BAB 5

40 6 3
                                    



MASYTAH mengunsung beg pakaian turun dari bas. Mudah baginya kerana beg itu ringan saja. Hanya ada beberapa helai pakaian. Sudah menjadi kebiasaan apabila pulang ke kampung. Dia hanya tidur semalam untuk melepaskan rindu. Ingin saja dia berlama tapi penerimaan dingin yang diterima membantutkan hasrat hati.

Dia membawa langkahnya menuju ke tempat perkhidmatan kereta sewa. Kelihatan beberapa orang pemandu teksi mungkin sebaya dengan ayahnya sedang berbual-bual sambil menantikan penumpang.

"Pak cik hantarkan saya ke Kampung Merlimau boleh?"

"Ya boleh nak." Seorang lelaki tua bangun dari kerusi menuju ke kereta. Masytah mengekori dari belakang.

Kereta teksi yang dinaiki hampir tiba ke destinasi ketika mata Masytah sudah dijamukan dengan permandangan pokok-pokok kelapa sawit yang mewarnai suasana kampungnya. Dia membuang renungan ke luar melepaskan kerinduan sebagai anak perantau.

Sedang asyik menikmati pemandangan. Sekonyong-konyong matanya beralih ke tempat duduk sebelah. Dia memandang sepi beg kertas yang dibawanya. Ada sedikit buah tangan dibeli di Mekah tempoh hari. Adakah mereka akan suka? Ataupun hanya cacian yang dia dapat. Namun jauh di sudut hati, dia berharap mereka sukakan pemberiannya itu.

"Pak cik. Depan sana boleh berhenti." Tutur Masytah lembut ketika sudah kelihatan atap bumbung sink rumahnya.

"Oh, sampai dah?"

"Iya, pak cik. Tu rumah saya." Masytah menunjukkan rumah papan bertangga batu itu kepada pemandu teksi.

Pak cik teksi memperlahankan kereta masuk ke halaman rumah.

"Err... Pak cik. Esok pagi pukul sembilan pak cik boleh ambil saya semula di sini."

"Insya-Allah boleh. Dah nak balik ke esok?" Soal pemandu teksi ramah.

"Iya, pak cik."

"Sekejap saja anak balik kampung."

"Lusa saya dah kerja pak cik." Balas Masytah sopan. Sambil menarik beberapa keping wang kertas dari dompet mengikut nilai yang tertera pada meter teksi.

"Oh, begitu. Tak mengapalah asalkan balik jenguk mak ayah pun mereka dah gembira. Mak ayah ni bukan nak wang ringgit yang mereka mahu tetapi ingatan anak-anak kepada mereka."

"Iya, pak cik." Masytah senyum hambar. Itu mungkin mak ayah orang lain pak cik. Mak, ayah dia, lain sikapnya.

Selepas membuat pembayaran Masytah keluar dari perut kereta. Dia berdiri tegak seketika memandang halaman rumahnya yang dikelilingi pokok-pokok bunga segar. Ibu tirinya peminat tegar pokok bunga. Pernah suatu ketika dahulu, pada masa itu dia berumur 12 tahun. Dia pernah dibaling dengan pasu oleh Puan Habsah gara-gara dia memetik sekuntum bunga ros. Mujurlah balingan pasu menyasar jauh. Jika tidak, pasti kepalanya bocor. Tak semena-mena Masytah mengimbau kenangan lalu. Namun mindanya cepat menangkis. Perkara yang menyakitkan tidak perlu diingat lagi.

Masytah menarik nafas dalam lalu melepaskannya perlahan-lahan. Dia mahu mengumpulkan seberapa banyak kesabaran yang boleh dikumpul. Kerana dia yakin saat kakinya memijak tangga rumah itu pasti kesabaran yang akan dituntut.

"Assalamualaikum."

"Waalaikumsalam. Wah, ustazah dah balik." Patah kata yang baik dilontarkan oleh Puan Habsah. Tapi kedengaran sinis saja di telinga Masytah.

"Mak cik sihat." Masytah hulur tangan namun disambut sombong oleh Puan Habsah. Hujung jarinya saja yang menyentuh tangan Masytah.

"Sihat." Jawabnya sepatah. Tidak mesra.

Derita Hanya Sementara (Terbit)Where stories live. Discover now