Seusai sahaja menunaikan solat Subuh, Nadia segera menukarkan pakaian yang serba hitam. Lalu meluru keluar dari rumah, menuju ke air sungai yang berada di laman belakang rumah. Di situlah tempat dia berlatih silat, juga tempat dia mencari ketenangan sambil mendengar alam.
Diregang-regangkan badannya dahulu lalu perlahan-lahan dia berjalan masuk ke dalam air sungai itu. Sejuk. Namun perlu ditahan.
Kedua-dua tapak tangannya dirapatkan. Mulut terkumat-kamit membaca Ayatul Kursi, memohon perlindungan daripada Yang Maha Esa.
Tangan-tangan itu dibawa rapat ke muka, mengusap sambil berulang kali menyebut, "Allahuma Solli Ala Saidina Muhammad."
Dia kemudian mencelup tangannya ke air, menyapu muka agar terasa segar.
"Bismillah..." Perlahan-lahan dia duduk, membiarkan tubuhnya basah dengan air itu kecuali kepalanya. Matanya tertutup rapat.
Bibirnya masih tidak lepas berselawat. Nafasnya dikawal.
Inilah sebahagian rutin untuknya sebelum memulakan latihan silat bersama Tok Omar.
Latihan ini dibuat untuk membantunya mengawal pernafasan sebelum beraksi. Tambahan, kesejukan air itu memberikan efek fokus pada Nadia.
"Dah sedia?" Suara Tok Omar menyapa dirinya yang masih konsentrasi dengan alam.
"Belum, lagi lima minit tok." perlahan Nadia berkata.
Tok Omar menggumam. Nadia sekilas pandang pada Tok Omar. Kelihatan datuknya juga sedang membuat regangan.
Setelah lima minit berlalu, dia bangun lalu menuju ke arah Tok Omar. Kelihatan datuknya sedang menarik-narik tali busur.
“Apakah ni latihan saya harini, tok?” soal Nadia.
Tok Omar mengalihkan pandangannya, memandang Nadia yang basah kuyup itu. Dia mengangguk sambil tersenyum nipis.
“Tok nak uji kepekaan kamu harini. Tapi sebelum mula,” Datuknya meletakkan busur tadi di tanah lalu berjalan ke bawah rumah. Lalu dia kembali sambil memegang sebuah kayu yang panjangnya hampir setinggi Nadia.
“Nah, mulakan dulu dengan ini dahulu.” Kayu itu dihulur padanya. Nadia menyambut sambil tersengih.
“Solo ke duo, tok?” soal Nadia lagi. Tangan kanannya sibuk memusingkan kayu itu, seolah tidak sabar itu beraksi.
Tok Omar mengusap janggutnya. “Lawanlah dengan tok. Kita lihat siapa lagi pantas.”
Nadia tertawa sambil mengangkat ibu jarinya. Mereka berjalan ke tengah gelanggang.
Kayu yang berada di tangan diletakkan ke lantai di sisinya. Tok Omar mengangguk, lalu merafatkan kedua tangannya. Begitu juga Nadia.
Sebaik sahaja kedua tangan itu diturunkan, mereka masing-masing membuka bunga silatnya. Perlahan mereka berjalan membuat sebuah bulatan. Setiba di tempat asal mereka berdiri, Tok Omar membuat isyarat tangan untuk Nadia menyerang dia terlebih dahulu.
Nadia mengangguk lalu meluru pantas ke arahnya. Tumbukan dilepaskan. Tok Omar sudah sedia untuk mengilas serangan Nadia. Namun itu bukan serangan sebenarnya. Nadia terlebih dahulu menarik kaki datuknya, membuatkan Tok Omar terhempas ke tanah dahulu. Nadia mengundur beberapa langkah, lalu merendahkan tubuh mengambil kayu tadi.
Tok Omar melompat lincah ke depan. Nadia juga turut berdiri. Tangannya memegang cermat kayu itu. Namun datuknya hanya berdiri sambil meletakkan tangan di belakang. Datuknya tersenyum nipis, membuatkan Nadia terasa ada yang tidak kena.
Telinga terus menangkap sesuatu tajam meluru pantas padanya. Pantas dia mengelak dengan memusingkan badan ke tepi. Melihat beberapa jarum terbenam di batang pokok terdekat, Nadia tersengih. Dia menoleh ke arah mana jarum itu datang.

YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...