3

13 2 2
                                    

Fikri Adam tertanya-tanya, kenapa Nadeera Huda memutuskan hubungan dengannya sejak mereka menamatkan zaman persekolahan mereka. Dalam ramai-ramai, Nadeera Huda merupakan satu-satunya rakan sekelas Fikri yang hilang dari radar.

Apabila Fikri bertanyakan tentang Nadeera terhadap kawan-kawannya, mereka semua menjawab dengan acuh tak acuh. Seolah-olah ada sesuatu yang mereka sembunyikan daripada Fikri. Namun sekarang, Fikri bertemu sekali lagi dengan Nadeera. Dia tersenyum ketika mengingatkan kenangan lama.

Dahulu dia seringkali mengusik Nadeera. Mungkin kerana gadis itu mudah marah dan banyak cakap. Fikri memarkir kereta miliknya di bawah pokok rambutan itu. Kedai kopi Pion disinggahinya. Kelihatan Naim Hakim, rakan lamanya sedang menunggu Fikri.

"Naim!" Tegur Fikri dengan ceria.

"Weh, Fikri!"

Mereka bersalaman setelah sekian lama tidak berjumpa. Mereka duduk lalu memesan kopi dan teh.

"Kau tukar ke sini ke?" Soal Naim.

Fikri mengangguk. "Haah, alang-alang aku nak dekat dengan mak aku"

Naim mengangguk faham. Tiba-tiba, Fikri terfikir untuk bertanyakan soal Nadeera yang menghilang terhadap Naim.

"Naim, kau ada jumpa Nad?" Soal Fikri.

"Nad? Nad mana eh?" Tanya Naim.

"Alah, Nadeera. Classmates kita dulu" balas Fikri.

"Oh, Nad. Aku ada terserempak dengan dia dekat kedai runcit Wak Meon. Kenapa?" Tanya Naim lagi.

"Haritu masa aku ambik anak sedara aku kat sekolah, aku terjumpa dengan dia. Tak sangka dia jadi cikgu sekolah sini. Dahla lepas kita habis sekolah, aku terus lost contact dengan dia. Takde khabar berita langsung" terang Fikri panjang lebar.

"Oh.. pelik jugak dia tiba-tiba lost contact ngan kau" ujar Naim sebelum menghirup kopi panas tersebut.

Kening Fikri terangkat. "Kenapa?"

"Dulu dia suka kau. Alah, orang zaman sekarang panggil apa eh.. crush eh?"

Fikri terkejut ketika mendengar kata-kata Naim. Dia tidak menyangka Nadeera pernah menyukainya suatu ketika dahulu.

"Kau biar betul?" Tanyanya tidak percaya.

"Betul. Obvious gila kut. Dia selalu ambik berat pasal kau walaupun dia selalu cakap dia menyampah dengan kau. Dia sebenarnya nak sorok perasaan sebenar dia. Lagipun, kau kan minat dekat Alisya dulu."

Fikri terdiam ketika mendengar kata-kata Naim. Dia tersandar di kerusi. Informasi tersebut perlu dihadam sebaik mungkin.

"Tapi tu dululah.. Maybe sekarang dia dah move on.. dah 10 tahun kut. Entah-entah dia dah ada orang lain" kata-kata Naim seolah-olah menusuk ke kalbu Fikri.

Malam itu, Fikri melihat akaun Instagram milik Nadeera. Gadis itu sering memuatnaik gambar dia bersama rakan-rakan. Tidak ada satu pun yang memaparkan Nadeera bersama lelaki lain.

"Dia dah move on ke?" Tanya Fikri sendirian.

Dia bingkas bangun dan mundar-mandir di dalam biliknya. Tiba-tiba, dia mendapat satu akal. Dia lalu keluar dari bilik. Kelihatan Adlan sedang menonton kartun di ruang tamu.

"Adlan, pak su nak tanya" kata Fikri sambil duduk di sebelah Adlan.

"Kenapa pak su?" Soal Adlan.

"Teacher Nadeera tu baik tak?" Soal Fikri.

Adlan mengangguk. "Baik! Dia selalu ajak Adlan makan sama-sama masa rehat."

"Ok, pak su nak Adlan buat camni.." Fikri berbisik ke telinga Adlan.

Adlan mengangguk. "Ok pak su!"

Keesokan harinya, Nadeera sedang berjalan menuju ke kelas darjah 2 apabila Adlan mendekatinya. Mata Nadeera terarah terhadap budak kecil itu.

"Assalamualaikum Teacher Nad!" Adlan memberi salam.

"Waalaikumussalam, Adlan nak pergi mana?" Soal Nadeera.

"Nak pergi tandas" jawab budak lelaki itu.

Namun, mata Adlan terarah terhadap jari-jemari Nadeera. Nadeera tidak mengerti apa yang diperhatikan Adlan. Dia tertanya-tanya, namun persoalan kenapa Adlan memerhatikan jari-jemarinya tidak keluar dari mulutnya.

"Teacher, kenapa teacher tak pakai cincin? Adlan tengok cikgu-cikgu lain dah pakai" soal Adlan.

Nadeera sedikit tergamam mendengar pertanyaan Adlan. Namun bagi Nadeera, mungkin itu hanya sekadar pertanyaan spontan daripada Adlan.

"Oh, cikgu-cikgu lain pakai cincin sebab mereka dah kahwin. Teacher tak kahwin lagi" balas Nadeera.

"Ooo.. teacher takde boyfriend ke?" Tanya Adlan lagi.

Nadeera agak terkejut mendengar pertanyaan Adlan kerana budak lelaki itu bukanlah seorang yang kepoh.

"Er, takde. Kenapa Adlan?" Tanya Nadeera.

Adlan menggeleng. "Takdelah teacher, Adlan pergi dulu ya, bye!" Adlan lalu berjalan pergi, meninggalkan Nadeera yang tertanya-tanya.

Malam itu, Adlan mendekati Fikri. "Pak su, Teacher Nad tak pakai cincin"

"Ye ke?" Fikri tersenyum. Nampaknya dia masih ada peluang.

Fikri sebenarnya serba-salah. Mungkin Nadeera tidak bertanya khabar kerana mahu melupakannya. Dan akhirnya mereka bertemu lagi. Fikri mahu merapatkan silaturrahim mereka sekali lagi. Sebagai kawan. Dia mahu membetulkan kesalahannya.

Namun jauh dalam hati dia tertanya-tanya. Adakah Nadeera masih lagi menyimpan perasaan terhadapnya? Ketika mereka berjumpa tempoh hari, riak wajah Nadeera kelihatan sangat terkejut. Seolah-olah dia terlihat hantu. Fikri mengeluh, dia berbaring di atas katil sebelum terlelap.

EnchantedTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang