BULAN dan serigala jadian? Bulan dan Pembunuhan? Kedua-duanya merupakan pelan neksus yang cukup sempurna. Namun malam ini sebaliknya, sendirian tanpa Nashriq dan Farid mengundang rasa kekosongan kerana sudah terbiasa dengan gurau senda bersela gelak tawa. Malam itu aku habiskan dengan mengasah bakat seni dengan melukis panorama bulan purnama bagi mengisi kekosongan yang menyanyat ini. Kurenungi panorama itu, ada sesuatu yang datang menghantui. Cuba memakai watak seorang detektif. Kupejamkan mata, membayangkan segala suasana malam yang juga persis bulan purnama. Satu lembaran berwarna putih kuambil sekali lagi, kali ini bermula dengan menuliskan satu-persatu kes. Cuba menggali ingatan dari dalam setiap kes yang mengundang gerah derita kampung ini. Kes pertama dan kes ke-2. Bulan yang sama tapi motif berbeza begitu juga dengan kes ke-2 dan ke-3. Tiada neksus yang signifikan antara kedua-duanya berbeza dengan kes pertama dan kes ke-3 ada persamaan iaitu bentuk motif pelakunya..Ertinya, pemburu memburu mangsa yang dia mahu, bukan sebaliknya. Hal itu mengetuk akal fikiran dan firasat yang menjelma tanpa sedar. Kali ini mengundang persoalan. Mengapa dan apa tujuannya? Muka pintu bilik berbunyi."Lut, tak tidur lagi?" Bayangan minda itu tergendala.
"Sebentar lagi nek... Lut tengah kurangkan rasa bosan. Maklumlah biasanya bilik ni sentiasa meriah tapi malam ni sunyi sikit. Agaknya sebab malam ni bulan purnama rasanya."
"Ooh! Yelah, kawan ni kadang jadi lawan tapi bila hilang kita cari sebagai tempat bersandang. Esokkan jumpa juga dengan dua orang budak tu..."
"Ya tak ya juga nek! Entah tetiba rasa sentimental pula Lut malam ni."Kerinduan itu singgah seketika sehingga menghukum suasana.
"Yelah, sekarang ni kan semua orang tengah berjaga-jaga. Lagipun masuk hari ni dah 3 malam korang tak bersembang dan bermain kat dalam bilik ni."
"Aah nek...3 malam tu rasa lama sangat, jumaat, sabtu dan ahad. Cukup 3 hari 3 malam Lut tak nampak batang hidung diorang. Lagipun masing-masing tengah sibuk." Jelasku kepada nenek.
"Nenek faham. Dahlah Lut, tidur awal malam ni. Esok mesti ada dua-dua orang budak nakal tercegat dekat kaki tangga rumah kita." Pujuk nenek menyedapkan hati.
"Baik nek, selamat malam!" Tentunya kerinduan itu dapat dirasai oleh nenek kerana sejak beberapa malam, aku begitu jarang keluar dari bilik itu. Segera merebahkan badan dan berharap esok masa begitu pantas berlari.
"Selamat malam." Sahutku. Segera mematikan lampu. Masih tidak dapat memicingkan mata. Ketakutan menyergah pintu fikiran. Tiba-tiba teringat akan kengerian serigala jadian yang semakin sensasi di kampung ini. Terngiang di telinga tentang betapa ngerinya lolongan serigala yang menakutkan itu seperti yang digambarkan oleh beberapa saksi yang pernah mendengarnya dari jarak dekat berhampiran kaki Bukit Cahaya Bulan. Bagaimana agaknya ketika berhadapan dengan binatang puaka itu? Ya, ketika membeli beras di pekan, aku terdengar dan masih ingat cerita Pak Nafi di warungnya pada petang tadi. Dikatakan bahawa binatang puaka itu tingginya menjangkaui tinggi manusia bersaiz Asia. Dengusnya sahaja mampu menakutkan harimau di hutan malah mempunyai upaya untuk menjadi halimunan sebelum menerkam mangsanya. Yang begitu dahsyatnya, dikatakan juga bahawa pandangan mata raksasa puaka itu mampu memukau mangsanya sehingga terdiam kaku malah tidak mampu mengawal tubuhnya sendiri. Bulu romaku meremang. Aku segera menghidupkan semula lampu bilik. Ketakutan sudah menguasai fikiran. Kupejamkan mata sambil membaca doa tidur dan ayat Al-Kursi agar berasa tenteram serta dilindungi Dia Maha Kuasa.
*******************************************
Keriuhan dan berita gempar begitu pantas menyerang kampung di pagi nirmala. Bukit yang cukup indah itu sudah mula dibanjiri orang kampung di kaki bukit. Ibu Azman iaitu Mak cik Norkiah yang kelihatan kucam juga tidak terkecuali untuk berlumba-lumba mendaki bukit itu semata-mata untuk mengecam sama ada itu ialah anaknya yang telah hilang selama beberapa hari. Bagaikan kolam, kelopak air mata seorang ibu membengkak dan jatuh mengalir kerana kehilangan anaknya. Ibu Azman, air matanya mengalir deras diiringi suaranya teresak-esak menyebut nama Azman. Bagaikan seribu penantian dengan harapan. Tiada sesiapa yang dapat menahan langkahnya daripada terus mendaki bukit itu dan menghampiri kawasan mangsa. Dari jauh, suara ibu Azman sudah memilukan dan membuatkan hati penduduk kampung yang ada di situ turut menangis kerana tidak sampai hati melihat keadaan ibu Azman, ibu mana yang tak sayangkan anaknya, inikan pula satu-satunya anak tunggal yang baru sahaja kembali ke pangkuan ibunya setelah bertahun menjalani pemulihan.
YOU ARE READING
H.I.P.N.O.S.I.S
Tajemnica / ThrillerKaukatakan hipnosis itu ilusi tapi sebenarnya satu realiti. Misteri Kampung Sinar Cahaya Bulan menyimpan pelbagai misteri yang dikaitkan dengan cahaya bulan sebagai pembunuh dan kaitannya dengan kewujudan serigala jadian. Pembunuhan yang berlaku ser...