Pernahkah anda nak cakap, "Aku juga pernah jadi budak pandai, jumpa hantu, kerja best, jumpa artis," tetapi tak terluah?
Ataupun nak kata, "Aku boleh nampak jin, masuk alam alien, bersilat dengan ketua samseng dan hantu," tetapi tak terucap?
Lebih-lebih lagi ketika bersembang dengan orang yang sedang syok bercerita pasal pengalaman dia dan anda pula turut teruja nak mencelah.
Saya pernah begitu, tetapi saya tak sanggup mencelah.
Selalunya saya memilih menjadi pendengar sahaja. Biarlah saya jadi pendengar setia daripada jadi killjoy iaitu gelaran bagi orang yang suka merosakkan keseronokan orang lain. Orang begini selalu potong cakap orang dan bercakap dengan ayat intro, "Cerita kau tak best, cerita aku lagi best!"
Ini adalah Jenis orang yang taknak kalah. Bagi saya, killjoy ni sama level dengan kaki pukul. Bezanya, kaki pukul sakitkan badan mangsa, manakala killjoy sakitkan hati. Saya tak mahu jadi orang itu. Saya mahu orang seronok berbual dengan saya.
Saya juga bosan berbual dengan orang yang suka ulang cerita sama. Sampaikan saya dah hafal setiap patah perkataan dia. Dah tu, panjang pula ceritanya. Saya tak mahu jadi orang membosankan seperti itu.
Ada juga jenis orang, setiap kali bersembang, dia seorang sahaja yang pandai. Orang lain semua bodoh. Ini pula jenis orang yang cakap besar. Minta dijauhkan daripada saya jadi begitu.
Andai kata saya bercerita pengalaman saya, saya mahu orang seronok mendengar. Sama seperti seronoknya saya mendengar pengalaman Zainal Rashid Ahmad dalam video ZRA Strim dia. Tak membosankan dan tak besar diri.
Jadi, bagaimana saya nak beritahu orang, "Aku pun ada cerita menarik," tanpa nampak membesarkan diri, membosankan orang ataupun jadi killjoy?
Jawapannya, tulis seperti yang saya buat sekarang. Dengan menulis, saya boleh mengawal cerita supaya tidak berulang-ulang sekaligus mengelak rasa bosan. Saya juga ada kuasa menapis ayat-ayat membesar diri sebelum disiarkan tulisan pada umum. Bak pepatah yang saya baru cipta, "Terlajak tulis, boleh diedit, terlajak kata, buruk padahnya."
Persoalan seterusnya. Menarik sangatkah pengalaman saya ini?
******
Tak kisahlah cerita kejayaan ataupun kekalahan, selagi ia peristiwa yang jarang terjadi, ia termasuk kategori pengalaman menarik.
Bagi lelaki 40-an yang mula mudah lupa dan risiko demensia di usia tua, saya harus ikhtiar merekod pengalaman-pengalaman menarik saya dalam tulisan sebelum ia hilang dari ingatan.
Anda mungkin akan rasa seperti membaca cerita dongeng. Anda layankan sahaja siri ni. Namapun berkongsi pengalaman sendiri, tidak dapat lari daripada 'sembang kencang'.
Tidak seperti novel yang penuh clifhanger. Siri ini hanya himpunan cerita pendek yang tak berkait. Anda bebas memilih cerita mana yang anda nak baca sesuka hati seperti memilih filem di platform streaming Netflix ataupun Disney+. Caranya, baca senarai tajuk pada halaman kandungan, dan buatlah pilihan dari situ.
Tulisan asal catatan ini, saya telah menggunakan kata nama, 'aku' dan 'korang'. Tetapi saya tukar kepada 'saya' dan 'anda'. Kenapa tukar? Bukankah penggunaan 'aku' dan 'korang' lebih feel seperti bersembang dengan kawan-kawan?
Ini kerana, saya lebih rela digelar skema berbanding dianggap kurang ajar oleh sebahagian pembaca. Saya tak mampu raikan selera semua orang. Maka, saya memilih jalan selamat seperti ini.
Jangan salah faham, saya tak kisah baca buku yang guna 'aku' dan 'korang'. Malah, banyak buku kegemaran saya menggunakan bahasa seperti itu antaranya, buku Jalan Lapan, Lipis karya Nazim Masnawi.
Kenapa menulis di sini?
Saya ada tabiat buruk, iaitu kerap menulis status di Facebook. Ketagihan menulis ini membuatkan rakan-rakan terpaksa terlihat penulisan saya di Facebook tanpa dipinta.
Ramai rakan dah block saya disebabkan perangai ini. Walaupun saya nampak ganas, tetapi saya terasa hati sebab yang block adalah kenalan rapat yang pernah mengembara dan minum bersama.
Mungkin mereka meluat melihat tulisan saya yang kerap singgah di timeline mereka. Mungkin juga saya bergurau tak bertempat. Saya tak tahu apa isi hati mereka sebab saya bukan Proffesor X. Saya hanyalah sekadar lelaki XL (sebenarnya 5XL).
Jadi, saya kena kurangkan menulis di media sosial bagi mengelak kehilangan lebih ramai kawan. Alternatifnya, saya menulis di sini.
Doktor kata, saya ada risiko demensia. Antara aktiviti yang doktor sarankan, adalah menulis. Kiranya, menulis ini merupakan ikhtiar bagi menjaga otak saya daripada cepat demensia.
Sekiranya demensia saya semakin teruk, naskhah ini dapat jadi wakil saya untuk bercerita pada anak cucu saya.
YOU ARE READING
Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)
RandomCatatan Lelaki Bertopeng adalah perkongsian pengalaman lelaki 40-an yang diambang demensia.