06 : Tersilap langkah

20 0 0
                                    

Yamaha MT-25 menderam garang, mengacau hening malam yang dingin. Putaran pada throttle bergerak seiring dengan cemas yang membelenggu diri. Asbab pesanan dari Emrys, habis punah ketenangannya.

"Ihan, datang rumah aku sekarang. Rasha ada sini dan aku rasa kau patut tahu apa yang terjadi."

Rambut yang sedikit berantakan setelah helmet dibuka, dibiarkan sahaja. Buru-buru kaki melangkah ke muka pintu.

Wajah tegang Emrys menyambut Ihan. Keluhan dilepaskan sebelum Emrys meraup wajah kasar. "Aku dah cakap, An. Dia tak patut teruskan business ni teng-"

"Rasha, okay? Mana dia?" Ihan panjangkan leher, menjenguk ruang di dalam.

Sekali lagi nafas dihela sebelum tangan Emrys mendepa ke arah ruang tamu. "Ada, kat dalam."

Terus sahaja Ihan melangkah masuk. Hati yang tadinya berdebar-debar mula sayu ketika wajah kosong Shanika duduk tertegun di hujung sofa menjamah mata. Ketegangan di udara sedikitpun tidak menjejaskan Ihan untuk menghampiri.

"Otak letak kat mana, Rasha?!" Menggelegak darah Ihan tika herdikan itu terdengar berdesing seisi ruang.

Ihan pantaskan langkah. Mahu cepat-cepat menjadi benteng Shanika. Belum sempat dia berdiri hadapan Shanika, tangannya diselar. Wajah dipaling, bertembung empat mata dengan Emrys.

"Rasha kena scammed." Bisikan Emrys lirih.

Ihan terdiam sejenak. Mulut yang terbuka kembali tertutup. Hilang diksi dia. Bagaimana Shanika, yang dikenalnya berani dan bijak mengatur perancangan, terjebak ke lembah masalah seperti ini?

"Sekarang duit dah lenyap entah ke mana! Bukan setakat duit modal yang kononnya untuk business bodoh tu je habis. Duit untuk awak sara hidup sendiri pun hilang." melengking suara Nara. Geram pula bila si mangsa hanya membungkam, seolah-olah tidak terjejas.

"Boleh cakap elok-elok rasanya, Nara. Kau tegur aku tentang adab. Sekarang adab kau mana?" Renungan Ihan tajam menikam Nara.

"Ihan," tegur Emrys.

"Apa? Tak akan kau panggil aku datang sini semata untuk dengar Rasha kena marah!" Naik seoktaf nada Ihan.

Sempat dikerling Shanika yang mula tertunduk. Tangan pula mengepal erat di atas riba. Jelas di mata Ihan, Shanika berjuang mengatasi tekanan yang menyesak diri.

"Kau cakap kita kena sokong dia, kan? Sekarang tengok apa yang jadi? Nasib baik lah belum ada sesiapa yang melabur dekat dia. Kalau tak-"

"Nasib baik? Nasib baik kau kata!" Ihan tertawa sinis. Dadanya berombak kencang. Tiada sekelumit perasaan simpati langsung ke dua manusia ini?

"Rasha kena scammed, Rys. Scammed! Daripada kau risau tentang dia, kau lebih risau dekat orang yang mungkin terlibat? Kau kawan siapa sebenarnya ni, Rys?" sinis Ihan.

"Kenapa kau pula nak marah aku, An?Sedangkan Rasha yang cari masalah sendiri! Aku dengan Nara dah banyak kali nasihat dia!" ujar Emrys kegeraman.

"Jadi betul lah, kan? Kau panggil aku datang sini sekadar untuk buktikan yang kau dengan Nara betul, dan Rasha salah." Bak peluru berpandu Ihan lancarkan tuduhan.

"Bukan itu aku maksudkan." Emrys pejamkan mata.

"Terang lagi bersuluh, ini ujian untuk Rasha, tetapi kau tak rasa ke, ini juga ujian untuk kita? Ujian untuk tengok perangai sebenar seorang kawan bila dibebankan dengan masalah?" Ihan tatap wajah Nara dan Emrys silih berganti.

"Jangan tukar masalah ni pada diaorang, Ihan. Aku datang sini bukan nak minta simpati," Shanika menyela.

"Tapi kau datang sini sebab kau buntu, kan? Kau datang sini sebab kau tak tahu nak buat apa, kan? You are feeling lost. Too overwhelmed. Dan kau tak tahu nak handle macam mana? Betul, kan?" Kepala Ihan tertunduk memandang Shanika.

O G | Bahagiaku KeranamuWhere stories live. Discover now