SEKEPING gambar dalam dompet dibawa keluar. Kertas gambar terlihat sedikit lusuh dan kekuningan. Ini sahaja kenangan yang tinggal. Terus gambar kenangan bersama arwah menjadi santapan anak matanya. Dia merenung sayu seraut wajah manis milik Atisha Ayuni. Wanita yang pernah menjadi sebahagian kisah yang amat bermakna dalam hidupnya. Wanita yang menjadi cinta pertamanya.
Keluhan perlahan keluar dari bibir.
Setelah sekian lama. Sudah hampir 8 tahun arwah tunangnya pergi meninggalkannya. Sehingga ke hari ini dia masih gagal melupakan arwah. Masih terpahat nama gadis itu di hatinya.
"Saya rindu awak Atisha..." Rindu pada arwah mula menguasai ruangan hati. Matanya terasa bergenang dengan air jernih. Hangat terasa. Namun pantas dikerdip-kerdip kelompak mata. Sejujurnya dia tidak mahu menangis lagi. Tangisan akan membuatkan hatinya kian lemah.
Datin Mariam dan Datuk Rizalman yang memerhati tindak tanduk Haq Riyaz dari jauh. Mereka datang mendekat. Riyaz yang menyedari pantas memasukkan semula gambar ke dalam dompetnya. Terus dia buat-buat menuangkan air kopi. Dihulurkan kepada umi dan abi yang sudah melabuhkan punggung.
"Minum umi, abi." Ujar Riyaz bersahaja. Sedaya upaya menahan serak suaranya.
Lama tiga beranak di situ melayan perasaan dengan berdiam diri. Masing-masing cuba merawat gundah yang bertandang.
"Riyaz masih tak dapat lupakan arwah." Suara Datin Mariam memecah sunyi.
Haq Riyaz sekadar mengangguk. Meleretkan pandangan ke arah kolam renang yang berada di depan mata. Setenang air kolam tidak mendatangkan tenang di hatinya bila umi mula bersoalkan tentang hal ini. Pasti umi akan membebel sebentar lagi.
"Riyaz, arwah dah 8 tahun meninggal. Umi nak Riyaz reda." Keluh Datin Mariam. Sampai bilalah anak sulungnya mahu berperangai begini. Sesak dada memikirkan.
"Riyaz dah lama reda umi. Cuma masih belum dapat lupakan dia."
Mana mungkin dia dapat lupakan arwah. Mereka telah berkawan dari sekolah menengah lagi ketika umur 13. Sehingga meningkat dewasa, mereka sedar wujud perasaan cinta antara satu sama lain. Dan hubungan mereka berterusan sampai menjadi tunangan. Malangnya, angan-angan yang dicipta tidak kesampaian. Atisha meninggal selepas menghantar dia terbang sambung pengajian di universiti perubatan di India. Dan paling dikesali, dia tidak dapat menziarah jenazah arwah kerana ketika itu dia sudah berada di bumi India. Bermula detik itu, dia menderita menangung rindu. Cuma mujur saja tidak terbawa-bawa sehingga menjejaskan pelajaran.
"Umi nak Riyaz kahwin. Ada family. Ada anak bini."
"Riyaz tak boleh umi. Riyaz masih cintakan dia." Haq Riyaz mengeluh dengan desakan umi.
"Cinta pada orang yang dah tiada? Pada orang dah meninggal? Sampai bila kamu nak membujang? Sampai umi, abi menutup mata?" Suara Datin Mariam membentak kasar. Biarlah jika dia berkasar asalkan Riyaz sedar diri. Dia tidak mahu disebabkan arwah Atisha anaknya menutup pintu hati pada wanita lain. Sedangkan yang hidup masih perlu teruskan kehidupan.
Riyaz terpukul dengan kata-kata Datin Mariam. Tapi dia langsung tak angkat kepala. Air kopi yang dihirup semakin pahit rasanya.
"Kamu harus belajar lupakan dia dengan membuka pintu hati untuk orang lain." Nasihat lembut Datuk Rizalman. Dia turut bersetuju dengan isterinya. Sampai bila Riyaz mahu membujang. Umur pun dah nak masuk 30-an. Kawan-kawan sebaya Riyaz ada yang sudah mendirikan rumah tangga.
"Umi bukan apa Riyaz. Umi dah tua. Kalau boleh umi nak lihat kamu berumah tangga. Mempunyai keluarga sendiri sebelum umi menutup mata." Lirih suara Datin Mariam. Sedih dia mengenangkan nasib Riyaz.
YOU ARE READING
Derita Hanya Sementara (Terbit)
RomanceDiberi peluang untuk menunaikan umrah, Masytah bersungguh-sungguh melakukan ibadah di Masjidilharam. Dia mencari damai disana, kerana kusutnya kehidupan yang sering diomok-omokkan sebagai pembawa sial sedari kecil dan hal itu membuatkan Masytah sent...