Hikayat 1

21 0 0
                                    

1490, Istana Melaka, Tanah Melayu. Jam 10.07 malam.

Keris lama itu dihunus tepat pada buah halkum milik adik lelakinya. Tiada langsung belas ihsan yang tumbuh dalam benaknya sebaliknya api besar yang membara muncul dalam anak matanya. Semua ini dek kerana perasaan iri dan cemburu yang membuak buak.

"J-Jangan kakanda! Adinda mohon, kembali lah pada akal waras kakanda!" Titisan keringat mula membanjiri seluruh mukanya. Tangan dan kakinya telah pun disekat. Hampir dia tidak boleh bergerak untuk menyelamatkan diri dari amukan Abang kandungnya sendiri.

"Akal waras? Berani adinda memanggil beta gila?!" Semakin marak hatinya dibakar oleh kata kata dari adik lelaki yang dibencinya itu.

"Tidak, kakanda! tidak! Adinda hanya mahu kakanda pertimbangkan semula apa yang kakanda lakukan sekarang ini! Kita berdua sedarah sedaging. Apakah kakanda sanggup membunuh adinda kakanda sendiri?" Kudratnya mulai lemah, seupaya dia cuba memujuk lelaki itu. Merayu dan meminta belas kasihan walau dia sendiri tidak tahu atas dasar apa abang kandungnya itu mahu membunuhnya.

"Bahkan yang sedarah sedaginglah yang telah mengkhianati beta! Sebelumnya, Tun Mutahir, sekarang adinda pula?!" Bergema suara lantangnya memenuhi tiap sudut bilik persembunyian itu.

"Beritahu adinda, kesalahan apa yang telah adinda lakukan?!"

"Masih lagi mahu bertanya? Adinda fikir beta bodoh ya? Bukankah adinda sudah bersekutu dengan Tun Mutahir untuk menjatuhkan beta?! Dengan muka elok itu, adinda cuba merampas kepercayaan rakyat dan apabila rakyat sudah berpaling daripada beta, pada saat itu adinda akan meragut takhta beta, itu perancangannya bukan?!" Entah dari mana dia dapat berita itu. Yang pastinya, ia bukanlah fakta selain hanya cerita yang direka reka untuk melagakan kedua adik beradik itu.

"Demi Tuhan, Kakanda! Adinda tidak pernah bersekutu dengan almarhum untuk menjatuhkan Kakanda! Demi Tuhan!" Keluarlah berpuluh kata rayuan sekalipun, jika si Abang sudah bertekad, maka tiada apa yang boleh menghalangnya hatta adik kandungnya itu sendiri.

"Sudah, tamat kan saja riwayatnya, Hang Berkat!" Dengan muka yang bengis, dia berpaling tubuh dari adik lelakinya itu lalu melangkah mahu meninggalkan bilik persembunyian tersebut.

"Adinda berharap Kakanda tidak akan menyesal dengan semua ini." Dia tahu segalanya sia-sia, tapi untuk sesaat, dia berharap abangnya itu akan menghentikan situasi ini. Namun bagai hujan jatuh ke pasir, memang segalanya sia sia.

Skrakkk

Lancar bilah keris itu memenggal kepalanya sebelum darah merah memancut-mancut keluar.

Matanya tercelik sambil dadanya kembang kempis membenarkan saluran pernafasannya mengalirkan udara. Dahinya berpeluh peluh. Tangannya pula tidak henti henti mengetuk pada bahagian atas belah kiri dada memastikan jantungnya dapat berfungsi dengan baik.

"Haa, haaa, haaa!" Suara dia bernafas memenuhi ruang bilik beradu itu. Pantas dia membangunkan diri dari perbaringan. Sudah satu purnama dia bermimpi buruk. Sejak memiliki badan ini, tidurnya tidak pernah lena. Entah sampai bila dia akan terbiasa. Bola matanya kemudian melirik ke arah pantulan cermin ukiran tradisional yang berada tepat-tepat di depan katil bersaiz king tempat dia tidur. Ditilik wajah yang berada dalam cermin itu sebelum tangannya meraba perlahan wajah tersebut. Wajah yang serba serbi tidak kurang eloknya. Agak jambu kerana tiada sehelai bulu pun yang melekat pada mukanya, manakala rambutnya pula hitam mengurai hingga ke bahagian tengah badan. Kulitnya cerah dan matanya bulat terang umpama cahaya bulan. Tapi entah mengapa, mata itu bagai merenung kosong tanpa isi di dalamnya. Melihat dari keseluruhan, mungkin umurnya dalam lingkungan sekitar dua puluhan tahun. Ya, terlalu muda untuk menjadi seorang Sultan.

Hikayat Suatu Cinta DahuluWhere stories live. Discover now