Agak ganjil apabila pagi itu tidak seperti biasa. Dia sekadar merenung pemandangan daripada koridornya. Meskipun adanya taman mini di hadapannya, dia tidak ingin untuk turun ke bawah.
Kepalanya terawan-awan membayangkan keseronokan ketika sampai di kampungnya dahulu. Ketika itu, dia berlari terus terjun ke sungai bersama pakaiannya. Ibunya hendak melenting atas tindakannya, namun dihalang Tok Omar untuk membiarkan dia berseronok.
Pernah dia berjanji untuk bersama kedua orang tua itu sampai dewasa. Biarpun sesekali terasa mahu lari atas kemarahan kecilnya, namun hatinya tetap melekat di situ.
Tiba-tiba, dia mendengar pintu biliknya diketuk dari jauh. Nadia menghela nafas, bingkas masuk ke dalam. Pintu itu dikuak perlahan, cukup untuk menampakkan susuk yang berdiri di luar.
“Oh, ibu rupanya.” Pintu itu dibuka lebih luas membenarkan ibunya masuk ke dalam.
Raudhah melabuhkan punggungnya di katil sambil mengajak Nadia duduk di sebelahnya. Nadia hanya turuti sahaja. Kepalanya menunduk. Kepalanya memikirkan soalan yang kemungkinan bakal ibunya lontarkan.
‘Ibu perasan ke perubahan aku? Eh, mestilah dia perasan kot! Dia mesti tahu aku punya rutin pagi-pagi macam mana. Hadui apa nak jawab kalau dia tanya?’
“Nadia.” Segala benak soalan mindanya terhenti sebaik mendengar sapaan ibunya.
Dia menelan liur, memberanikan diri untuk memandang langsung wajah ibunya.
“I-iya, ibu?” jawabnya perlahan. Terasa janggal pula dengan intonasinya pagi itu. Dia kembali menunduk.
“Tak turun sarapan ke?” Soalan ditujukan.
Dia melirik jam dinding. Melihat jam yang menunjukkan 8.45 pagi itu, terus dia tersedak. Tidak menyangka dia telah mengelamun lebih kurang dua jam lamanya di koridor.
Nafasnya tertahan, “Erm. Saya tadi mengelamun kat koridor, sampai tak perasan dah pukul lapan lebih.” balasnya sambil tertawa kekok. Kepalanya diusap perlahan. Dia menjeling sedikit memandang reaksi ibunya.
Raudhah sekadar tersenyum. Nadia tidak dapat mengagak maksud senyuman itu.
“Ibu plan nak ajak Nadia pusing-pusing Melaka ni. Kalau Nadia sudilah…”
Mata Nadia membesar. Hatinya ibarat berbunga-bunga untuk berjalan di Melaka. Namun kegembiraan itu memudar apabila hatinya pula bermonolog.
“Seganlah ibu. Saya tak nak susahkan ibu…” Balasannya membuatkan Raudhah menghela nafas.
Dia mengigit bibir. Apakah balasannya itu membuatkan hati ibunya tergores?
‘Bandar tidak sama dengan kampung. Aku tak akan pernah suaikan diri kat sini…’ bisiknya.
“Kalau tak mau, baiklah. Baru nak ajak Nadia makan kat tempat ni. Tahu je intan payung ibu ni suka sangat cendol. Nama tempat tu Cendol Kampung Hulu. Uish rugi tak makan situ.” seloroh Raudhah.
Kali ini Nadia terliur pula. Pantang sungguh mendengar tentang makanan. Lagi-lagi makanan kesukaannya, cendol.
“Ibu turun dululah. Tapi tulah. Sedap pula nak makan cendol pagi-pagi ni…”
“Baiklah-baiklah. Tak perlu mengugut gitu, ibu.” Dengusnya. Ibunya terlebih dahulu tertawa terkekek-kekek.
“Kena pun umpan! Hah, cepat siap. Kalau tak cendol terbang…”
“Ibu!”
Ketawa ibunya belum reda. Dia beredar meninggalkan Nadia sambil melambai-lambai lalu pintu ditutup rapat.

YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...