Mawar yang terluka ( 1)

4.4K 106 6
                                    

"HANI boleh tunggu sampai Mak Ndak kahwin. Tak apa.."

Bola mata aku singgah pada wajah teduh Shanin, anak saudara sulung aku yang berusia 23 tahun. Nampak bibir yang bergetar menutur kata, terus aku rasa seperti manusia tak guna. Kerana aku Shanin tidak boleh berkahwin.

Ayah seorang lelaki yang tegas, bila aku masih belum bertemu jodoh diusia 35 tahun sedangkan Shanin sudah mahu berkahwin, dengan lantangnya ayah membantah keinginan Shanin.

Jikalau aku masih belum berkahwin, Shanin juga tak boleh melangkahi aku sebagai emak saudaranya. Anggota keluarga yang lain memang takkan berkeras kerana rasa hormat mereka kepada Ayah, begitu juga aku.

Ayah cuma mahu melihat aku berkahwin. Aku tak salahkan Ayah. Satu-satunya masalah adalah aku sendiri.

Jika diingat-ingat, kali terakhir aku menjalin kasih adalah tujuh tahun lalu. Tiga kali aku mencintai lelaki yang salah, selepas itu aku menjadi serik. Tak ada lagi kisah percintaan diantara aku dan para lelaki.

"Mak Ndak minta maaf." Tutur aku perlahan.

Rasa hiba meruntun dihati saat melihat takungan airmata Shanin kian mengembang sehingga tumpah mengaliri pipi mulus gadis itu. Dengan gelengan tipis Shanin memaksakan diri untuk tersenyum sembari mengesat mutiara jernih dipipi.

Senyum Shanin teramat nyata dibuat-buat.

Ya Allah! Bukan niat aku ingin menyakiti perasaan Shanin. Kalau sekarang ada yang sudi mengakad aku sebagai isteri, pasti aku akan terima bersama rasa syukur.

Aku terasa dibebani.

"Hani akan cakap dengan Zafril pasal hal ni. Dia pasti boleh tunggu."

"Dah tiga kali Zafril minta restu nak kahwin dengan Hani. Mak Ndak rasa serba salah sangat. Mak Ndak taknak jadi penghalang Hani dan Zafril bersatu."

"Bukan salah Mak Ndak. Memang jodoh kami yang tak sampai lagi."

"Kalau macam ni sampai bila-bila pun Hani tak berjodoh dengan Zafril. Mak Ndak tak tahu bila jodoh Mak Ndak sampai, boleh jadi sampai bila-bila pun Mak Ndak tak berjodoh dengan mana-mana lelaki. Habis Hani dengan Zafril bila nak bersatu.."

Airmata Shanin menitis lagi. Kali ini gadis itu tak menyeka sebaliknya terus meluapkan tangisnya didepan aku. Merintih sayu bersama bahu yang terhinjut-hinjut.

Aku hanya mampu memeluk sembari memberikan usapan agar Shanin merasa tenang.

DUA minggu Shanin mengurung diri dalam bilik. Mayang, emak Shanin memberitahu Shanin menolak keluar. Aku tahu Shanin sedang berduka sekarang.

Perempuan diusia Shanin memang sudah elok untuk diajak menikah. Zafril pula sudah ada segala-galanya jadi wajar saja jika mereka mahu memasuki fasa perkahwinan.

"Kak Long tak cuba bincang dengan ayah?"

Mayang mengeleng lemah. Raut lelah terlukis diwajah.

"Betul ke Andak tak ada calon lagi? Kak Long kesian tengok Hani tu, siang malam asyik mengurung diri dalam bilik. Kalau Andak ada calon, cepatlah menikah. Ayah pun takkan halang Hani dari menikah lagi."

"Andak tak ada calon."

"Cari Ndak.. sampai bila Andak nak hidup seorang macam ni? Sekurang-kurangnya kalau Andak kahwin, ada juga tempat untuk Andak tumpang bahu bersandar. Masalah Hani pun boleh diselesaikan."

Kerusi ditarik, Mayang labuhkan duduk didepan aku. Matanya lurus merenung kedalam anak mata aku.

"Kalau Andak tak kahwin bukan Hani saja yang tak boleh kahwin, Usu pun mesti tak dibolehkan untuk kahwin."

Sekelip mata aku teringatkan Marissa, adik bongsu kami. Adik yang ayah bangga-banggakan kerana hanya Marissa satu-satunya anak ayah yang berjaya melanjutkan pelajaran ke luar negara.

Dua tahun yang lalu, Marissa balik dengan kelulusan yang cemerlang sehingga ditawarkan bekerja di sebuah syarikat besar. Bukan saja ayah yang bangga, kami adik beradik juga bangga.

Marissa sejak kecil memang mempunyai otak yang bijak. IQ nya juga lebih tinggi daripada budak seusianya.

"Nanti Andak cari."

"KALAU esok ada lelaki datang melamar Mak Ndak, apa jawapan Mak Ndak?"

Shanin yang baru beberapa hari yang lalu menjadi ceria semula bertanya pada aku secara tiba-tiba.

"Mak Ndak terima." Jawab aku laju.

"Betul Mak Ndak terima?" Tanya Shanin sekali lagi dan jawapan yang aku berikan tetap sama.

Aku akan terima sesiapa saja yang datang melamar aku untuk dijadikan suri hidup. Hampir sebulan aku melihat penderitaan Shanin didepan mata dek keputusan ayah yang dinilai berat sebelah. Mayang juga kerap kali memaksa aku supaya mencari pasangan hidup demi tidak mahu melihat Shanin menangis siang malam.

"Mak Ndak terima kalau ada yang sudi angkat Mak Ndak sebagai isteri." Kali ini aku tak perlu fikirkan tentang diri aku, yang penting adalah Shanin boleh bersatu dengan Zafril.

"Zafril cakap dia ada kawan yang boleh tolong selesaikan masalah kita. Kalau Mak Ndak setuju, Hani akan beritahu Zafril."

Rupanya Shanin sudah merancang lebih dulu. Aku yang mendengar sedikit terkejut. Bukan kerana Shanin yang mencari jodoh untuk aku, tetapi kerana nekadnya Shanin ingin berkahwin dengan Zafril sehingga sanggup campur tangan disaat Shanin sendiri masih belum kuat.

"Kawan Zafril?"

"Zafril cakap kawannya pun tengah mencari sekarang, sama macam Mak Ndak."

Lama aku terdiam. Shanin seakan menunggu keputusan aku sekali lagi. Mungkin kerana raut Shanin yang terlalu berharap itu terpancar jelas menjadikan aku tidak sanggup menolak walau hati terasa berat juga untuk menerima.

"Suruh kawan Zafril datang, Mak Ndak terima."

Senyum Shanin merekah lebar. Dalam hanya beberapa detik tubuh aku sudah tenggelam dalam dakapan Shanin. Kedua-dua belah pipi aku dikucup bahagia. Air muka Shanin menjadi secerah mentari pagi.

Pastilah aku yang melihat juga tumpang bahagia.

KAWAN Zafril datang seperti yang aku beritahu pada Shanin semalam. Diruang tamu depan, ayah sedang bersama dua orang lelaki.

Aku memilih menyibukkan diri didapur demi meredakan gejolak hati yang tiba-tiba meresah. Entah kenapa keputusan yang aku buat ini seperti salah. Seakan ada yang tak kena.

Aku tak berniat mengintai. Awal-awal tadi aku sudah melihat wajah lelaki yang diperkenalkan oleh Zafril sebagai calon suami aku. Orangnya tampan, lebih tampan daripada ketiga-tiga lelaki yang pernah mengisi hati aku suatu ketika dahulu.

Melalui Zafril aku tahu usia kami rupanya sebaya. Patutlah aku lihat riak wajahnya menggambarkan kedewasaan.

Shanin yang baru melangkah memasuki dapur berjalan menghampiri aku yang sedang ralit mengingat wajah calon suami. Bila lengan aku dicuit barulah aku sedar.

Muka Shanin aku pandang.

"Tok ayah cakap dua minggu lagi Mak Ndak nikah." Berita yang disampaikan Shanin membuat mulut aku melopong.

"Tahniah Mak Ndak, akhirnya Mak Ndak kahwin juga.."

Bahu aku dipeluk oleh Shanin. Perlahan bibir yang kaku dipaksa untuk tersenyum bila Shanin pusatkan bola mata merenung aku.

Aku tak mahu bertanya kenapa tarikh nikah aku terlalu awal padahal baru sejam yang lalu ayah bertemu dengan lelaki itu. Jika ayah sudah membuat keputusan begitu bererti teman yang dibawa Zafril pasti disukai oleh ayah.

Aku tak ada daya untuk membantah, mungkin sudah waktunya aku berumahtangga.

Mawar yang terlukaWhere stories live. Discover now