"RIYAZ kau kemas-kemas baju nak kemana?"
Kerja Haq Riyaz terbantut. Dia menoleh ke belakang. Kelihatan susuk tubuh lelaki awal 30-an berkaca mata. Entah sejak bila rakan sebiliknya itu berdiri di muka pintu.
"Aku nak naik flight malam ni." Ucapnya sambil sambung mengemas.
"Hah, pergi mana?" Naim datang merapat. Terpinga-pinga dia dengan jawapan Riyaz. Mata dihala pada baju-baju yang tersusun kemas di dalam bagasi.
"Balik Malaysia la, mana lagi." Dia sudah tidak sabar untuk bagitahu pada umi dan Abi. Pasti mereka seronok akhirnya dia sudah buka pintu hati pada seseorang. Umi. Abi, Riyaz dah jumpa bakal menantu. Jeritan bergema dalam hati. Teruja sangat-sangat!
"Eh, kenapa? Umi abi kau sakit ke?" Soal Naim sedikit gelisah.
"Tak diaorang sihat walafiat."
Naim menghembus nafas lega.
"Dah tu? Kenapa tiba-tiba kau nak balik."
"Aku nak jumpa seseorang."
"Siapa? Perempuan?" Naim menduga.
"Binggo!" Haq Riyaz memetik jarinya. Tepat tekaan Naim.
"Tapi misi sukarelawan kita belum mula lagi bro." Naim mengingatkan Riyaz tentang rancangan mereka.
Perancangan awal pasukan sukarelawan perubatan yang dianggotai seramai 12 orang dari Malaysia berada di tanah suci dahulu untuk mengerjakan umrah. Selepas itu mereka akan bergerak ke sempadan Syria-Turki bagi membantu mangsa yang terjejas akibat gempa bumi.
"Aku balik dua tiga hari je bro. Lepas tu nanti aku terus ke kem kita di sana."
Naim angguk faham. Kalau itu kata Riyaz dia tak boleh nak halang. Tapi pelik dengan kesungguhan Riyaz.
"Aku rasa macam sudah lama kau tak berminat dengan perempuan bro. Pelik tiba-tiba aje ni" Ya itu yang dia kenal Riyaz. Hanya sekadar kawan biasa dengan perempuan. Perempuan yang menunjuk minat, Riyaz akan menolak dengan lembut. Belum bersedia katanya.
"Tak ada yang pelik bila Allah berkehendak." Balas Riyaz selamba.
"Wow, bunyi macam serius. I'm missing something bro?"
"Aku jumpa jodoh di sebalik Kaabah. Dan aku percaya itu adalah pertunjuk. Aku nak balik Malaysia jumpa dia. Aku nak kahwin dengan dia."
"Ko kenal ke dia?" Dia semakin tertarik dengan cerita Riyaz. Kerusi ditarik. Melabuhkan punggung di depan Riyaz. Mahu mengetahui lebih lanjut.
Haq Riyaz berhenti mengemas. Berpaling ke Naim sedang duduk. Bukan main semangat sahabatnya itu untuk mendengar cerita. Sibuk ajelah. Tapi dia layankan saja.
"Tak. Tapi perempuan tu ada bagitahu nama dia Masytah Adawiyah. Cantikkan nama." Haq Riyaz ukir senyuman lebar dengan mata terpejam rapat. Nama dan rupa perempuan itu seiring. Nama cantik, wajah pun cantik. Tapi bukan kerana kecantikan yang membuat dia begitu teruja. Aura kelembutan perempuan itu yang buatkan dia gila bayang.
"Lah, kau nak kahwin macam mana? Kenal pun tak cinta pun tak!" Sergah Naim tiba-tiba. Mual dia lihat Riyaz yang senyum sampai terpejam-pejam mata. Sah sudah gila bayang!
Riyaz pegang dada terkejut dengan sergahan. Geram.
"Ish, kau ni. Terkejut aku. Aku balik ni nak kenal-kenal la dengan dia. Dan pasal cinta pula. Cinta boleh datang kemudian. Dah kahwin nanti aku pupuklah cinta seluas lautan. Biar isteri aku lemas dalam cintaku."
"Wek... Sudahlah nak termuntah aku dengar. Kau ni memang dah gila bayang. Kau nak jumpa dia macam mana? Ada ambil nombor telefon dia tak?"
"Tak ada. Dia cakap kalau kami berjumpa di Malaysia nanti dia akan terima aku. Itu yang aku nak balik malam ni sebab flight dia esok. Esok bila aku dah sampai aku tunggulah dia di balai ketibaan. Insya-Allah pasti jumpa."
Naim menepuk dahi kuat. Sah memang Riyaz angau. Cantik sangat ke perempuan tu sampai kawan aku ni angau teruk begini ya Allah.
HAQ Riyaz sudah siap berkemas. Dia menilik jam tangan. Jarum jam menunjukkan pukul 6 petang. Penerbangan dia malam ini ke Malaysia jam 11 malam. Mujurlah masih ada tiket kosong. Kini dia tenang berbaring merehatkan badan seketika. Selepas maghrib barulah dia akan bertolak ke Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz, Jeddah.
"Dr. Riyaz, Dr. Naim." Ikwan menerpa masuk ke dalam bilik tanpa salam.
"Kau kenapa Ikwan macam kena kejar hantu saja." Tegur Naim yang baru keluar dari bilik air. Dia agak terkejut dengan terjahan Ikwan. Ikutkan hati mahu saja dimakinya kerana masuk ke bilik orang tiada adab. Tiada salam. Tapi dia sedar dia berada di tanah suci. Kena jaga mulut.
"Pasukan kita diperlukan segera ke sempadan Syria-Turki. Gempa bumi kali kedua baru saja berlaku. Kali ini mungkin lebih banyak mangsa yang terjejas kerana masih ramai sukarelawan yang berada di sana selepas gempa bumi kali pertama."
Haq Riyaz segera melompat dari katil setelah mendengar perkhabaran daripada ikwan. Jantungnya mengepam laju. Gempa bumi yang pertama berlaku tiga minggu yang lepas. Ramai sukarelawan yang datang dari negara luar membantu. Dan dikhabarkan keadaan sudah pun terkawal. Pasukan sukarelawan perubatan mereka hanya sebagai bantuan perubatan pemulihan sahaja. Tidak punyai ramai ahli. Malah tidak mempunyai peralatan yang lengkap.
"Ya Allah. Macam mana ni Riyaz? Kita tidak punya ahli yang ramai. Malah peralatan kita terhad." Kerisauan Naim jelas sama seperti Riyaz.
"Tenang Naim. Kita buat apa yang termampu. Selebihnya kita berdoa semoga Allah permudahkan jalan." Dia menepuk bahu Naim. Menenangkan Naim meskipun hatinya juga gusar. Namun dia beri kepercayaan untuk kebergantungan kepada Allah.
"Ikwan kau inform pada yang lain untuk siap sedia dan minta pihak hotel carikan transport untuk kita ke sana." Haq Riyaz memberikan arahan dengan jelas.
Ikwan mengangguk. Kelam kabut dia keluar. Dia perlu bertindak pantas. Dalam keadaan darurat begini setiap minit, setiap saat amat berharga bila melibatkan nyawa orang.
Haq Riyaz segera ke katil semula ingin berkemas. Namun saat terpandang beg bagasi di sebelah katil dia tergamam. Ya Allah... Dugaan apa yang kau berikan kepada aku saat sini. Di saat aku sudah berjumpa pengganti tapi jalannya tidak mudah. Kaki Haq Riyaz lemah. Melorot dia jatuh di sisi katil.
Naim turut terkedu. Segera dia merapatkan diri. Tangannya jatuh menepuk bahu bidang Riyaz berkali-kali. Dia mengerti akan kesedihan Riyaz. Kawannya itu sudah merancang tapi benarlah kata orang yang kita hanya mampu merancang. Selebihnya Allah saja yang menentukan segalanya.
"Riyaz kau sendiri cakap kau percaya pada takdirkan?"
Haq Riyaz mengangguk lemah
"Jadi kau mesti percaya. Jika perempuan itu milik kau. Allah akan bagi tepat pada masanya. Sekarang kita datang sini dengan satu misi Riyaz. Misi sukarelawan perubatan. Mungkin Allah nak kau selesaikan dahulu misi ni."
Haq Riyaz mengangguk mengiakan kata Naim. Iya, aku terlalu terburu-buru mengejar cinta sampaikan aku terlupa niat sebenar aku datang ke sini. Dia meraup wajahnya berkali-kali. Kembali berdamai dengan diri sendiri serta terus mengumpul semangat yang hilang. Dan dia mula berpegang pada satu kata. Jika sudah tertulis dia jodohku. Pasti akan bertemu jua.
YOU ARE READING
Derita Hanya Sementara (Terbit)
Lãng mạnDiberi peluang untuk menunaikan umrah, Masytah bersungguh-sungguh melakukan ibadah di Masjidilharam. Dia mencari damai disana, kerana kusutnya kehidupan yang sering diomok-omokkan sebagai pembawa sial sedari kecil dan hal itu membuatkan Masytah sent...