09 Mereka Yang Ditinggalkan

1.9K 17 1
                                    


5.30 petang. Dewan Besar SMK Bandar Temerloh, Pahang.


Suasana di Dewan Besar SMK Bandar Temerloh cukup kelam kabut. Tangisan dan rintihan ketakutan kedengaran di sana-sini. Cikgu Zaidah bergerak ke sana dan ke mari cuba menenangkan sebanyak mana pelajar yang dia mampu. Masuk hari ini sudah 3 hari mereka terperangkap di Dewan Besar SMK Bandar Temerloh semenjak mayat-mayat hidup merempuh masuk pintu pagar elektrik Bandar Temerloh dan sekaligus mengepung warga SMK Bandar Temerloh di dewan besar sekolah itu. Daripada jumlah 95 orang guru, 30 pekerja sekolah dan 1300 pelajar, kini hanya tinggal 30 orang guru dan 350 orang pelajar sahaja yang masih hidup dan bertahan di dalam dewan besar tersebut. Yang lain telah mati dibaham oleh mayat-mayat hidup ketika rempuhan mengejut itu.


Cikgu Zaidah menyeka peluh yang timbul di dahi licinnya. Baju kurung kebarung kelabu yang di pakainya agak lecun dek peluh lantaran keadaan dewan besar yang penuh sesak serta panas itu. Guru Bahasa Melayu yang berusia 30 tahun itu menghampiri cikgu-cikgu lelaki yang sedang sibuk mengangkat kerusi dan meja untuk membentuk tembok halangan di depan pintu masuk dewan.


"Bagaimana keadaan tembok halangan yang kita buat ni? Bolehkah ia bertahan sehingga bantuan tiba?" tanya Cikgu Zaidah kepada suaminya, Cikgu Harun, guru Pendidikan Jasmani dan Kesihatan SMK Bandar Temerloh.


"Buat sementara ni, kerusi dan meja yang kita susun ni masih boleh menahan kemasukan mayat hidup dari pintu masuk dewan. Tapi.........." kata-kata Cikgu Harun terhenti dan dahinya berkerut.


"Tapi apa, bang?" tanya Cikgu Zaidah bimbang.


"Melalui tinjauan abang tengahari tadi di celah tingkap dewan, jumlah mayat hidup yang sedang berasak-asak merempuh masuk pintu dewan ni dah bertambah sebanyak tiga kali ganda." jelas Cikgu Harun.


"Kenapa jadi macam tu? Dari mana datangnya mayat-mayat hidup sebegitu banyak tu?" soal Cikgu Zaidah.


"Nampaknya seluruh mayat hidup yang ada di Temerloh ni sudah bertumpu di dewan besar sekolah kita sekarang. Mereka sudah terhidup bau manusia hidup." jelas Cikgu Harun lagi.


"Habis tu bolehkah kita bertahan lagi?" kerisauan Cikgu Zaidah bertambah.


"Sebenarnya kita cuma boleh bertahan selama sejam atau dua jam lagi sebelum pintu masuk dan tembok halangan kerusi dan meja yang kita susun pecah dirempuh oleh mayat hidup. Kita harus bersedia untuk berlawan untuk terus hidup...." jelas Cikgu Harun yang berusia 45 tahun itu.


"Perlukah Zai beritahu cikgu serta pelajar yang lain supaya bersiap sedia untuk berlawan?" tanya Cikgu Zaidah.


"Jangan..! abang dan cikgu-cikgu lelaki yang sedang berusaha untuk memperkukuhkan lagi tembok halangan kerusi meja ini. Moga-moga ia akan dapat bertahan lebih lama sehingga bantuan yang dijanjikan oleh Ustaz Khairul itu tiba." ujar Cikgu Harun.


"Ustaz Khairul......di manakah ustaz? Di mana bantuan yang dijanjikan itu...?" bisik hati Cikgu Zaidah mengharap...


Cikgu Zaidah teringat peristiwa 2 hari sudah di mana Ustaz Khairul memanggilnya dari atas bumbung dewan besar. Oleh kerana keadaan terlalu merbahaya untuk dia menghulurkan bantuan, Ustaz Khairul berjanji untuk mendapatkan bantuan askar untuk menyelamatkan Cikgu Zaidah dan warga SMK Bandar Temerloh yang masih terperangkap di dalam dewan besar sekolah. Cikgu Zaidah masih menaruh harapan yang Ustaz Khairul akan mengotakan janjinya itu. 

KIAMAT DUNIAWhere stories live. Discover now