lelaki seperti Ash lebih banyak berpura- pura. Anak haram yang tidak cukup kasih sayang seperti Ash sudah pastinya mempunyai latar belakang kehidupan yang teruk. Lagipun, siapa yang dapat menyangkal peribahasa, 'Ke mana tumpahnya kuah kalau tak ke nasi?'
Mata yang sudah berair kemerah-merahan dek terlampau marah itu sudah kelihatan urat-urat merah. Tanda tembok kesabarannya sudah berderai pecah!
“Kau dengar sini baik-baik ya, Ash! Mulai hari ini dan saat ini, aku takkan makan masakan kau lagi. Sebagai langkah berjaga-jaga. Jujur aku katakan, aku sebenarnya baru terfikirkan semua ni. Pembantu rumah sekarang ni bukannya boleh percaya sangat. Takut pulak aku kalau kena guna-guna dengan kau. Maklumlah, orang macam kau ni mana mungkin akan lepaskan peluang untuk ambil kesempatan pada orang yang berharta macam aku ni, kan?"
Wajah Ash direnung lama oleh Hayder. Sengaja dia buat begitu untuk melihat reaksi pada wajah polos itu. Namun, dia tidak mampu bertahan lebih lama apabila hatinya sudah menyumpah-seranah pada dirinya sendiri. Terus matanya dilarikan dari wajah putih bersih itu. Tidak sanggup rasanya untuk melihat perubahan wajah lelaki yang telah berjaya menakluk seluruh hati dan setiap inci perasaannya itu.
'Ya Tuhan, apa aku dah buat ni? Sepantas itukah aku perlu berubah dan menghukumnya? Apakah benar tindakanku ini, Pantas rasa sesal menjalar ke dalam hatinya.'
Ash pula terus terpenpan. Lidahnya kelu. Dia tidak mampu untuk berkata apa-apa lagi. Dia hanya memerlukan beberapa saat sahaja untuk mengalirkan air mata yang sudah sedia bertakung itu. Namun, dalam tangisan yang cukup memedihkan itu, mahu sahaja dia menyuruh Hayder untuk mengulang semula apa yang telah diperkatakan sebentar tadi tetapi bila difikir dan ditimbang-timbang semula, untuk apa semua itu? Segala-galanya sudah jelas di telinganya. Telinganya tidak menipu,
Ash cuba bertenang. Walaupun dia cuba menyedapkan hatinya sendiri dengan beranggapan bahawa Hayder sudah terkena sampuk, namun akhirnya dia akur pada lumrah manusia. Sedang air sungai pun boleh berubah bila-bila masa, inikan pula hati manusia.
YOU ARE READING
Hanya Dia Aku Cinta
RomancePerasanan cinta ini ialah sesuatu yang ingin dielakkan oleh kedua-duanya. Ashraf Izuan sedar dia seolah-olah mengambil kesempatan. Hayder Rayyan pula tahu keluarganya pasti menentang. Anak tuan rumah dan orang gaji saling menaruh hati. Tetapi, siap...