Guru Penulisan Saya

86 0 0
                                    

Ketika saya menuju ke Pejabat Creative Enterprise di Bangsar, telefon saya berbunyi. Sebaik panggilan dijawab, saya mendengar suara lelaki ketawa dari speaker telefon.

Ketawanya kedengaran sepatah-patah seperti antara robot dan pelakon bangsawan.

"Siapa tu?" Saya tak cam suara pemanggil.

"Alif! Aku tahu di mana kau sekarang." Dia gelak lagi.

Saya masih tak dapat meneka siapa yang telefon kerana nombornya tidak dikenali.

"Kau ponteng sekolah ya Alif.  Aku dah tahu rahsia kau," katanya lagi.

Kebetulan, waktu itu saya memang memakai baju seragam Kolej Kemahiran Tinggi Mara. Saya baru habis kelas dan terus ke Bangsar. Memandangkan pemanggil ini tahu saya pakai baju apa, saya jangkakan dia menyorok sambil memperhatikan saya.

Saya tercari-cari di mana panggilan itu dibuat. Pandangan saya terhenti pada seorang lelaki berbadan gempal yang melambai-lambai dari pondok telefon. Dia memakai baju kemeja, berkopiah dan tersengih sambil menjerit, "Woi! Alif! Ini akulah, Panaharjuna!"

Oh, rupa-rupanya Panaharjuna sengaja prank saya. Patutlah nombor tak dikenali, dia guna telefon awam.

Itulah kali pertama kami bertemu secara bersemuka. Sebelum itu, kami cuma bertegur sapa dalam forum internet. Panaharjuna hanyalah username beliau di internet, nama sebenarnya adalah Ahmad Zafran. Dia adalah guru pertama saya dalam penulisan kreatif.

Umurnya tidak panjang, meninggal di usia 33 tahun akibat sakit jantung. Saya bertemu arwah pada tahun 2002, ketika kami sama-sama mahu berjumpa Adi Alhadi, editor di Creative Enterprise.

Waktu itu, saya mahu menjadi pelukis, arwah pula nak menjadi penulis.

Mungkin arwah melihat kartun saya masih belum cukup matang, dia mencadangkan saya menjadi penulis. Katanya, "Kalau kau nak kaya, kau kena jadi penulis. Satu buku boleh dapat RM80 ribu. Boleh buat belanja kenduri kahwin."

Gaya arwah bercakap sentiasa menghiburkan. Dia jenis orang yang mudah dibuat kawan.

Sejak itu, kami pun berkawan lebih rapat. Arwah pandai berjenaka dan tidak lokek ilmu. Kami begitu akrab sehinggakan arwah satu-satunya sahabat yang pernah bermalam di rumah saya.

Masih ingat lagi, peristiwa lucu antara arwah dan emak saya. Ketika itu awal subuh dan lampu rumah saya masih belum dibuka. Emak saya ternampak arwah tidur di atas sofa. Emak menyangka arwah adalah pencuri sebab saya tak pernah bawa orang asing bermalam di rumah.

Emak mengambil penyapu mahu memukulnya. Belum sempat emak berbuat apa-apa, arwah pun tersedar dari tidur dan menjerit ketakutan, "Makcik jangan pukul saya. Saya orang baik. Saya kawan Alif! Saya kawan Alif!

Waktu itu, muka arwah betul-betul cuak. Itulah satu-satunya momen saya melihat wajah arwah ketakutan, kerana biasanya dia selalu tersengih. Muka dia cuak pun nampak lucu.

*******

Bagi kenalan yang kenal arwah dari forum internet, kami tidak memanggil arwah dengan panggilan Ahmad Zafran. Sebaliknya kami memanggilnya mengikut username dia, Panaharjuna ataupun Panah. Malah, ada antara rakannya, tak tahupun nama betul dia.

Pernah sekali arwah ditahan di ward Hospital Kuala Lumpur. Kami nak melawatnya. Apabila petugas hospital tanya siapa nama pesakit, kami jawab, "Panaharjuna." Jenuh petugas tu cari nama dia, tak jumpa-jumpa. waktu itu, barulah kami sedar, Panaharjuna tu bukan nama betul. Akhirnya kami pulang tanpa dapat melawat dia.

Ada antara rakan kami bergurau. "Panah... walaupun kau belum kahwin, tetapi anak kau bersepah satu Malaysia." Sambil mereka tunjuk papan tanda jalan sehala. "Bapak nama Panah, anaknya tentulah dipanggil anak Panah."

*******

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

*******

Sewaktu menilai draft novel pertama saya, 'Untuk Syampoo', arwah termenung. Ia novel berdasarkan kisah benar saya di asrama.

"Kita menulis supaya orang seronok membaca. Cliffhanger tu penting. Biar pembaca tertanya-tanya dan gelisah nak tahu kesudahan cerita kita." Arwah termenung.

Saya yang dah menduga maksud arwah, membalas sambil tersengih, "Tu la... aku pula sumbat semua fakta dalam novel ni. Dah macam buku teks sejarah."

"Haa... tahu pun. Buat balik. Pembaca tak mahu tahu semua fakta, mereka nak bahagian yang menarik sahaja. Jangan takut nak tokok tambah. Ini novel fiksyen, kau 'goreng' lah sampai cerita ni jadi best."

Selepas arwah tegur begitu, saya berjaya siapkan novel itu dalam sebulan. Naskhah yang asalnya umpama buku sejarah, berubah menjadi novel yang boleh dibaca.

Bermodalkan ilmu itu, saya berjaya menulis 3 lagi novel dalam setahun. Tahun yang sama juga, saya ditawarkan jadi editor buku di PTS ONE Sdn. Bhd.

Ketika saya menjadi editor novel, saya banyak guna ilmu yang diajarkan oleh arwah dalam kerja mengedit buku, iaitu buang babak yang tak perlu dan cadangkan penulis untuk melebih-lebihkan konflik.

Kata arwah, "Cipta konflik seolah-olah dunia dah nak terbalik (kiamat). Barulah cerita itu menarik." Itu jugalah yang saya selalu kongsikan kepada penulis-penulis saya.

Alhamdulillah, ada buku yang saya edit, masih dibaca budak-budak sekolah rendah walaupun terbitannya hampir 20 tahun lalu. Inilah jasa ajaran Arwah Ahmad Zafran pada industri buku. Walaupun umurnya pendek, tetapi ilmunya dapat dinikmati sehingga sekarang.

Hasil ajaran arwah juga, saya telah terbitkan sekitar 100 naskhah buku di dalam dan luar negara. Saya juga diberi peluang menulis artikel di tabloid Buletin Utama, Majalah Mato-Mato dan Dewan Kosmik.

Besar jasa arwah. Boleh dikatakan, saya beli rumah, kahwin, besarkan anak-anak, hasil dari kerja menulis dan buat buku.

Pada gambar ini, saya sedang berpura-pura bermain gitar sambil diperhatikan Arwah Ahmad Zafran yang semakin kurus akibat sakit jantung

Oops! This image does not follow our content guidelines. To continue publishing, please remove it or upload a different image.

Pada gambar ini, saya sedang berpura-pura bermain gitar sambil diperhatikan Arwah Ahmad Zafran yang semakin kurus akibat sakit jantung.

Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)Where stories live. Discover now