Namun, keceriaan hari keesokannya tidak sama seperti kelmarin.
Seusai sahaja solat subuh, dia terus duduk ke atas batu sungai yang lebar itu. Rutin yang selalu dia lakukan, diabaikan begitu sahaja. Kepalanya merawang entah ke mana-mana.
Perbualan malam semalam membuatkan dia tergamam sebentar.
"Nadia nak ikut ibu balik Melaka?" Suara Raudhah bergema di kepala.
Dia mengubah posisi duduknya kepada berbaring. Tangannya kemudian disilangkan ke belakang kepala. Mujurlah batu itu lebar, bolehlah dia berbaring biarpun kaki tetap mencecah air sungai. Sikit pun kesejukan air itu tidak dirasakannya.
“Boleh ibu berikan sedikit masa untuk saya berfikir?”
Dia menghela nafas panjang. Otaknya ligat, apakah dia patut mengikut ibunya pulang ke bumi Melaka atau tetap tinggal bersama dengan datuk dan nendanya?
Semuanya ibarat hinggap bak langau, titik bak hujan. Tidak pernah dia terfikir untuk kembali hidup bersama ibunya. Benar, dia tetap meraih kasihnya seorang ibu. Namun untuk menerima hakikat yang secara tiba-tiba ini buatkan dia tidak dapat mencerna langsung apa keputusan yang patut dilakukan.
Jikalau ditolak, kasihan pada ibunya pula. Jika diterima pula, rindu tak berpenghujung pada kampung halaman ini. Manakan tidak, suasana bandar jauh berbeza dengan suasana kampung yang penuh dengan flora dan fauna. Bolehkah dia biasakan diri di bandar?
“Jauh benar dia termenung tu. Tak sedar dah matahari dah naik.” Lamunannya terhenti sejurus mendengar suara yang dikenalinya, Nek Na. Dia meraup wajahnya. Entah kenapa wajahnya terasa basah. Lalu menoleh ke kanan. Kelihatan Nek Na sedang berjalan ke arahnya.
“Itulah, Na. Abang renjis air dari tadi pun macam tak sedar dah.” Bahunya terhencut sebentar mendengar suara Tok Omar yang duduk di samping kirinya. Berulang kali dia beristigfar. Kedua orang tua itu masing-masing tertawa melihat reaksi cucunya itu.
“Sejak bila tok kat sini? Tak perasan pun.” Katanya polos. Ditolak tubuhnya duduk kembali.
Tok Omar menggumam, “Mana nak perasan. Kalau boleh, mengelamun tu terus sampai ke bulan sana. Haih kamu ni. Banyak benar masalah dalam otak tu.” Sindir Tok Omar. Nadia sekadar mengaru kepalanya yang tidak gatal sambil tersengih.
“Masih memikirkan hal semalamkah?” Soal Nek Na pula. Nendanya juga duduk di sebelah kanannya. Besar batu sungai ini memang memuatkan lebih kurang tiga ke empat orang. Tidak hairanlah jika nendanya menebar tikar getah lalu berkelah di sini sahaja.
Lambat-lambat Nadia mengangguk, mengiyakan soalan nendanya itu. Kedua orang tua itu menggumam, memahami apa yang dilamumkan oleh cucunya itu. Mereka terdiam sejenak, membiarkan bunyi alam menjadi irama lagu.
“Ibu mana?” soal Nadia memecahkan kesunyian mereka.
“Katanya hendak jumpa kawan lamanya di pekan. Tadi ada dilaung nama kamu, tapi itulah mengelamunnya tak sedar dah orang memekik dari tadi.” Ujar Tok Omar?
Kening Nadia terangkat, “Memekik? Semua panggil saya ke tadi?”
Nek Na spontan merenjis air pada cucunya itu, “Iyalah, intan payung oi! Lepas solat terus keluar sini. Makan sarapannya tak. Tok Omar duduk situ dari tadi pun tak perasan. Manakan kamu nak sedar ibumu ke mana.”
Nadia meraup wajahnya sekali lagi. Sungguh lama rupanya lamunannya tadi.
“Maafkan cucu nek dan tok ni. Saya masih belum ada keputusan untuk ikut ibu atau tak. Susah benar hendak memikirkan jawapannya,” luahnya sambil menghela nafas.
Tok Omar mengusap janggutnya lalu memandang ke arah Nek Na, seolah meminta pendapatnya juga. Nek Na pula menggeleng tidak tahu untuk cadangkan apa pada cucunya.
“Saya memang nak bersama ibu, tapi nanti rindu pada nek dan tok tak kesudahan pula. Sudahlah jarak antara Sarawak dengan Melaka tu jauh.” Sambungnya sejurus melihat kedua orang tua itu tidak tahu mahu merespon apa.
“Tapikan, boleh sahaja Nadia balik sini naik kapal terbang? Mesti seronok tiap kali balik ke sini, naik kapal terbang.” balas Nek Na. Namun Nadia menggeleng.
“Kasihan pada ibu. Kos pergi balik mesti tinggi. Saya tak mahu menyusahkan ibu.”
Tok Omar pula menyambung, “Tetapi kasihan juga pada ibu kamu tu, Nadia. Sudah tiga tahun tak bersama anak tunggalnya. Mungkin inilah masa untuk dia menjaga kamu kembali, selepas tiga tahun arwah ayah kamu pergi.” pujuk Tok Omar pula.
Nadia mengetap bibir. Ada benar juga kata datuknya itu. Kasihan pula pada ibu.
“Macam mana Nadia?” soalan Nek Na menariknya kembali ke realiti. Dia berdehem beberapa kali.
“Ibu kat sini lagi berapa hari?” soalnya lagi.
“Seminggu.” Jawab Tok Omar.
Dia mengangguk sambil menggumam. Seminggu. Mungkin pada waktu seminggu ini adalah masa yang cukup dia berikan jawapan.
“Berikan masa seminggu. Dua hari sebelum ibu pulang, akan saya bagitahu keputusan saya.” Muktamad. Jika dia putuskan tidak, maka tidaklah. Jika dia mahu, maka akan dia mengikut ibunya pulang ke Melaka.
Hari demi hari berlalu. Rutin hariannya tetap dilaksanakan. Latihan silat perlu sentiasa diperkukuhkan agar dia tidak sedikit pun terleka. Walau bagaimanapun, hari-hari itu antara hari yang dia tidak dapat fokus sepenuhnya. Adakala dia tersadung. Adakala juga dia tersilap percaturan. Rasanya kali terakhir dia jatuh begitu dua tahun lepas. Namun, minggu itu membuktikan dia hampir tewas dengan persoalan yang benak di mindanya.
Tibanya hari untuk dia memutuskan keputusan akhir. Dia seperti biasa dengan latihannya. Dengan sepenuh jiwanya, dia memilih untuk mengikut ibunya pulang ke tanah kelahirannya, Melaka. Sungguhpun berat hendak diputuskan, namun setelah dia meminta pertolongan Allah SWT melalui Solat Istikharah. Yakinlah dia apa yang dirasainya adalah petunjuk daripada Allah SWT.
YOU ARE READING
Rahsia Di Sebalik Kembali
ActionRAHSIA DI SEBALIK KEMBALI Nadia Adila, seorang remaja biasa yang asalnya tinggal bersama datuk dan nendanya, Tok Omar dan Nek Na di kampung. Genap tiga tahun dia tinggal bersama kedua orang tua itu, ibunya, Raudhah kembali membawanya pulang ke tanah...