JABBAR melangkah keluar dari pejabat kolej. Memandangkan Jiyad belajar di sini, dia berbesar hati untuk memberikan sedikit sumbangan untuk projek amal.
Alang-alang dia ke sini, ada baiknya dia mengajak Jiyad keluar makan bersamanya. Sejak lelaki itu tinggal di luar, jarang juga mereka berjumpa. Syukur adiknya sekarang sudah banyak berubah. Tidak lagi liar seperti dulu.
Telefon dikeluarkan dari poket seluar. Nombor Jiyad didail.
"Jiyad ada di mana?"
"Baru habis kelas."
"Jumpa along."
"Ha?" Terdengar lelaki itu menjerit kecil.
"Along ada di lobi kolej Jiyad. Jumpa along di tempat letak kereta."
Panggilan terus dimatikan. Dia terus melangkah ke arah tempat letak kereta. Entah di mana silapnya, dia tak perasan ada seorang gadis berjalan ke arah yang sama dengannya.
Terpegun Jabbar apabila bajunya habis basah gara-gara terkena minuman gadis itu.
"Allah. Saya... saya minta maaf, encik."
Kelam-kabut gadis itu cuba membersihkan pakaian lelaki itu. Bulat mata Jabbar apabila gadis itu selamba mengesat bajunya. Pantas Jabbar mencengkam pergelangan tangan gadis itu.
"Don't touch me."
Terkebil-kebil gadis itu. Jabbar pantas lepaskan tangan itu dan tanggalkan kot di tubuhnya.
"Dekat mana tandas?"
"Err... dekat hujung sana."
Jabbar terus berlalu pergi ke arah tandas. Dia terpaksa ambil masa yang lama untuk membersihkan pakaiannya. Disebabkan dia memakai kemeja putih, kesan air milo jelas kelihatan di bajunya.
"Menyusahkan betul." Bebel lelaki itu.
Hampir 20 minit, barulah dia keluar dari tandas.
"Kau mintalah duit dengan dia. Dia kan banyak duit. Aku yakin dia tak akan tolaklah kalau kau yang minta."
Terhenti langkah Jabbar.
"Hisy... seganlah. Nanti apa pula dia cakap."
"Kau ni bodohlah. Apa guna ada boyfriend kaya kalau kau tak gunakan dia."
Mengecil anak mata Jabbar memandang dua gadis itu.
"Tengoklah dulu. Sekarang ni, hari-hari dia belikan aku makanan. Memang jimat jugalah duit aku. Bolehlah aku nak menyimpan."
"Kan aku dah cakap. Tak sia-sia kau bagi dia peluang."
Jabbar tersenyum sinis. Malang betul nasib lelaki kaya itu. Hanya dipergunakan oleh gadis miskin seperti mereka.
Tanpa membuang masa, dia pantas ke tempat letak kereta. Dari jauh, dia sudah ternampak kelibat si adik. Jiyad dan Jabbar saling berpelukan.
"Makin kurus adik along."
"Eh, mana ada. Berat Jiyad masih sama."
Jabbar tersenyum senang. Ikutkan hati, dia tak rela Jiyad berpindah keluar. Tapi dia perlu akur dengan kehendak Jiyad. Asalkan adiknya sentiasa menjaga maruah keluarga mereka, Jabbar sudah bersyukur.
"Jom kita makan."
"Tunggu kejap. Jiyad nak kenalkan seseorang dekat along."
Dahi Jabbar sedikit berkerut.
"Siapa?"
"Adalah. Kejap lagi dia sampai." Tersengih-sengih Jiyad.
Sementara menunggu kawan Jiyad, Jabbar melihat mesej yang ada di telefonnya. Dia terpaksa mencuri masa untuk siapkan kerja walaupun berada di luar pejabat.
"Sorry, awak. Saya jumpa kawan tadi."
Tegak kepala Jabbar. Dia cukup kenal dengan suara itu.
"Tak apa. Saya nak kenalkan awak dengan abang saya. Along..." Panggil Jiyad.
Perlahan-lahan Jabbar pusingkan tubuhnya. Saat anak matanya memandang susuk tubuh itu, hatinya menjadi panas.
"Ini Nilam. Kawan Jiyad."
Nilam tergamam. Baru sebentar tadi dia terjumpa lelaki itu. Tak sangka lelaki kacak ini abang kepada Jiyad.
Jabbar pandang ke arah adiknya. Sekarang dia sudah faham isi perbualan gadis ini bersama temannya. Lelaki yang cuba dikikis duitnya ialah Jiyad. Adik kandungnya sendiri.
NILAM hela nafas berat. Apa yang berlaku sebentar tadi, buat dia tak sedap hati.
"Kenapa tak makan?" soal Jiyad.
"Saya tak ada selera."
Sepatunya mereka makan bertiga. Tiba-tiba abang Jiyad ada urusan penting dan tak dapat makan bersama mereka.
"Along awak tu, macam tak suka saya aje."
Tergelak Jiyad.
"Along saya tu, nampak aje sombong. Tapi hati dia baik. Awak janganlah ambil hati sebab dia tak jadi makan dengan kita."
Nilam tersenyum kelat. Sedikit sebanyak, dia rasa lega mendengar alasan Jiyad tentang lelaki itu.
"Abang awak tu, tak kahwin lagi ke?"
"Belum. Saya pun tak pernah nampak along tu keluar dengan perempuan. Mungkin dia masih nak jaga saya."
Itu yang buat Jiyad rasa serba salah. Kalau boleh, dia nak lihat abangnya ada keluarga sendiri. Umur abangnya bukan muda lagi. Sudah hampir 33 tahun.
"Along saya tu, dia lelaki yang sempurna di mata saya. Seorang yang bertanggungjawab dan penyayang. Bertuah kalau ada perempuan yang dapat hidup di sisi dia."
"Ehmmm... menarik. Saya jadi kakak ipar awaklah."
Jiyad jegilkan mata. Hidung gadis itu ditarik geram. Tergelak gadis itu.
"Awak jangan nak mengarut. Saya memang nak sangat along tu kahwin tapi bukan dengan awak. Biarlah along saya cari perempuan yang sebaya."
"Eh, kenapa pula?" Sengaja Nilam menyoal.
"Sebab awak cinta pertama saya. Tak sanggup saya nak tengok awak kahwin dengan lelaki lain. Apatah lagi dengan along saya."
Nilam mengangguk faham. Dia hanya bergurau. Tak sangka pula lelaki ini anggap perkara yang dibualkan tadi begitu serius.
"Lagi setahun kita nak tamat belajar. Lepas tamat semester akhir, kita kahwin."
Terpegun Nilam.
"Saya nak jaga awak. Lepas ni, awak tak perlu lagi buat kerja sampai lewat malam. Saya akan tanggung awak."
Nilam tunduk wajahnya. Terharu dengan permintaan Jiyad.
"Masa masih panjang. Tunggulah setahun lagi baru kita bincang pasal hal ni. Manalah tahu hati awak akan berubah."
"Awak tak percayakan saya?"
"Saya percaya. Sebab tu saya pilih awak sekarang. Macam yang saya cakap tadi. Masa masih panjang. Hati manusia ni, boleh berubah."
Jiyad tayang senyuman lebar. Tangan Nilam diraih.
"Insya-Allah. Hati saya tak akan berubah. Awak pun jangan sesekali serahkan hati awak kepada lelaki lain."
"Macam mana kalau saya ditakdirkan bersama orang lain?"
"Saya akan rampas awak dari tangan dia." Tegas nada suara Jiyad.
Tergelak Nilam. Tahu sangat lelaki ini seorang yang sangat cemburu. Tapi dia masih risaukan dengan penerimaan abang Jiyad.
Dari cara lelaki itu memandangnya, seolah-olah dirinya tak layak bergandingan dengan Jiyad. Disebabkan itu dia tidak mahu terlalu berharap kepada Jiyad.
Sudah tentu dia sayangkan Jiyad. Tapi jika hubungan mereka tidak direstui, lebih baik dia angkat kaki.
YOU ARE READING
BADASS WIFE UNGKU JABBAR
FantasyPROLOG BUNGKUSAN makanan diletak di atas lantai. Dia duduk bersila sambil bersandar di dinding bilik. Nafas dihela lemah. Hampir semput dia dibuatnya gara-gara menaiki tangga. Hari ini seharian dia perlu bekerja. Dia tak boleh merungut walaupun ter...