SUASANA di rumah banglo itu kelihatan sayu. Ramai tetamu sudah pun pulang selepas majlis tahlil selesai.
Jabbar mengusap lembut rambut si adik. Masih terdapat kesan luka di wajah Jiyad. Kini hanya tinggal mereka berdua selepas pemergian arwah mama dan papa.
"Along."
Jabbar angkat wajahnya. Senyuman nipis diberikan kepada wajah pembantu kanan arwah papa.
"Uncle."
Encik Zahrain duduk bersila di hadapan anak muda itu. Sungguh dia bersimpati dengan nasib dua beradik itu. Dalam sekelip mata, Jabbar dan Jiyad bergelar anak yatim piatu.
"Mana ibu saudara along?"
"Entah." Malas Jabbar nak mengambil tahu. Semalam dia mendapat tahu mak su masih berada di luar negara. Tak dapat pulang ke Malaysia disebabkan kehabisan tiket.
Jujur dia terkilan dengan perbuatan ibu saudaranya itu. Yang meninggal ialah arwah kakak kandung mak su sendiri."Bila along nak balik ke sana?"
"Mungkin along tak akan balik ke sana lagi. Jiyad perlukan along sekarang."
Encik Zahrain mengangguk faham. Jika Jabbar kembali ke luar negara untuk menyambung pelajaran, macam mana dengan nasib Jiyad? Anak kecil itu masih berusia 10 tahun.
"Petang tadi uncle ada ke balai. Mereka minta uncle ke sana."
"Ada apa-apa yang mencurigakan?" Laju Jabbar menyoal.
"Hasil siasatan pihak polis, kereta arwah memang dalam keadaan baik. Tiada unsur jenayah. Mungkin betul andaian mereka. Punca kemalangan itu berlaku disebabkan pemandu arwah diserang penyakit jantung."
Mata terpejam rapat. Dia kenal dengan pemandu arwah papa. Sudah tentu dia turut bersedih dengan kematian satu-satunya pekerja yang paling lama di sisi keluarganya.
"Macam mana dengan keluarga arwah Pak Cik Taha?"
"Arwah dah dikebumikan semalam. Esok uncle akan ke sana untuk melawat mereka. Along nak ikut?"
Jabbar menggeleng lemah.
"Banyak urusan along di sini. Sampaikan salam along kepada mereka. Nanti along akan berikan sedikit pampasan kepada keluarga arwah."
Setelah berbual, tubuh kecil Jiyad dicempung dan dibawa masuk ke bilik. Tubuh itu dibaringkan di atas katil.
Wajahnya diraup kasar. Baru beberapa hari lepas dia berbual bersama mama dan papa. Dan hari ini, mama dan papa sudah pergi untuk selama-lamanya. Air mata yang ditahan sejak dari tadi gugur ke pipi.
Teresak-esak dia menangis. Impiannya untuk membanggakan mama dan papa tidak kesampaian.
"Along..."
Tersentak Jabbar. Pantas dia kesat kedua pipinya. Jiyad bangun dari berbaring sambil menenyeh mata.
"Mama dan papa dah balik?"
Jabbar tersenyum kelat. Pasti Jiyad terlupa tentang perkara yang berlaku semalam.
"Papa dan mama tak mungkin akan balik ke sini. Allah lebih sayangkan mama dan papa."
Bibir Jiyad melengkung ke bawah. Sebelum Jiyad menangis, pantas Jabbar tarik tubuh itu masuk ke dalam pelukannya.
"Along ada. Lepas ni, kita berdua akan tinggal di rumah ini. Along janji akan jaga Jiyad."
"Along tak akan balik ke sana?"
"Tak. Along akan terus tinggal di sini."
Wajah Jiyad kembali ceria. Mereka saling berpelukan.
BERITA kematian ibu bapa Jabbar sampai ke pengetahuan Ayra. Gadis itu terus menghubungi lelaki itu untuk mengucapkan takziah. Namun dia tidak dapat menerima keputusan Jabbar untuk berhenti belajar."You dah fikir masak-masak ke?"
"Ya. I rasa, ini aje yang terbaik. Adik I perlukan I di sini. Dan I nak belajar uruskan syarikat papa."
Tenang Jabbar berikan jawapan. Hampir seminggu mereka kehilangan papa dan mama. Syukurlah keadaan adiknya bertambah baik. Tidak lagi meracau seperti beberapa malam yang lepas.
"You masih ada tiga tahun lagi. Sayang kalau you tak habiskan pelajaran di sini. Kenapa you tak suruh ibu saudara you jaga dia?"
"No. I tak akan biarkan adik I dijaga oleh orang lain."
Tak akan sesekali dia serahkan kepada orang lain untuk menjaga Jiyad. Dulu dia pernah berjanji kepada mama. Mustahil dia lepaskan tanggungjawabnya kepada orang lain.
"Jadi you dah nekad tak akan balik ke sini?"
"Ya."
"You... tak nak jumpa I?"
"Kita akan jumpa nanti bila you balik ke sini."
"Maksud I, you tak akan cari I?"
Jabbar pejamkan mata. Dia faham perkara yang ingin disampaikan oleh gadis itu.
"I minta maaf. Buat masa ni, I pilih untuk jaga keluarga I terlebih dahulu."
Biarlah dia berterus terang. Jabbar tak nak berikan harapan kepada gadis itu.
"I faham. Tapi kita masih tetap berkawan kan?"
"Dah tentu. I akan sentiasa doakan you berjaya capai cita-cita you di sana."
Masing-masing berdiam diri. Jabbar tahu gadis itu mungkin sedang menangis.
"Jab..."
"Ehmmm..."
"I sayangkan you."
Terdiam Jabbar.
"Dan I akan tunggu you."
"Ayra..."
"I hanya akan putus asa bila you dah ada seseorang. Jadi selama you tak ada sesiapa, I anggap, I masih ada harapan."
"Jangan buat perkara yang sia-sia, Ayra." Jabbar menegah.
"I letak dulu. Nanti kita berbual lagi."
Tak sempat Jabbar mencelah, talian sudah dimatikan. Jabbar meraup wajahnya. Ternyata gadis itu masih nekad untuk mendapatkan cintanya.
Cinta?
Tak.
Belum masanya untuk dia bercinta. Yang perlu dia utamakan sekarang, ialah Jiyad.
YOU ARE READING
BADASS WIFE UNGKU JABBAR
FantasyPROLOG BUNGKUSAN makanan diletak di atas lantai. Dia duduk bersila sambil bersandar di dinding bilik. Nafas dihela lemah. Hampir semput dia dibuatnya gara-gara menaiki tangga. Hari ini seharian dia perlu bekerja. Dia tak boleh merungut walaupun ter...