You stole my heart.

180 25 3
                                    


🎶 Melly Goeslaw & Andhika Pratama - Butterfly 🎶


KOSONG. Padahal tadi, aku rasa hidupku seperti dipenuhi sesuatu. Hitam dan putih semuanya. Padahal tadi, pandanganku terasa seperti diwarnai. Semuanya seolah-olah kembali ke tempat asalnya setelah lelaki itu menghantar aku pulang ke wad hospital, bilik persendirian aku.

Tuan Aisy Fayyadh.

Dia membawa aku bersiar-siar di sekitar hospital ini tadi dan kami sempat singgah di kafe hospital. Sejujurnya inilah kali pertama aku berbual lama dengan manusia sejak dimasukkan ke sini. Selalunya dengan haiwan. Hadirnya dia buat aku sedar yang betapa sendu hidupku, rupanya.

Kini, keadaan kembali ke tempatnya. Aku pandang siling, siling pandang aku. Sunyi dan kosong rasanya. Agak-agak... dia akan datang lagi tak? Tiba-tiba kotak fikiranku dipenuhi si dia.

Argh, Aisy Liliann. Apa yang kau tengah fikirkan ni? Tak mungkin kau dah terbayang-bayang dengan seseorang yang kau baru jumpa kurang dari tiga jam? Gila, ini semua gila. Tak mungkinlah, lagipun aku sudah berjanji yang aku takkan jatuh cinta dengan sesiapa.

Tekak kering-kontang. Aku mengerling ke arah meja kecil yang berada di sudut hujung dalam bilik. Ada botol airku yang sentiasa diisi oleh jururawat. Jauhlah pula. Sudahlah aku tak rajin nak naik atas kerusi roda.

Untuk berpaut pada besi katil, bibirku mengeluh halus. Kemalangan empat bulan lepas membuatkan sedikit keretakan pada tulang kakiku. Nasiblah masih boleh diselamatkan tetapi aku berasa kurang yakin untuk berjalan semula. Apatah lagi bila aku berada dalam koma selama empat bulan.

Rasa ngeri itu muncul setiap kali aku cuba letakkan tapak kaki di lantai. Kadang-kadang bila dipaksa, pasti kaki kanan aku akan membengkak. Jadi, aku perlu rawatan sepenuhnya dahulu sebelum fisioterapi. Ringkasnya, aku belum boleh berjalan dan masih bergantung dengan kerusi roda.

Pintu diketuk. Mataku spontan menutup. Inilah rutin yang dibuat setiap kali jururawat datang memeriksa keadaan aku. Sungguh, aku ini bukanlah seorang yang gemar bersosial. Namun, tidak bermaksud aku tidak suka manusia.

"Assalamualaikum, Kak Aisy!"

Suara itu. Aku telan liur sendiri usai mendengar suara yang kukenal. Namun badan masih tidak berkutik. Terdengar bunyi kasutnya melangkah ke arah katil. Kerusi bersebelahan katilku kedengaran seperti bergerak-gerak. Mungkin budak kecil itu sedang memanjat naik.

"Alaaa... Kak Aisy tidur ke?"

Babah berkahwin semasa aku berumur sepuluh tahun. Arash, anak babah bersama perempuan yang dilamarnya sehari selepas tahlil arwah ibu habis. Mereka mendapat cahaya mata setelah lapan tahun berkahwin. Aku sendiri tidak terbayang di usia 18 tahun, aku akan mendapat adik. Sekarang usianya sudah genap empat tahun.

"Arash rindu Kak Aisy ni."

Aku tidak menjawab. Tapi, semakin dibiarkan lama, semakin aku hairan. Kenapa tak dengar suara lain selain dari budak kecil ini? Dia datang dengan siapa? Otak penuh kata tanya sampai aku buat keputusan untuk buka mata.

Aku pandang sekitar bilik, kosong kecuali budak lelaki ini yang semakin suka bila tengok aku terjaga. Soalannya masih sama, dia datang dengan siapa?

"Yeay Kak Aisy dah bangun! Kak Aisy sihat tak?"

Aku mengerling ke arah wajah cerianya namun hanya sekilas. Nafas kasar dihembus sekali. Bibir terasa tak ingin mengungkap apa-apa.

"Arash ada lukis Kak Aisy... harap Kak Aisy suka! Arash buat dekat sekool. Teceer cakap lukisan Arash cantikkk." Sekeping kertas dihulur ke arah aku yang hanya mendiamkan diri. Bila tidak berbalas, dia rajinkan tangan untuk letak di atas pahaku.

One: Untuk Sekali LagiWhere stories live. Discover now