Bagaimana permohonan abang untuk dapatkan gerai DBKL hari tu?? Belum ada apa-apa jawapan ke?" Siti Khadijah bertanya ketika mereka sedang berkemas usai selesai berjualan.
"Gerai DBKL? Bila ayah mohon? Kenapa Pipah tak tahu apa-apa pun?" Bertalu-talu soalan Afifah.
Omar dan Siti Khadijah berpandangan sesama sendiri. Reaksi Afifah memang sudah dijangka. Tetapi mereka berdua perlukan kemajuan dan perubahan. Takkanlah nak berniaga di khemah pacak sepanjang hayat?
"Ayah. Mak. Kita dah ada pelanggan tetap kat sini. Tak cukup ke pulangan yang kita dapat selama ni? Ingat senang ke nak dapat pelanggan tetap? Kita tak biasa lagi dengan gerai baru tu. Macam mana kalau ada orang kacau atau minta wang perlindungan seperti sebelum-sebelum ni?"
"Haish! Budak bertuah ni. Gerainya belum dapat pun lagi Pipah. Cubalah cakap yang elok-elok sikit. Rezeki itu Allah yang bagi. Mana tahu kalau di sana rezeki kita lebih murah? Negara ni ada undang-undang. Ayah rasa gerai di sana lebih selamat berbanding di sini."
Terjuih bibir Afifah mendengar jawapan ayahnya. Masih tak puas hati dengan keputusan mereka untuk berpindah ke gerai baru. Tak nampak lagi logiknya beralih tempat. Nanti tenaga dia juga yang akan dikerah.
"Tak payahlah berpindah ke gerai DBKL tu ayah. Lupa ke masa mula-mula kita berniaga di sini dulu? Banyak jualan yang tak habis. Kita terpaksa bayar ganti rugi kepada penjual kuih yang ambil dalal dengan kita. Tak pasal-pasal penjual-penjual kuih tu lari. Siapa yang kena belajar huat kuih lepas tu? Pipah juga,kan?" Afifah mencekak pinggang. Mahu orang tuanya sedar pengorbanan yang telah dia lakukan selama ini.
"Baguslah tu. Dari tak tahu buat kuih sekarang lelap mata pun tahu-tahu kuihnya dah siap. Air tangan Pipah sebenarnya lebih sedap dari penjual-penjual kuih tu. Kalau tidak, takkanlah tiap-tiap minggu ada saja tempahan kuih yang masuk. Betul tak bang?" Siti Khadijah mencelah perdebatan yang berlaku di antara Afifah dan suaminya.
"Itulah maksud Pipah,mak. Kalau kita berpindah ke tempat lain, susahlah pelanggan nak beli dan tempah kuih kita nanti." Afifah menghentak kaki. Tetap dengan pendiriannya.
"Kita bukannya hidup di zaman sebelum merdeka Pipah oi! Telefon kan ada. Kau ni tak nak berpindah sebab takut berjauhan dengan Irfan ke?"
"Apa hal ke situ pula mak ni!" Laju Afifah memuatkan barang-barang jualan ke dalam kereta.
Sekali lagi Omar dan Siti Khadijah berpandangan. Senyum sinis tersungging di bibir masing-masing. Mereka bukan baru hidup semalam. Melihatkan reaksi kelam-kabut Afifah saja mereka dah faham. Ada bunga-bunga cinta yang sedang disemai di dalam taman hati anak dara tunggal mereka.
"Alamak! Macam mana boleh terlupa pula ni?"
Afifah tepuk dahi. Kelam-kabut dia menyelongkar tong nasi dagang. Hanya daun pandan saja yang tinggal. Dibuka pula tong nasi lemak. Sama juga. Tiada apa lagi yang tinggal. Apa yang ada hanya kuah gulai nasi dagang. Isinya pun dah licin.
"Kau cari apa Pipah?" Siti Khadijah menyoal. Hairan melihat tingkah kalut gadis itu.
"Malam tadi Abang Irfan dah tempah sebungkus nasi dagang. Pipah lupa nak asingkan tadi. Aduhai! Macam mana ni?" Afifah menggaru kepala yang tidak gatal. Jauh pandangannya melihat ke arah bawah jambatan Pudu. Kawasan itu sudah bersih dari gelandangan yang sudah diangkut tempoh hari.
"Kau tak pesan pun tadi. Kalau mak tahu boleh mak asingkan siap-siap. Besok sajalah. Bendanya pun dah habis,kan?"
Afifah berdecap kuat. Mengutuk kelalaian diri sendiri. Laju dia mengambil telefon. Nombor Irfan ditekan.
"Ehem! Ehem!" Berkali-kali dia berdeham. Siap senyum seolah-olah orang yang dihubungi dapat melihat senyumannya.
"Haish! Kenapa tak berjawab pula ni?" Afifah mendengus kasar. Nombor Bakhtiar pula dicuba. Sama juga. Tidak berjawab. Usahanya untuk menghubungi Irfan mahu pun Bakhtiar masih tidak berjaya sehinggalah tapak gerai selesai dikemas.
YOU ARE READING
KeBANGKITan
General FictionNasib Irfan yang menolak permintaan ayahnya untuk dijodohkan demi mengekalkan persahabatan yang telah terjalin ditolak mentah-mentah. Natijahnya Irfah dihalau keluar dari rumah dan dibuang keluarga. Irfan pasrah. Walau sedih dengan apa yang berlaku...