Saya vs Hurricane
Pernah suatu ketika, saya datang acara gusti indie terbitan luar negara. Nama sahaja terbitan luar negara, tetapi berlangsung di Puchong, Selangor. Di acara itu, ada 4 penggusti dari WWE. Tetapi saya hanya kenal seorang sahaja, iaitu Hurricane. Teruk betul saya ni. Nama sahaja peminat gusti, tetapi tak kenal semua penggusti WWE.
Sewaktu memasuki dewan acara, saya yang sejak awal mengenakan topeng, disapa oleh Hurricane.
Bagi yang tak tahu siapa Hurricane, biar saya terangkan siapa beliau. Hurricane aktif di WWE sekitar tahun 2000 hingga 2010 dan merupakan penggusti bertopeng dengan konsep superhero. Dia sering bergusti dengan The Rock. Okay, kita sambung semula...
Selepas Hurricane menegur, saya terpegun tengok saiz badannya yang besar. Tak kecil macam dalam TV.
Hurricane menyapa, "Hi, cool mask!" Dia memuji topeng saya. Kami bersalaman dan genggamannya kuat seperti taknak lepaskan saya. Saya panik, tetapi saya diamkan sahaja.
Kemudian dia tunjuk ibu jari kepada saya. Sambil menggoyang-goyangkan ibu jarinya, dia cakap, "let's play thumb wrestling."
Wah! Dia ajak main gusti ibu jari. Sebagai peminat gusti, mestilah saya teruja dapat thumb wrestling dengan penggusti WWE. Ketika itu saya dah berangan nak show off dan update status Facebook, 'hari ini aku bergusti dengan Hurricane'. Biar orang fikir saya gusti betul-betul, padahal sekadar gusti ibu jari je.
Selepas masing-masing dah bersedia nak memulakan thumb wrestling, Hurricane pun menjerit, "go!" Serentak itu, ibu jari dia segera menekan ibu jari saya. Jari saya di bawah jari dia. Kuat juga dia tekan ibu jari saya. Dia gelak seperti nak beritahu dia dah menang.
Saya tak puas hati. "I want rematch." Dia setuju.
Kali ini saya tekad mahu kalahkan dia. Awal tadi, saya anggap dia main tipu sebab kalah terlalu cepat. Sekali lagi kami berdua berada diposisi sedia thumb wrestlling. Cengkaman tangan Hurricane amat kuat. Permukaan tangannya kasar, tanda orang biasa angkat besi.
Pada perlawanan kedua, tempohnya lama sedikit. Ibu jari saya sempat berlaga dengan ibu jari bekas juara hardcore WWE itu.
Selang 5-10 saat, saya akur, saya tewas buat kali kedua. Kali ini saya berpuas hati kalah dengan dia. Hurricane apa lagi? Makin kuatlah dia gelakkan saya.
Ternyata penggusti WWE memang kuat. Hurricane yang sering digambarkan sebagai penggusti lemah dan dibuli The Rock pun, senang-senang buli saya. Kemudiannya kami berswafoto. Adalah dalam 2-3 keping gambar saya tangkap.
Hurricane ada cakap sesuatu pada saya, tetapi saya tak berapa faham apa dia cakap. Saya hanya mengangguk buat-buat faham. Kemudian saya pun beredar dan duduk di kerusi penonton.
Selang beberapa jam, selesai acara gusti. Ketika itu, barulah saya tahu, rupa-rupanya, kalau nak bergambar dengan Hurricane kena bayar RM100. Tetapi malam tu saya dapat percuma.
Mungkin tadi Hurricane cuba nak cakap, "kau dah bergambar dengan aku, bayarlah!" Tetapi saya tak bayar.
Saya vs Pete Dune
Pada malam yang sama. 3 lagi penggusti WWE beraksi. Sepanjang perlawanan itu, rakan-rakan bersorak,
"Bruiserweight!" berulang kali.
Bruiserweight adalah merujuk penggusti kelas berat dan gaya gustinya lebih kepada menyeksa lawan secara brutal tetapi perlahan-lahan. Contohnya, mematahkan jari lawan satu persatu.
Maka, setiap kali penggusti WWE itu buat aksi seksaan, penonton bersorak "bruiserweight!" berulang kali.
Ketika itu, saya fikirkan mereka menjerit, "Lose your weight!" Sebab kebetulan, 2 daripada penggusti itu berperut buncit. Saya pun jerit, "lose your weight!" Kata itu kedengaran kurang ajar sebab menyuruh orang gemuk kuruskan badan. Saya faham hal itu sebab saya pun gemuk. Tetapi, saya menyangka itu sekadar gimik gusti. Memang ada ahli gusti suka peminat kutuk mereka. Contoh paling popular, laungan "you suck," untuk Kurt Angle.
Tatkala penggusti-penggusti itu turun gelanggang dan bergusti berdekatan tempat duduk saya. Saya yang masih tak sedar salah skrip, jerit lagi, "lose your weight!" Orang lain jerit, "bruiserweight!", saya pula jerit "lose your weight!".
Waktu itu, Pete Dune sedang galak menampar dada lawan berhampiran saya. Saya secara spontan melebarkan dada dan mencabar Pete Dune menampar dada pula. Ketika itu, saya masih menjerit, "lose your weight!"
Pete Dune tu tampar saya sekuat hati. Sakit tak terkata. Nampak sangat waktu tu Pete Dune sakit hati dengan saya. Dalam hati dia mungkin berkata,
"Oooo... kau kata aku gemuk ya!"
Sebenarnya, saya hanya tahu nama penggusti tu Pete Dune dan maksud bruiserweight, selepas 3 hari kejadian itu berlaku. Pete Dune adalah bekas juara WWE UK.
Bukti bergambar menandakan ini kisah betul. Gambar dari akaun Youtube APAC Wrestling.
Malam itu, saya telah buat 2 penggusti WWE sakit hati dengan saya. Ha ha ha! Acara ini selesai lewat malam. Saya keluar dari arena sekitar jam 2 pagi. Sewaktu pulang, saya terlihat satu kejadian aneh yang mustahil dapat saya saksikan sekali lagi, iaitu ada wanita mat salleh mabuk keluar dari bumbung kereta dalam keadaan tak berbaju. Ini tiada bukti bergambar. Kalau ada pun tak guna, bukannya boleh tayang pada umum pun. Ha ha ha!
YOU ARE READING
Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)
RandomCatatan Lelaki Bertopeng adalah perkongsian pengalaman lelaki 40-an yang diambang demensia.