Selesai urusan pengambilan ubat emak di Hospital Ampang, saya bergegas pulang ke Kedah.
Namun, semua tiket habis. Saya terkandas di KL Sentral, kalah berebut tiket dengan budak-budak asrama yang juga mahu balik kampung. Silap saya, tak perasan ada cuti umum sempena Awal Muharam Isnin ini, patutlah ramai pelajar asrama ambil kesempatan melihat emak ayah mereka di kampung.
Dah biasa terkandas, saya takkan tidur di KL Sentral. Takut terserempak dengan pondan berbadan sado yang separuh bogel sekali lagi. Geli.
Nak tidur di rumah emak, saya segan dan tak mahu menyusahkan dia dan adik saya yang sudah berkeluarga. Lagipun, dah malam.
Jadi, terpaksalah bermalam di hotel. Memandangkan duit tak banyak, saya pilih hotel paling murah yang boleh sampai dengan hanya berjalan kaki dari KL Sentral. Dapat! Hotel yang sama saya pernah bermalam sebelum ini.
Jadi, saya berjalanlah menuju hotel berhantu itu. Hantu pun hantu lah, yang penting murah.
Berjalan di bawah hujan renyai, sesekali tergelincir sebab jalan licin.
Saya bersyukur punya badan besar, jadi perisai dari gangguan orang jahat. Saya rasa selamat apabila melalui jalan yang asing bagi saya.
Saya membayangkan, sebaik sampai hotel nanti, nak habiskan baca novel "Mandatori" karya Ramlee Awang Murshid yang saya bawa dari rumah. Saya memang sentiasa bawa apa-apa buku setiap kali travel.
Setibanya di hotel, ayat pertama saya cakap pada resepsionis, "Saya nak bilik yang elok. Tak nak macam yang sebelum ini." Saya bersuara agak tegas.
Kali ini saya terpaksa suarakan hak pelanggan sebab tak nak kejadian dua bulan lepas berulang. Sebelum ini, bilik yang saya dapat, paip shower tak boleh guna, katil roboh, dan TV rosak. Malam pula ada hantu.
Tetapi saya tak request lah bilik yang takda hantu. Saya dah jangka, kemungkinan nak dapat bilik bebas hantu ibarat lambung duit syiling. Peluangnya 50-50, dan itu diluar kuasa manusia.
Memandangkan saya kelihatan seperti pelanggan yang cerewet, seorang pekerja wanita menawarkan diri nak bantu saya. Wanita warga asing yang tak pasti sama ada dari Thailand ataupun Vietnam. Cantik, seksi dan pandai bermanis kata. Katanya dalam bahasa Inggeris yang bermaksud, "Saya akan ikut awak ke bilik untuk cek shower. Kalau ia rosak macam sebelum ini, kita tukar bilik lain."
Saya terkejut, berani betul perempuan cantik ini nak cek shower dengan saya. Kalau yang bawa itu lelaki ataupun makcik, saya okay lagi. Ini perempuan cantik menggoda. Mujur pakaian dia macam pekerja hotel, jadi hilang curiga saya pada kebaikan dia.
Sepanjang perjalanan menuju ke bilik, saya ulang-ulang ingat Tuhan. Harap tiada apa-apa yang buruk berlaku antara kami.
Sebaik sahaja memeriksa bilik, saya pun dengan laju beritahu, "Semua okay! Kamu boleh pulang ke kaunter sekarang."
Wanita itu ketawa kecil tengok gelagat saya. Dia pun beredar, membiarkan saya bersendirian di bilik. Lega... tiada apa-apa yang berlaku.
Malamnya, saya pun membaca dengan tenang. Hampir suku novel berjaya dihabiskan dalam hanya beberapa jam.
Sesekali, terdengar suara pasangan kekasih bersenda gurau di bilik sebelah dan laluan kaki. Saya abaikan saja, lebih tertarik nak habiskan novel kisah pembunuhan terancang yang berjudul "Mandatori" itu.
Pembangunan watak dalam novel ini sangat menarik. Ia diceritakan melalui situasi yang jelas, bukan sekadar naratif biasa. Inilah kekuatan Ramlee Awang Murshid. Dia pandai dan rajin cipta universe novelnya dengan intense. Sekaligus membuatkan pembaca tak senang duduk selagi tak habis membacanya.
Saya mengimbau kenangan sekitar 18 tahun lalu. Saya pernah berguru dengan Ramlee Awang Murshid sebanyak dua kali. Sekali di kelas privasi yang dihadiri hanya belasan orang, satu lagi di Karangkraf yang dihadiri puluhan (mungkin seratus) orang.
Orangnya memang peramah dan berterus-terang. Memang, jadi penulis perlu berani jujur. Barulah segala pengalaman pahit manis boleh disampaikan dengan bagus dan real.
Untuk dapatkan 'real' itu, seseorang penulis perlu lalui banyak pengalaman.
Menyedarkan saya, pengalaman saya terkandas di Kuala Lumpur ini bukan sia-sia. Ada pengalaman yang saya boleh kutip dari situasi sulit ini.
Sekian sahaja coretan saya di Kuala Lumpur, bertarikh 6 Julai 2024.
YOU ARE READING
Catatan Lelaki Bertopeng (Kisah Benar)
AcakCatatan Lelaki Bertopeng adalah perkongsian pengalaman lelaki 40-an yang diambang demensia.