Hampir menang basikal sebab baca buku

11 0 0
                                    

Tahun 1998, saya tingkatan 2.  Saya teringat bagaimana cikgu kesayangan marah saya kerana rekod Nilam saya lebih 100 buku. Dia sangka saya menipu.

"Kamu jangan menipu, Alif. Kalau betul kamu baca semua buku ni, kamu boleh menang basikal. Are you sure you're not cheating?"

Miss Teh adalah cikgu yang ceria dan ada sifat keibuan, semua pelajar sukakannya. Tetapi, apabila wajahnya keibuannya berubah serius, itu menandakan dia betul-betul marah. Dia soal siasat saya secara terbuka. Semua pelajar Kelas Tingkatan 2B fokus ke arah kami, macam tengah tengok drama penyiasatan.

Miss Teh merenung mata saya. Lagaknya macam polis. "Alif, saya tak suka anak murid saya menipu. Rekod Nilam ini, kamu reka sendiri kan?"

Ketika itu, hati saya sedikit kecewa kerana cikgu kegemaran saya tak percaya anak muridnya baca banyak buku. Memang 100 buku itu jumlah yang luar biasa, tapi tak mustahil kalau ia buku-buku nipis. Di perpustakaan sekolah memang banyak buku nipis. Tak sampai 10 minit, dah habis baca.

"Alif, you cheating kan? Baik you mengaku!" Miss Teh makin mendekatkan mukanya pada saya. Matanya semakin mengecil tanda curiga.

"Mustahil you boleh baca 100 buku melainkan you guna taktik kotor." Kali ini suara Miss Teh makin keras.

Melihat reaksi Miss Teh yang bersungguh, buat saya sedar. Isunya bukan menipu, tetapi kerana saya ada 100 catatan buku di Nilam. Mungkin buku nipis juga tidak layak dimasukkan ke dalam rekod Nilam. Ia seolah-olah kita baca banyak buku walaupun ia hanya 20 muka surat dan tulisan besar-besar. Tak adil bagi pelajar lain yang baca buku tebal-tebal.

Menyedari perkara itu, saya hanya tersengih dan mengangguk, mengiyakan sahaja tuduhan Miss Teh walaupun tekaannya tak berapa tepat.

"Hah! Saya dah agak dah!" Miss Teh puas sebab tekaan dia betul.

Kemudiannya, Miss Teh pun memberitahu kepada semua pelajar, "kamu semua jangan menipu seperti Alif. Projek Nilam ini projek yang serius. Ini program peringkat kebangsaan, bukan main-main."

Malu saya dibuatnya. Hanya kerana saya baca buku nipis, saya dilihat sebagai penipu.

Itu zaman dulu. Tahun 1998.

Selang berpuluh tahun kemudian, saya terkejut. Zaman anak-anak saya sekarang, artikel satu muka surat pun boleh dicatat dalam Nilam. Itupun cikgu sendiri yang bagi maklumat suruh anak murid isi.

Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)Where stories live. Discover now