"Alif! Kamu main gym kan? Mesti badan kamu keras, kamu sparring dengan Riz." Itulah kata Tok Nan sebelum saya dan Riz sama-sama berlatih silat.
Saya memandang Riz. Mukanya bengis, badannya berotot macam pahlawan MMA kategori heavyweight. Dari segi rupa, saya meneka Riz bukan sembarangan orang.
Sebaik sahaja kami sparring silat, tekaan saya benar. Riz memang kuat. Dia pukul saya sepenuh tenaga. Tulang dia keras macam besi. Maklumlah, Riz masih aktif main tomoi. Dia masuk silat pun sebab nak uji kekuatan tomoi dia pada geng silat. Jadi, sayalah yang jadi mangsa eksperimen si Sagat Street Fighter ni.
Perguruan silat kami adalah gabungan teknik Silat Cekak dan Wing Chun. Ia fokus pertempuran jarak dekat yang melibatkan banyak gerakan tepis tangan. Maka, berlaga-lagalah tulang lengan kami berdua sepanjang latihan itu.
Kami sengaja melaga-lagakan tulang lengan bagi mengeraskan lengan. Lagi sakit, lebih bagus. Kata Tok Nan, "Tiada jalan pintas nak keraskan lengan melainkan berlaga dengan tulang betul."
Inilah hasil latihan kekuatan lengan. Wajib lebam.
Ketika kami berdua begitu agresif berlatih, tiba-tiba Riz minta berhenti. Mukanya pucat tetapi tak diberitahu saya kenapa. Tanpa pedulikan saya, Riz minta izin dengan pembantu Tok Nan untuk pulang awal. Tak pasal-pasal saya takda sparring partner sepanjang malam tu.
Selepas habis sesi silat, barulah pembantu Tok Nan pecah rahsia, "Alif, kau tahu tak? Tangan Riz patah tadi. Dia tak nak tunjuk sakit, tapi nampak sangat masa dia minta izin nak balik tadi."
Saya tergamam, tak sangka tepisan tangan saya mematahkan tulang tangan Riz. Saya rasa serba salah bercampur gembira. 'Aku menang lawan budak tomoi.'
"Patutlah dia macam tak sabar nak balik tadi," balas saya sambil tersenyum kelat.
Pembantu Tok Nan ketawa besar, "Jangan risau, lepas ni Riz akan lebih berhati-hati. Lagipun, bukan senang nak jumpa orang yang boleh tahan pukulan dia. Kau je yang sanggup sparring dengan budak tomoi tu. Orang macam dia tu, sengaja masuk silat sebab nak test power tomoi dia je."
Saya hanya mampu tersenyum. Dalam hati saya, 'Bukan Riz je nak uji tomoi dia, aku pun sama, nak test ilmu kebal.' Ya. Waktu ini saya dah ambil ilmu kebal dari perguruan silat lain. Tak sangka ilmu kebal saya malam tu menjadi. Buat seketika, saya jadi ujub pada kekuatan diri sendiri.
Di sinilah kejadian itu berlaku. Saya yang pakai baju serba hitam. (Paling depan).
***********
Minggu depannya, Riz tak datang berlatih silat, tetapi kali ini adiknya pula yang datang.
Awal-awal lagi adiknya dah menawarkan diri mahu sparring dengan saya. Rupa-rupanya adiknya lebih agresif daripada abangnya. Gerakannya banyak membuta tuli, langsung tak sama seperti yang diajarkan oleh Tok Nan. Dia seolah-olah datang bukan nak berlatih silat, tetapi nak balas dendam untuk abang dia.
"Aduh! Sakit!" Otot lengan saya terkoyak akibat dikepak oleh Adik Riz. Saya hampir pitam menahan sakit.
Mungkin dia nak lunaskan dendam untuk abangnya. Tangan saya hampir patah dikerjakannya.
Jika nak diikutkan, tangan saya patut patah, tetapi mujur Allah lindungi saya, hanya otot yang terkoyak. Akibatnya, saya jadi OKU, selama enam bulan tangan kanan saya tak boleh angkat benda berat. Nak pegang handphone pun terketar-ketar.
Sejak kemalangan itu, saya terus berhenti berlatih silat sebab kecederaan tangan. Kemudian berlanjutan selama beberapa tahun kerana COVID-19 melanda dunia. Saya tak dapatkan rawatan doktor sebab saya takut doktor.
Pengajarannya, jangan ujub dan terlalu yakin dengan kekuatan sendiri. Ilmu kebal tak wujud.
Nota: Riz dan Tok Nan bukan nama sebenar.
YOU ARE READING
Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)
RandomCatatan Lelaki Bertopeng adalah perkongsian pengalaman lelaki 40-an yang diambang demensia.