I know you.

781 64 7
                                    


🎶 Tak kan hilang - Budi Doremi 🎶


HOSPITAL. Bersama kekuatan yang berbaki, dua belah tanganku menolak roda dari kerusi roda yang diduduki. Anak mata memandang ke arah ruang koridor yang mempunyai banyak pintu dari setiap bahagian rawatan yang berbeza.

Dari seawal waktu pagi sehingga ke petang, koridor ini sentiasa dipenuhi manusia yang datang dengan pelbagai ragam. Ada pesakit yang berkerusi roda seperti dirinya, ada yang terbaring di atas katil dan ditolak dengan jururawat, ada kerenah ahli keluarga atau kenalan yang datang melawat pesakit.

Suasana ini... langsung tidak berubah, ya? Sentiasa sibuk.

Bibirku tersenyum tawar sebelum melajukan pergerakan ke arah suatu pintu besar yang menuju ke arah taman di luar. Meskipun tiada iringan sesiapa, aku sudah tahu selok-belok jalan di hospital besar ini. Dan taman ini merupakan taman kegemaran aku untuk menghirup udara segar.

Namaku, Aisy Liliann, yang diberi oleh bapaku sejak 22 tahun lalu. Setahuku Lilian dalam bahasa Latin bermaksud bunga Lili. Mungkin itu juga menjadi alasan kenapa aku gemar ke sini kerana taman ini dipenuhi bunga itu.

Nafas ditarik dalam-dalam. Ingin sekali aku mula bertenang namun sebaik sahaja anak mata beralih ke arah pondok berhampiran kolam ikan, nafasku dihela kuat dan laju. Sepasang mata coklat mudaku terpandang ke arah pondok kayu jati bersejarah itu.

Dulu, di situlah tempat aku dan babah membawa arwah ibu bersiar-siar di sini. Dulu, di situlah aku bercerita tentang kesukaran belajar di luar negara kepada mereka berdua. Dulu, di situ jugalah kami sekeluarga akan makan bersama setiap kali datang melawat ibu. Kini, tempat itu sudah menjadi tempat rehat keluarga lain.

Deringan kecil dari notifikasi telefonku berbunyi menandakan ada pesanan masuk. Nama Tan Sri Ashraf tertera pada skrin.

Aisy masuk hospital lagi ke? Maaf babah ada hal dekat luar negeri. Nanti bila dah selesai, babah datang melawat anak abah.

Pesanan yang masuk hanya dibiarkan sebagaimana aku biarkan panggilan telefon dari babah sebelum ini. Relung hatiku terlalu kosong hingga aku termenung ke arah pancuran air di dalam kolam. Sebenarnya terlalu sukar untuk aku percaya. Bukannya aku tak tahu, babah pasti sedang sibuk dengan keluarga lainnya.

Bila terkenangkan yang kami berdua pernah rapat, hatiku jadi sakit. Luka lama masih berdarah. Parut lama masih kekal ada. Tidaklah Aisy Liliann ini lupa akan pengkhianatan babah yang berkahwin sehari setelah selesai majlis tahlil arwah ibu.

Apa yang lebih remukkan hatiku lagi bila isteri baru babah merupakan bekas kekasihnya di zaman universiti dulu.

Banyak persoalan yang terbit dalam kotak fikiran pada ketika itu. Antaranya, adakah kenangan terindah kami sekeluarga selama ini merupakan lakonan babah semata-mata? Dek rasa benci dan tertipu itulah yang membuat aku semakin menjauh dengan ahli keluarga lain yang masih ada.

Kalau babah sayangkan aku, babah takkan kahwin lain sebaik saja ibu pergi, kan? Hanya Tuhan yang Tahu betapa pilunya hatiku dihiris ketika itu.

"I hate you. I know I do. You've hurt me, not physically but emotionally and mentally. I hate you, I hate you so much, babah!" Mulut melepas kata geram bila otak mula menayang kemesraan keluarga baru babah tiga hari lepas. Mereka nampak sangat bahagia dan aku masih terperangkap dalam merindui arwah ibu.

"Aisy tak kisah pun babah nak datang melawat Aisy ke tak. Aisy tak kisah pun babah dekat mana, buat apa sekali pun. Babah tahu Aisy benci babah tapi kenapa babah tetap nak muncul dalam hidup Aisy?" Jari-jemari menekan pada skrin telefon, bergerak untuk menyekat nombor baru babah.

One: Untuk Sekali LagiWhere stories live. Discover now