Berjingkit-jingkit Shanika berjalan ke arah meja. Niat ingin mengejutkan mereka, sudahnya Shanika yang tergamam. Tubuh seolah-olah patung cendana. Kaku tidak bergerak. Tangan menggenggam erat tali beg. Mood yang tadinya ceria ketika membaca pesanan mesej Nara bertukar buram.
"Macam mana nak sokong kalau impian tak berpaksi pada bumi yang nyata. Dia bukan setakat nak jadi cat-sitter tapi nak buka hospital haiwan sendiri."
Perlahan tubuh dipusing, ingin segera beredar. Biarlah kehadiran Shanika menjadi rahsia. Bukan kali pertama Shanika hadap cerca sebegitu. Namun, leburnya hati bila kata-kata itu keluar dari insan yang paling dekat setelah keluarga.
"Rasha?"
'Tak, tak! Teruskan berjalan, Rasha. Jangan pandang belakang!' Semakin laju kaki melangkah, semakin kuat juga derapan kaki yang mengekori. Tidak mampu rasanya Shanika menghadap empunya suara dalam keadaan hati yang hancur.
"Huish, sombong betul." Kaki Shanika terhenti.
"Kau tak dengar aku panggil ke, Sha?" Derapan langkah Ihan semakin mendekati. Mahu tidak mahu, Shanika pusing tubuh.
"Aku ada hal," senada Shanika bertutur.
"Hal? Bukan ke kau datang sini sebab Nara dengan Emrys nak belanja makan?" Sebab itu lah Ihan datang ke sini tetapi perkara yang tidak enak pula yang dia dengar.
Hening tanpa balasan. Ihan perhati bibir Shanika yang digigit lembut dari dalam. Jatuh pula pada tangan yang menggenggam erat tali bag. Sejak tadi iris coklat lembut itu tidak membalas pandangan Ihan walau sekali.
"Kau... Dah masuk ke tadi?" Berhati-hati Ihan tujukan soalan.
Shanika panggung kepala. Mulut mahu menafikan tapi tiada kata yang keluar tatkala pandangan teduh Ihan memayung dirinya.
"Sorry, aku dah lambat." Buru-buru kunci kereta dikeluarkan lalu ditekan. Lampu kereta Perodua Viva putih yang berada tidak jauh dari kaki lima berkelip dua kali.
Baru sahaja pintu di buka, Ihan menyelit di ruang kecil antara Shanika dan pintu kereta. Terus sahaja dilabuhkan punggung ke tempat pemandu. Tanpa serba salah terserlah sebaris gigi putih Ihan.
"Ini taktik terbaru pencuri kereta ke?" Tidak berkedip mata Shanika. Tangan masih berada di pemegang pintu.
Ihan tadah dua telapak tangan seraya bahu diangkat sekali. "Entah, tak tahu. Yang itu kau kena tanya pencuri kereta lah Sha, bukannya aku. Now, kunci please."
"Kunci hotak kau. Keluar, gila!" Bahana pancing amarah Shanika mendapatlah makian. Puas Shanika menahan sebal dari pertama kali bertemu.
"Pergh, aku cakap please kau bagi gila kat aku. Tak kira kau dengar cakap aku sekarang. Meh sini kunci kereta kau!" Jari dilipat ke dalam beberapa kali. Lah, kereta siapa sebenarnya ni?
"Memang layak pun perangai dah serupa orang gila. Tiba-tiba masuk kereta orang, tiba-tiba minta kunci kereta orang," balas Shanika jengkel.
"Kalau aku minta hati kau, lain pula ceritanya nanti."
BUK
"Aduh! Kau ni apa yang ada dekat tangan tu laju je naik." Serta merta tawa Ihan yang meletus tadi mati. Senak sehingga ke ulu hati impak hempukan beg dari Shanika.
"Lantak lah dari aku tak berlapik. Aku nak sambung kerja yang orang kata tak ada taraf ni. Keluar lah Ihan!" Tangan sekali lagi menghayun beg ke arah Ihan. Langsung tidak tersedar sudah terlanjur bicara.
"Gotcha." Ihan tahan permukaan beg dari mengena tubuhnya. "Dah habis marah?"
Shanika mencebir. Beg yang dipegang Ihan dilepaskan begitu sahaja. Matanya menghunus tajam Ihan yang tampak tenang.
YOU ARE READING
O G | Bahagiaku Keranamu
Romance[BUSINESS ADVENTURE + SLICE OF LIFE + ROMANCE] Rasha Shanika, bukan seorang wanita yang lemah malah dia sangat berjiwa besar. Aura ladyboss sudah lama terpancar dari dirinya. Cuma, dia ada satu impian. Hanya satu. Terbuku dan tak menampakkan sinarny...