Nyaman hawa dingin pagi itu tidak diendahkannya. Nadia masih leka dengan latihan persilatannya. Cumanya latihan pagi itu tidak seperti selalunya kerana Tok Omar tidak ada di situ.
Setelah puas mengayunkan kayu itu, dia kemudian mendekati ke sebatang pokok yang terdekat. Perlahan tangannya menggosok permukaan lengkuk pada pokok itu. Dia tertawa sendiri, mengimbau pertama kali dia perlu menumbuk pokok itu sehingga lebam dibuatnya. Ketika itu juga dia hampir memutuskan untuk lari, namun tertangkap jua oleh Tok Omar. Kemudian harinya, dia didenda untuk menangkap ayam. Selagi tidak dapat seekor ayam, selagi itulah dia tidak dibenarkan masuk ke dalam rumah.
Tangannya sudah digenggam rapat, seolah mahu menumbuk. Namun dijauhkan pula tangannya. Tiba-tiba rasa risau jikalau ditumbuk kuat, pokoknya tumbang.
“Kenapa tak tumbuk jer pokok tu?” soal Tok Omar dari belakang. Nadia sekadar hela nafas sambil menggeleng.
“Tak boleh, tok. Kalau patah pokok ni, hilang kenangan saya kat sini.” Dipaksanya memberi senyuman manis meskipun terasa air matanya tidak lama lagi akan gugur.
Tok Omar merapat ke arahnya. Lalu memaut bahunya.
“Tok faham. Usahlah banyak berfikir. Kamu tu muda lagi.”
Wajah Nadia terus menunduk sebaik mendengar pujukkan datuknya. Tangan datuknya kemudian memegang dagunya, mintanya untuk terus memandang ke wajahnya. Saat itu, air matanya sudah gugur. Tidak dapat dibendung lagi emosinya waktu itu.
Tok Omar tersenyum nipis kerana sudah mengagak yang cucunya itu akan menangis, meskipun tidak bersuara. Datuknya kemudian mengusap air matanya yang mengalir.
“Usahlah bersedih, Nadia. Tak moleklah intan payung tok ni nangis. Semangatlah. Ambil peluang ini untuk mencari pengalaman baru.” Pujuknya lagi. Tanpa disangka-sangka, Nadia terus memeluk datuknya itu.
“Nanti saya rindu kampung. Bandar tak sama tok.” Luahnya. Memang hatinya memberontak tidak mahu pergi meninggalkan kampung halamannya. Suasana kampung ini sudah sebati dengan jiwanya.
Tok Omar menghela nafas. Badan Nadia digosok perlahan.
“Ambillah peluang ini untuk mencari pengalaman baru.” Suara Tok Omar seolah merayu padanya untuk tidak bersedih.
Nadia melepaskan pelukan lalu menarik nafas dalam. Setelah dia kembali bertenang, dia memandang wajah datuknya itu. Wajah sayu datuknya membuatkan terasa dia hendak menangis kembali. Pantas dia memalingkan wajahnya ke tepi.
Tanpa disangka-sangka, laju penumbuk Tok Omar mengarah mukanya. Namun dia lebih tangkas menunduk.
Wajah orang tua itu dipandang kembali dengan kehairanan. Tok Omar tertawa perlahan membuatkan dia sedar itu hanya helah untuk dia memandang datuknya kembali.
“Ingatkan dah tak peka dah. Nasib baik sempat elak tu.” Gumam datuknya. Nadia mendengus sambil memeluk tubuhnya, memusingkan badan ke belakang.
“Usahlah merajuk hati. Kamu merajuk, yang tok ni tak terkesan sekali kah?”
Sentap. Barulah otaknya mencerna kembali tingkah lakunya sekarang. Perlahan dia memusingkan tubuhnya menghadap Tok Omar kembali.
Belum sempat hendak dia hendak membuka mulut kembali, datuknya memintas katanya dahulu.
“Hah. Sebelum sambung cakap, jom duduk kat batu sungai tu. Penat tok berdiri dari tadi.” Spontan orang tua itu meninggalkan dia yang tercegat di situ. Dalam keadaan tak puas hati, berat dia melangkah ke batu sungai itu.
Sebaik sahaja duduk, mereka berdua sekadar termenung. Beberapa minit berlalu, tiada apa-apa percakapan. Melayan emosi yang membukit.
"Nadia! Barang dah packing belum! Ibu nak masukkan dalam kereta ni!" Pekikan Raudhah menyentapkan mereka berdua.
"Y-ya ibu! Dah-dah! Ada beg troli maroon dalam bilik tu!" Teragak-agak dia hendak balas laungan ibunya. Raudhah membalas 'okay' sebaik mendengar laungan anaknya itu.
Tanpa sedar, mentari sudah meninggi. Berapa lama mereka berdua duduk di situ tanpa bercakap?
“Tok pun tak tahu nak cakap apa, Nadia. Tu yang kita diam jer dalam tadi.” Ujar Tok Omar perlahan, seolah dapat membaca isi hatinya tadi.
Nadia sekadar menggumam. Disepak-sepak air sungai yang menyentuh kakinya.
Tok Omar menghela nafas lalu meregangkan badannya, “Mahu berlawan untuk kali terakhir?” cadangnya. Rasa bosan pula apabila duduk tanpa berbicara apa-apa.
Nadia mula-mula memandangnya kehairanan, namun kemudiannya tersengih sambil mengangguk. Kepala datuknya melenggok sedikit ke tepi, mengajaknya ke gelanggang. Namun Nadia menggeleng sambil menunjuk ke arah air di kakinya, mahu berlawan di air sungai. Datuknya sekadar menggumam, terus bangun diikuti Nadia.
“Koyak karang kain pelikat tok ni.”
“Apa bezanya kat gelanggang dengan air? Tetap sama akan terkoyaknya.” Sindir Nadia. Tok Omar tertawa perlahan.
“Iyalah. Jom.” Ditarik sedikit kain pelikat itu. Kemudian dirapatkan kedua tangannya. Begitu juga Nadia.
Sebaik sahaja tangan itu turun ke sisi, masing-masing pantas bergerak melepaskan jurus tanpa membuka bunga. Dalam rancak mereka bersilat itu, dari kejauhan Nek Na dan Raudhah memandang mereka sambil tersenyum sayu.
YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...