CERITERA 12 : Maherat ( Hilang, Menghilangkan diri )

15 4 0
                                    

CERITA panas mengenai serigala jadian yang dikatakan menggunakan kuasa maherat gempar dan meriuhkan tetangga kampung. Begitu cepat tersebarnya berita mengenai kisah anak Mak cik Rubainah atau mesra dipanggil Mak Bainah yang terlihat wajah serigala jadian itu di bawah rumah mereka ketika menuju ke tandas untuk membuang air kecil. Menggerunkan, jijik dan buruk itulah yang digambarkan oleh ketiga-tiga orang anaknya sehingga kehilangan semangat. Akibatnya, ketiga-tiga orang anaknya itu demam panas selama beberapa hari. Mak Bainah berasa sedih dan risau melihat keadaan anaknya yang terketar-ketar dan adakalanya meracau menjerit menyebut nama serigala jadian itu beberapa kali.

Tok Ketua sebagai pemimpin prihatin datang melawat rumah Mak Bainah. Tujuannya untuk mencadangkan kepada Mak Bainah untuk membawa mereka serta anak-anaknya untuk berjumpa dukun kampang di hutan rimba terlarang itu, Tok Ketua juga sedar bahawa ada semangat yang hilang dan harus dikembalikan semula ke dalam tubuh anak-anaknya agar kembali normal semula melalui cara ghaib atau menggunakan ilmu halus atau secara batin.

Begitu ramai jiran-jiran kampung yang datang untuk melihat keadaan anak-anaknya itu dan tidak kurang juga ada jiran-jiran yang sebaris dengan rumah mereka yang mengurungkan diri di rumah kerana bimbang tersampuk dengan semangat serigala jadian yang mungkin melekat pada dalaman anak-anak Mak Bainah itu yang dipercayai boleh berpindah kepada anak-anak kecil orang lain khususnya lagi bagi sesiapa yang mempunyai anak kecil seperti bayi yang baru lahir atau di bawah 6 tahun. Sesetengah orang kampung juga percaya bahawa mata kanak-kanak mempunyai kuasa mistik dan hijab yang terbuka sehingga mampu terlihat benda-benda halus. Maka sejak hari itu, ramai jiran yang mempunyai anak kecil mereka mengurung mereka di rumah dan tidak keluar untuk bermain di tanah atau berdekatan dengan pokok Asam yang sememangnya tempat mereka bermain bersama rakan lain.

"Tok datang ni sebab nak tanya khabar anak-anak kamu sebab risau dengan keadaan mereka." Ujarnya.

"Terima kasihlah Tok. Itu mereka yang sedang berbaring, masih tak reda lagi demamnya. Hari ni dah masuk hari ketiga." Jelas Mak Bainah

"Apa ceritanya anak-anak kamu sebelum ni?" Tok Ketua ingin tahu.

"Mereka kata...mereka kata Tok, mereka ada nampak wajah ngeri serigala jadian tu. Yang abang tu waktu pergi ke tandas belakang mnejerit kemudian pengsan sekejap sebelum ayah dia angkat ke ruang tamu. Si adik ni pulak, membulat matanya sampai tak terkata apa-apa. Dah beberapa hari yang adik diam membisu saja. Saya pun tak tahu nak kata."

"Jadi ada laki kamu tengok binatang-binatang tu dekat bawah?"Tok Ketua menambah pertanyaan.

"Ada Tok, tapi bila suami saya dan jiran sebelah cari tak ada pulak. Lesap hilang macam ada ilmu sampai angsa-angsa kat bawah tu pun tak bunyi apa-apa. Sebarang bunyi pun tak kedengaran. Pelik pun ada!"

"Kamu dah bawa anak kamu ke klinik?"Cadang Tok Ketua sambil mengurut tubuh anak sulung Mak Bainah yang berusia 10 tahun yang masih berbaring kerana demam.

"Dah Tok, semalam Saya dah bawa mereka. Tak pernah mereka demam seteruk ini Tok. Biasanya hari kedua mereka dah boleh jalan-jalan bermain kat bawah tu tapi ini, nak mandi, nak makan semuanya mereka tak larat." Kelihatan ada dua bukit kehitaman membengkak di bawah mata. Tanda Mak Bainah tidak cukup rehat kerana berjaga semalaman kerana berusaha meredakan demam anaknya itu.

"Jadi, doktor kata apa pasal anak kamu?" Terus mengasak persoalan. .

"Doktor kata mereka demam panas biasa sahaja dan sembuh pada bila-bila masa, nak kata kena Demam Malaria atau Denggi, sampel darah dah kena ambil. Pagi tadi keputusan negatif kata doktor. Tak tahulah Tok. Ini pun sampai doktor suruh saya bawa berubat kampung atau ustaz cadangnya. Takut-takut yang anak saya ni tersampuk makhluk halus sampai hilang semangat." Jelas Mak Bainah dengan wajah sayu dan sedih melihat keadaan anak-anaknya itu.

H.I.P.N.O.S.I.SWhere stories live. Discover now