1 - Tuhan, Benarkah Kau Mendengarku?

68 13 7
                                    

Malam itu, suara keras pertengkaran diserap setiap ruang kosong yang ada dalam rumah kecil itu

Alamak! Gambar ini tidak mengikut garis panduan kandungan kami. Untuk meneruskan penerbitan, sila buang atau muat naik gambar lain.

Malam itu, suara keras pertengkaran diserap setiap ruang kosong yang ada dalam rumah kecil itu. Bukan itu sahaja, bahkan Hana tahu pertengkaran umi dan abahnya kali ini lebih teruk dari sekadar penghamburan kata-kata kesat yang menyakitkan hati.

Telinganya menangkap bunyi barang-barang dihempas ke lantai konkrit, disusuli bunyi jeritan dan laungan tangisan umi. Abahnya, Rizal, yang seringkali gagal mengawal kemarahannya itu telah menggunakan kekerasan untuk menyakiti wanita yang dulu pernah ia sayangi sepenuh hati. Segala keganasan yang berlaku telah menggetarkan dinding rumah.

Hana menyembunyikan dirinya di bilik setor yang sempit sementara tubuhnya menggeletar ketakutan. Dia memeluk lutut di sudut bilik sambil memejamkan mata, dengan harapan perbuatan itu boleh menghalang apa jua bunyi yang menakutkan itu dari terus menerus menembus kewarasannya. Namun, setiap jeritan dan tangisan umi tetap menerkam jiwa Hana, sekian menambah luka yang baru di tempat sama dalam jiwanya.

Matanya tak sengaja tertumpu ke arah bingkai gambar yang berbaring di dalam kotak usang dalam bilik setor itu, berhabuk dan retak. Ia potret keluarga yang lama—potret sebuah keluarga yang pernah bahagia. Di dalam gambar itu, Rizal tersenyum lembut sambil memeluk Salina, iaitu umi Hana. Hana pula tersenyum lebar layak cerianya seorang kanak-kanak yang berusia lima tahun. Mereka sangat bahagia. Kini, gambar itu hanyalah sebatas bayangan lalu. Rizal yang Hana kenal hari ini bukan lagi Rizal yang sama seperti di dalam potret itu. Dia telah berubah menjadi seorang lelaki yang langsung tidak dia kenali; dingin, ganas dan penuh dengan kebencian.

Entah apa yang terjadi sehingga semua yang bahagia itu sirna, meninggalkan puing-puing reruntuh rumahtangga itu.

Air mata Hana mengalir laju sementara bibirnya yang pucat dan kering itu tidak berhenti berdoa kepada Tuhan supaya menyelamatkan umi dari kekerasan ini. Dia mahu semua yang berlaku hari ini berhenti buat selama-lamanya. Dia mahu Rizal dan Salina kembali seperti dulu. Hana sudah tidak yakin lagi kalau Tuhan benar-benar mendengar doa-doanya namun dia tak putus harapan. Tuhan tidak pernah tidur, kan?

Malam semakin larut, dan bunyi pergaduhan itu beransur-ansur mereda. Hana dapat mendengar bunyi pintu depan dibuka dengan kasar dan derapan langkah berat Rizal meninggalkan kawasan rumah bersama dengusan amarahnya. Dengan itu, Hana yakin abah telah kabur.

Perlahan-lahan, Hana keluar dari bilik setor gelap itu menuju ke luar untuk mencari umi. Hana mendapati ruang tamu itu sudah berantakan. Perabot dalam keadaan tunggang-langgang, pasu bunga pecah berderai dan beras yang dibeli oleh uminya siang tadi sudah bersepah di atas lantai. Yang menyayat hati, uminya yang sudah lemah itu tetap mengumpul sisa kudratnya untuk mengutip saki-baki beras yang boleh dikutip. Melihat keadaan uminya begitu membuatkan jiwanya rasa disiat-siat lagi.

Hana berlari kepada Salina, terus memeluk wanita itu dengan erat. "Umi..."

Salina tergamam apabila tubuhnya dirangkul begitu oleh anak remajanya. Salina menyangka Hana sudah tidur pulas, ternyata anaknya telah menyaksikan apa yang dia tak mahu Hana saksikan.

"Hana takut umi," tangis Hana, suaranya bergetar dan mendayu-dayu. Air mata Salina mengalir. Pipi Hana dihelus dengan lembut.

"Jangan takut, sayang... umi okey je ni. Pergi tidur, ok? Esok kan Hana sekolah?" Salina cuba untuk tunjukkan dirinya kuat supaya Hana tidak risau. Hujung bibir Salina yang berdarah membuatkan Hana menggelengkan kepalanya.

"Apa yang okey, umi? Umi berdarah darah ni!"

"Berdarah sikit saja Hana... luka kecil je. Nanti nanti sembuh juga, kan? Dah, pergi tidur. Jangan risau pasal umi."

Hana hanya diam, melihat uminya dengan wajah yang mendung. Hana tahu umi cuma sedang berusaha untuk menenangkannya. Padahal, umi pun sudah tidak mampu untuk menahan kesakitan ini. Hana kekal duduk di samping Salina, cuba menawarkan walau hanya sedikit kehangatan dalam kedinginan yang menyelubungi mereka.

Hujan mula turun di luar. Dalam hati kecilnya, Hana berharap suatu hari nanti mereka berdua dapat bebas dari bayangan luka ini—bebas dari ketakutan yang menghantui mereka setiap malam.

Bayangan LukaTempat di mana cerita hidup. Terokai sekarang