TAK perlu Jabbar mendesak, Jiyad sendiri dengan rela hati bersetuju untuk menyambung pelajarannya ke luar negara. Sudah tentu berita ini sangat menggembirakan Jabbar.
Malah perkara yang lebih menyenangkan, Jiyad sudah berpisah dengan gadis itu. Tentang punca perpisahan mereka, Jabbar tak nak ambil tahu. Selepas menghantar Jiyad ke lapangan terbang, Jabbar terus pulang ke rumah.
Walaupun dia sedikit curiga dengan sikap si adik, namun Jabbar memilih untuk tidak bertanya. Mungkin baru sekarang Jiyad sedar gadis itu hanya ingin mempermainkan dia.
Setibanya di rumah, dia terkejut melihat kehadiran keluarga ibu saudaranya di sini. Nafas dihembus kasar. Ikutkan hati, dia mahu menghalau orang tua itu pergi. Namun dia masih ada rasa hormat terhadap ibu saudaranya.
"Dah lama ke mak su dan pak su sampai?" Tangan dihulurkan kepada Ungku Jesnita.
"Adalah dalam 15 minit. Kenapa tak beritahu kami yang Jiyad ke luar negara hari ni?" Tegang wajah orang tua itu.
Mereka terus bergegas ke sini selepas mendapat maklumat itu dari orang lain. Jabbar masih kekal tenang. Dia duduk di kerusi berhadapan dengan pasangan itu. Sofa di sebelahnya, diduduki oleh Melina.
"Sepatutnya bulan depan. Tapi Jiyad nak ke sana lebih awal." Jabbar tak berbohong. Memang itu perancangan asalnya untuk Jiyad.
Ungku Jesnita merengus kasar. Sejak arwah kakaknya pergi, Jabbar suka buat keputusan tanpa berbincang dengannya.
"Kalau ya pun, cubalah hubungi kami. Kami ni masih hidup lagi. Kami bukannya orang luar. Keluarga kamu juga."
"Saya tahu mak su dan pak su masih hidup. Nak bercakap tentang keluarga, selama 14 tahun saya dan Jiyad tinggal di rumah ni, tak pernah lagi kami dapat apa-apa bantuan dari pak su dan mak su."
Terus berubah wajah pasangan suami isteri itu.
"Jangan nak ungkit hal lama. Kamu yang tolak untuk kami besarkan Jiyad." Suara Raja Sabri bergema dek terlalu marah.
"Mestilah saya bantah. Jiyad satu-satunya ahli keluarga kandung saya. Mustahil untuk saya lepas tangan."
Jabbar tak bodoh. Ketika adiknya dikatakan mendapat sebahagian hibah yang banyak dari arwah mama dan papa, Ungku Jesnita tiba-tiba menawarkan diri untuk menjaga Jiyad.
Perkara itu dibantah oleh Jabbar. Dia tak akan sesekali jatuh ke perangkap ibu saudaranya yang licik.
"Kita berhenti bercakap tentang Jiyad. Sekarang pak su nak bercakap tentang kamu."
Berkerut dahi Jabbar.
"Kenapa dengan saya?"
"Kamu pun dah 34 tahun. Pak su rasa, dah sesuai sangat untuk kamu mendirikan rumah tangga."
Kening Jabbar terangkat sedikit mendengar topik yang dibualkan oleh Raja Sabri.
"Mel pun dah hampir 30 tahun. Pak su rasa, kamu berdua sepadan."
Binggo!
Hampir terlepas ketawa Jabbar. Namun dia masih mampu mengawal keadaan untuk mendengar ayat seterusnya dari mulut orang tua itu.
"Kalau kamu tak keberatan, pak su nak jodohkan kamu berdua."
Melina senyum ambil menunduk malu. Sudah lama dia impikan dapat bersama Jabbar. Dalam diam, dia mencintai Jabbar.
"Saya belum terdesak untuk berkahwin."
Mati senyuman Melina. Wajah lelaki itu dipandang tak berkelip.
"Mel dah saya anggap seperti adik sendiri. Mustahil untuk saya jadikan dia sebagai isteri."
Ungku Jesnita dah tak senang duduk. Jika lelaki itu tidak bersetuju, rancangannya akan musnah.
"Tak salah pun kamu berdua berkahwin. Mak su buat semua ni demi kebaikan kamu juga. Bila kamu berdua berkahwin, segala hasil harta keluarga kita, tak akan jatuh kepada orang lain."
Akhirnya terlepas ketawa Jabbar. Terasa lucu benar dengan kenyataan ibu saudaranya. Dari dulu sampai sekarang, tak pernah cukup dengan harta yang sedia ada.
"Kita? Harta apa yang mak su cakapkan tadi?"
Terdiam orang tua itu.
"Setahu saya, harta yang saya ada sekarang, 100 peratus milik keluarga saya. Termasuklah syarikat sekarang."
Itu yang Jabbar tahu. Syarikat yang dia kendalikan sekarang, hasil titik peluh arwah mama. Tiada kaitan dengan warisan keluarga mereka.
"Kamu jangan berlagak sangat. Mak su pun ada harta sendiri."
"Baguslah kalau mak su fikir macam tu. Jadi..."
Jabbar berdiri tegak.
"Tak perlu kita bincangkan hal perkahwinan saya. Dengan siapa saya berkahwin, saya sendiri akan tentukan."
Terketap-ketap rahang Ungku Jesnita menahan geram. Wajah Melina berubah sendu. Sedih apabila lelaki itu menolak dirinya begitu saja.
"Saya nak berehat. Maaf tak dapat nak layan mak su dan pak su dengan lama."
Jabbar terus berlalu pergi dari situ meninggalkan mereka. Raja Sabri berdiri sambil bercekak pinggang.
"Biadap. Abang dah agak, budak tu memang keras kepala."
"Nita pun tak sangka dia tolak Mel mentah-mentah." Kecewa juga wanita itu. Dia baru berangan Melina akan hidup senang di sisi Jabbar. Tapi lain pula yang berlaku.
Wajah anaknya dipandang dengan rasa simpati. Tahu sangat gadis itu pasti kecewa dengan keputusan Jabbar.
"Mel kena buat sesuatu."
"Maksud bonda?"
"Bonda nak Mel goda Jabbar sampai dia terima Mel."
Raja Sabri tergelak kecil.
"Anak saudara Nita tu agaknya tak normal. Pernah ke Nita dengar dia berkawan dengan mana-mana perempuan?"
Ungku Jesnita bagi pandangan tajam. Tak suka suaminya menghina Jabbar. Walaupun Jabbar selalu menyakitkan hati, lelaki itu tetap anak saudaranya.
"Jom kita balik. Kita bincang di rumah." Lelaki itu terus berlaku pergi.
Ungku Jesnita tak membantah. Dia capai beg tangannya dan mengikut suaminya dari belakang.
Melina pandang ke tingkat atas. Hatinya sakit dengan penghinaan Jabbar. Walau apa cara sekali, dia tetap mahukan Jabbar.
BERITA yang baru dia terima dari Yati, buat dia hampir rebah ke bumi. Ternyata lelaki itu tidak menepati janji.
"Bila dia pergi?" Bergetar nada suara Nilam.
"Dua minggu lepas."
Nilam pejamkan mata. Bodohnya dia terlalu percayakan kata-kata Jiyad. Kononnya lelaki itu mahu tempoh bertenang selama beberapa minggu. Ternyata lelaki itu melarikan diri dari masalah mereka.
"Aku tak sangka dia sama macam lelaki lain." Marah betul Yati. Ketika dia tahu musibah yang menimpa Nilam, dialah orang yang paling terkejut.
"Mulai hari ni, kau lupakan dia. Kau mulakan hidup baru." Yati genggam tangan Nilam.
"Boleh ke aku hidup dengan lebih baik lepas ni?"
Nilam tatap wajah Yati. Gadis itu hanya berdiam diri.
"Perkara tu mustahil. Aku dah hilang semuanya. Masa depan aku dah hancur."
Gugur juga air mata Nilam. Rambutnya diramas kuat. Jika dia tiada iman, sudah lama nyawanya dicabut sendiri.
Tiba-tiba dia teringatkan seseorang. Lelaki yang pernah dianggap paling sempurna dalam hidup Jiyad. Namun bagi Nilam, lelaki itu punca semuanya berlaku.
"Aku tak boleh berdiam diri. Keluarga dia perlu bertanggungjawab."
Tegak kepala Yati.
"Kau nak buat laporan polis ke?"
Nilam menggeleng.
"Orang yang berpengaruh seperti mereka, mampu untuk lenyapkan kebenaran. Sebab mereka ada duit. Kali ni biar aku sendiri yang bertindak. Kau kena tolong aku. Aku akan pastikan, kedua lelaki tu melutut di kaki aku."
Seram sejuk Yati mendengarnya. Orang yang nak dikenakan oleh Nilam, bukan orang sebarangan. Tersalah langkah, mereka berdua bakal disumbat ke dalam penjara.
YOU ARE READING
BADASS WIFE UNGKU JABBAR
FantasyPROLOG BUNGKUSAN makanan diletak di atas lantai. Dia duduk bersila sambil bersandar di dinding bilik. Nafas dihela lemah. Hampir semput dia dibuatnya gara-gara menaiki tangga. Hari ini seharian dia perlu bekerja. Dia tak boleh merungut walaupun ter...