"Tutututu-Tuah!" Dia cepat cepat menerkup mulutnya tidak mahu mengejutkan lelaki yang sedang tidur itu. Entah bagaimana lelaki itu terlena di sini, atas katil ini, bersamanya, dengan lengan kekar itu menjadi bantalnya. Aduhhh!
"Macam mana mamat ni boleh ada kat sini?" Getus hatinya. Dalam pada itu, matanya tidak lepas daripada menatap wajah nan indah itu. Dalam ramai ramai manusia di dunia ni, mengapa Tuah yang mesti memiliki hatinya? Fakta bahawa dia di dunia ini sebagai pemegang takhta kerajaan Melaka, lantas memadam segala rasa itu. Mustahil seorang Sultan untuk menjalinkan hubungan dengan pembesarnya apatah lagi pembesar itu seorang lelaki.
"Kenapa aku kena jadi Sultan dekat dunia ni? Kalau aku jadi rakyat jelata, takdelah susah sangat aku nak mengorat mamat ni. Kut?" Keluhnya sendiri. Tanpa sedar, keluhannya itu membuatkan mata Tuah tercelik. Pandangan keduanya mulai bertembung menghasilkan satu aura yang sedikit romantis. Keadaan ini juga membuatkan jantungnya laju mengepam darah.
"G-Good morning, Tuah." Ucapnya gugup sampai tersalah penggunaan bahasa yang terkeluar dari mulutnya. Tuah yang terperanjat terus membelakangkan tubuhnya menjauhi lelaki itu sehingga,
Pakk!
Kepalanya terhantuk dek terkena tiang kayu jati yang berada di hujung katil itu.
"Aduh!" Dia mengusap kepalanya yang sakit.
Pfft,
"Hahahaha!" Letusan ketawa itu mematikan suasana yang baru sahaja mahu menjadi kekok. Tuah kemudiannya bangkit lalu melakukan rafak sembah kepadanya.
"Ampun, tuanku! Patik tidak sengaja terlena di sini bersama tuanku." Suara Tuah yang garau bercampur serak itu membuatkan jantungnya berdegup laju semula.
"Mak oi, kenapa seksi sangat suara dia ni? Ke sebab baru bangun tidur?" Bisik hatinya.
"T-Takpe Tuah." Hanya dua patah perkataan itu sahaja yang mampu dia tuturkan kerana terlalu gugup. Tak tahu mengapa, tapi jarak itu membuatkan dirinya tak mampu mengawal rasa gugup ini.
"Ampun tuanku. Patik mohon limpah untuk pamit." Berbeza dengan Tuah, lelaki itu nampak begitu tenang walau tadi mukanya sedikit terkejut lepas dapat tahu yang dia tertidur atas katil bersama Sultan. Dia mengangguk kecil sebagai isyarat membenarkan Tuah untuk keluar dari bilik beradu itu. Jantungnya tidak henti berdebar. Apa yang perlu dia lakukan? Tak mungkin dia mahu terus merasa seperti ini setiap kali bertemu Tuah?
"Kau kena kuat Que. ingat, tak ada siapa kau boleh percaya dalam dunia ni, termasuklah... Tuah." Kepalanya mengangguk membenarkan kata kata itu. Pada akhirnya, dia perlu kembali ke realiti yang sebenar tentang siapa dia dalam dunia ini. Dia tak boleh lengah walau sedetik kerana dia sendiri tidak pasti siapa kah yang benar benar berada di pihaknya. Dalam istana ini, mungkin saja ada beberapa musuh dalam selimut yang tak dapat lagi dia kenal pasti. Ya, benar, pemilik jasad ini dengan kezalimannya telah menjemput mara bahaya yang kini, dia seorang perlu tanggung akibatnya. Atas dasar itu, dia tidak boleh leka. Dia juga punya hak untuk hidup dalam dunia ini.
Sejenak, dia memandang kembali ke arah pantulan cermin yang berada dalam kamar beradu itu. Sebuah susuk tubuh seseorang yang bukan dirinya sedang duduk di atas katil memandang ke arahnya.
"Apa yang buatkan kau jadi macam tu, Mahmud?"
1490, Dewan santap Istana Melaka, Tanah Melayu. 8.07 pagi.
Sudah satu purnama dia berada di dunia ini, masih lagi dia tidak terbiasa bersantap seorang diri dengan makanan yang maha banyak terhidang atas meja santapan itu. Sudah lah pula dia seorang saja yang duduk bersantap. Logik kah dia mahu menghabiskan makanan sebanyak ini? Sebelumnya, ada dia bertanyakan kepada pembantu istana perihal apakah yang akan dilakukan kepada semua makanan yang tidak habis dimakan. Menurut pembantu istana itu, makanan tersebut akan dilupuskan di dalam istana kerana sudah menjadi ketetapan dan adat di istana supaya tidak membawa makanan diraja keluar dari tempat itu. Maka pilihan yang ada hanyalah melupuskannya.
Selepas mendapat tahu keadaan tersebut, dia terus memerintahkan agar makanan makanan yang tidak habis itu boleh diberikan kepada semua pembantu istana sebagai santapan, cuma masih, makanan makanan itu tidak dibenarkan untuk dibawa keluar dari istana. Mungkin dengan cara ini dapat meminimakan pembaziran makanan, itu apa yang dia fikirkan.
"Ampun tuanku. Pembantu istana telah tiba." Ujar hulubalang yang sedang berdiri di pintu penghubung antara dapur dan dewan santap istana itu. Dia hanya memberikan isyarat agar mengizinkan pembantu istana itu masuk ke dalam dewan santap sebelum pembantu istana itu mencuba setiap makanan yang terhidang atas meja itu. Setelah habis mencuba setiap makanan dan memastikan tiada sebarang racun, maka pembantu istana itu terus beredar. Itulah prosedur yang perlu dilakukan setiap kali dia ingin bersantap. Semuanya atas perintah pemilik asli tubuh badan ini. Mungkin dia pernah menjadi mangsa keracunan sebelumnya sehingga mencipta arahan sebegini. Pada mulanya, dia pun ingin menarik semula perintah tersebut, tapi setelah beberapa percubaan membunuh yang berlaku terhadap dirinya sebelum ini membuatkan dia berubah fikiran. Prosedur itu adalah yang terbaik untuk menjaga nyawanya setakat ini.
Selesai bersantap, dia terasa mahu ambil angin dan berjalan jalan mengelilingi istana. Sejujurnya, selama dia berada di sini, dia belum pernah lagi meninjau kawasan keliling istana. Ada beberapa tempat yang sudah dikunjunginya tapi bukan semua. Salah satu antaranya adalah kawasan yang sedang dia berpijak sekarang ini. Kakinya mula menapak masuk ke dalam taman yang dipenuhi berbagai jenis bunga bungaan dan pohon buah buahan melalui pintu gerbang kayu yang tidak lah terlalu besar. Pada bahagian atas pintu gerbang itu tertulis perkataan 'Taman Larangan' dalam bahasa jawi lama. Pemandangan di taman itu cukup menenangkan jiwa. Bunga bungaan bermacam warna menghiasi lorong tempat berjalan. Ada juga pepohon rimbun yang sebahagiannya telah berbuah ranum. Angin pagi yang mendamaikan membuatkan dia menikmati apa yang sedang dia lihat.
Rasa tenang muncul dalam benaknya. Ini lah kali pertama dia rasa setenang ini setelah tiba di dunia yang sangat asing baginya. Langkah kakinya berjalan bebas tanpa arah. Dia hanya mengikut kata hatinya. Ke mana saja kaki itu membawanya, dibiarkan sahaja. Sedang asyik dia mengamati lanskap yang indah bahari itu, tiba tiba ekor matanya menangkap figura seorang wanita anggun sedang berjalan di balik rimbunan bebunga. Kakinya tanpa sedar melangkah mengekori wanita misteri itu.
Dari kejauhan, dia cuba memperjelaskan imej wanita tersebut dengan matanya. Wanita itu mempunyai rambut yang lurus panjang hingga ke pinggang. Busananya kelihatan asing seperti bukan dari Tanah Melayu dengan tubuhnya disaluti kain kemban berwarna merah yang pekatnya seperti warna darah bersama kain serong jawa yang terletak kemas menutupi bahagian bawahnya. Di antara lengan kanan dan kirinya, sebuah selendang kubung berwarna keemasan terpaut rapi. Dokoh perak berbentuk bulan sabit dengan ukiran dedaun yang tergantung pada leher hingga ke dadanya menyerlahkan kewibawaan wanita itu. Manakala cucuk sanggul yang berada di kepalanya pula menambah seri keayuan pada wajah tersebut. Siapa gerangan wanita itu? Bagaimana dia boleh berada di Taman Larangan? Dan apa tujuannya menceroboh kawasan ini?
Persoalan persoalan itu membuatkan langkahnya semakin laju mengikuti gerak geri wanita misteri tersebut. Pada ketika jarak antara mereka semakin hampir,
Krak!
Suara dahan pokok yang retak menarik perhatiannya. Matanya melilau mencari arah bunyi tersebut sehingga akhirnya pandangannya tertumpu ke arah sebuah pokok rambutan yang berada tidak jauh dari tempat dia berdiri. Terdapat seorang lelaki asing yang sedang memeluk dahan pokok rambutan itu. Saat mata mereka bertembung, lelaki itu bagaikan ketakutan sebelum dia tidak dapat menyeimbangkan diri atas dahan tersebut lalu jatuh menyembah bumi.
Gedebuk!
YOU ARE READING
Hikayat Suatu Cinta Dahulu
ФэнтезиMacam mana kalau sebenarnya Hang Tuah tak pernah jatuh cinta pada Puteri Gunung Ledang? Macam mana kalau sebenarnya Hang Tuah taat pada Sultan bukan kerana setia? Dan macam mana pula kalau Sultan sebenarnya punya perasaan pada Hang Tuah? Semua perso...