Seusai sahaja sarapan paginya, dia segera bersiap-siap untuk mengikut Tok Omar ke pekan.
“Tok Omar. Boleh Tok Omar belikan novel untuk saya?” Ujar Nadia sejurus keluar daripada pintu rumah. Tok Omar yang sedang memberi ayam ternakannya makan itu terus menoleh ke arahnya.
“Bukakah kedai tu pada hari sabtu ni?” soal datuknya.
Nadia memuncungkan bibirnya, “Kita tengoklah dulu. Kalau buka, singgahlah. Kalau tak, kita pulanglah. Boleh tok?” pujuknya lagi.
Tok Omar menggumam lalu tersengih, “Bagus cucu tok sorang ni. Minat terhadap buku-buku. Tapi, tetaplah mencari buku yang bersih dan bermanfaat supaya kita tak leka dengan perkara yang tidak memberi manfaat pada kita.” nasihat datuknya itu dibalas anggukan Nadia.
“Baik tok. Saya akan ingat pesan tok.”
“Jom kita gerak sekarang. Karang matahari dah tinggi, kedai runcit tu tutup pula.” ujar Tok Omar. Cepat-cepat datuknya pergi ke bawah rumah menyimpan bekas yang berisi makanan ayamnya.
“Jom, Nadia. Na! Kami gerak dulu!” Laungan Tok Omar lalu berjalan maju ke hadapan.
Nek Na yang di dapur menyahut, “Baik, bang! Hati-hati!”
Nadia sekadar tersenyum. Dia terus melangkah, membuntuti Tok Omar dari belakang.
***
Dengan senyuman ke telinga, gembira benar Nadia apabila mendapat novel yang diidamkan. Berulang kali ditiliknya plastik yang berisi dua buah novel itu.
Tok Omar yang melihat cucunya begitu mengelengkan kepala sambil tersenyum. Tangannya masing-masing menjinjing plastik yang berisi barangan dapur.
“Bukan main kamu ni. Kejap lagi sampai rumah, bacalah puas-puas.”
Nadia tertawa lalu memeluk lengan Tok Omar, “Terima kasih, tok!”
Tok Omar juga tidak lekang senyumannya, “Sama-sama. Sana sikit, karang buku tu bau ayam pula.” Mereka berdua tertawa. Nadia melepaskan pelukannya.
Namun, senyuman mereka berdua secara langsung memudar. Melihat seseorang berdiri di hadapan mereka dengan berpakaian serba hitam langsung mematikan detik gembira mereka. Penutup kepala yang menutupi kepalanya membuatkan mereka tidak dapat melihat wajahnya.
“Siapa kau?” Datar Tok Omar bersuara. Susuk itu tidak membalas, malah dia meluru laju ke arah Tok Omar lalu melepaskan tumbukan. Segera Tok Omar mengelak ke tepi. Plastik-plastik tadi terpaksa dilepaskan ke tanah. Nasiblah barangan di dalamnya tidak terkeluar.
Nadia dengan tangkas memusingkan tubuhnya, melepaskan sepakan ke kiri orang itu. Orang itu terlebih dahulu menarik kaki Nadia lalu memusingkannya. Serentak tubuh Nadia berputar dan menghempas tanah. Nadia mengaduh sakit, tidak bersedia dengan serangan yang mengejut. Plastik yang di tangannya juga tercampak akibat serangan itu.
“Nadia!” Tidak sempat Tok Omar bergerak ke arah Nadia, orang itu sudah melepaskan sepakan hadapan. Mujur datuknya pantas mengilas sepakan itu. Mereka kemudian saling bertumbuk, mengilas sesekali melepaskan tendangan. Di saat-saat akhir, Tok Omar tidak sengaja terpijak kaki pihak lawan. Orang itu mengambil peluang untuk menarik kaki Tok Omar lalu membuat kuncian.
Nadia menggigit bibirnya. Dia melakukan lompat lincah ke hadapan dan meluru laju ke arah orang itu. Tidak sampai beberapa saat, orang itu sudah rebah ke tanah dalam keadaan tertiarap. Ketangkasan Nadia tidak sempat dilihatnya dengan jelas.
Mata Nadia mencerlung ke arah orang itu, lantas dia melaung, “Siapa kau?”
Tok Omar yang berada dekat terus tertawa. Berkerut dahi Nadia dibuatnya. Apa yang kelakar?
“Tidak sedarkah yang kamu lawan itu, ibu kamu sendiri, Nadia?” Tawa Tok Omar masih belum hilang.
Orang yang tertiarap tadi menggunakan kedua penumbuknya untuk duduk. Dia kemudian menarik penutup kepalanya, mendedahkan identiti sebenarnya. Orang itu tersenyum manis ke arah Nadia.
Seketika Nadia terlopong. Kemudian laju dia memeluk orang itu.
“Ibu! Tak bagitahu pun nak datang. Kenapa ibu buat suspen gitu. Ibu ada sakit mana-mana? Maaf terlalu kuat hempas ibu tadi.” Cepat-cepat dia memeriksa tubuh ibunya itu. Ibunya hanya tertawa lalu mencium pipi Nadia.
“Nama pun surprise. Boleh tahan kuat anak ibu ni!” Nadia mengaduh dengan tindakan ibunya mencubit pipinya.
“Bila kamu sampai ni? Mak dah tahukah yang kamu datang?” soal Tok Omar sebaik tawanya reda.
“Dah abah. Mak dah tahu saya datang. Tahu jer abah dengan Nadia gi pekan dulu, saya tukarlah pakaian gini. Saje nak uji anak ibu ni dah power ke tak.” Pipi Nadia dicubitnya lagi. Nadia melaung sambil menggosok pipinya. Habis merah dibuatnya.
Tok Omar menghela nafas, “Haih kamu ni Raudhah. Datang mengejut begini buatkan abah sakit jantung, tahu? Dah-dah. Kamu kena tolong angkat barang-barang ni. Siapa suruh menyergah kami begitu?” Tok Omar segera meninggalkan Raudhah dan Nadia yang masih terduduk di lantai.
“Alah, abah. Gurau sikit pun tak boleh.” Rungut Raudhah. Nadia tertawa sambil menutup mulutnya. Tidak sampai hati pula membiarkan ibunya mengangkat barang seorang diri. Jadi dia turut membantunya.
Hari itu kecoh dengan telatah sekeluarga ini. Masing-masing saling bertukar cerita. Nadia ibarat gembira tak terhingga. Lama benar dia tidak bertemu ibunya sejak tiga tahun lalu.

YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...