PERSIAPAN pernikahan aku dilakukan selama tiga bulan. Sejujurnya semasa tempoh itu jugalah hati aku rasa teramat berdebar apabila memikirkan aku akan menjadi seorang isteri. Pastinya kehidupan seorang isteri akan sedikit mencabar memandangkan aku bakal hidup dengan seorang lelaki yang agak tua jarak usianya berbanding aku.
Hari ini merupakan harinya aku akan diijabkabulkan dengan uncle Ralph. Meskipun tempoh 3 bulan itu kedengaran lama tetapi sebenarnya merupakan masa yang sangat singkat. Kata uncle Ralph, bukannya dia tidak sabar menikahi aku tetapi dia risau aku berubah fikiran dan meninggalkan dia untuk lelaki lain. Tak mustahil sebenarnya.
Aku sendiri tahu yang aku ni senang sangat suka pada seseorang. Makanya, aku bersetuju dan ikutkan saja. Papa dan mama pun tidak membantah.
“Ayana…” aku tersedar dari lamunan sebaik saja namaku diseru papa. Aku memandang papa yang nampak risau melihatku. Kami sedang berada di pekarangan masjid. Mereka mahu menikahkan aku di sini katanya lebih berkat berbanding bernikah di rumah. Tambahan lagi ahli keluarga papa dan rakan-rakannya juga mahu dating menyaksikan pernikahan aku.
“Papa faham Ayana gemuruh tapi jangan tunjuk sangat muka cuak,” tegur papa sambil membetulkan tudungku. Aku mengangguk perlahan. “Ayana tahu. Bila fikirkan Ayana nak jadi isteri perut Ayana rasa kecut. Papa tak rasa gugup ke dulu?” aku tanya papa.
“Papa santai…” tenang saja jawapan papa.
“Mana ada santai. Papa Ayana tu dulu malu-malu anak anjing. Ajak kahwin berani tapi nak menikah sejuk kepala lutut dia,” sampuk mama tatkala dia membawa keluar sedikit makanan yang dimasaknya bersama-sama aku dan Ayra malam tadi.
“Tolong jangan buka aib abang,” rengek papa sambil memuncungkan bibirnya. Anak matanya mengikut gerak langkah mama yang sedang sibuk. “Itu salah abang sebab nak tunjuk lagak sangat. Tak salah nak gemuruh. Biasalah tanggungjawab akan bertambah. Lepas ni Ayana bukan aje jadi seorang anak kepada papa dan mama tapi Ayana akan menggalas tanggungjawab sebagai seorang isteri.” Bicara mama membuatkan aku dan papa terdiam.
“Pengantin lelaki dah sedia. Cepat,” Abang Ayyim menyeru kami. Dia berdiri di depan pintu masjid dan turun membantu mama Menyusun barang. Aku menarik nafas panjang dan menghela nafas itu perlahan-lahan.
“Mari, Ayana.” Papa menggamit aku mengikuti langkahnya. Mama dan Abang Ayyim mengikuti langkah kami dari belakang. Aku nampak uncle Ralph sedang duduk bersila dan berbual dengan kawan-kawan papa sebaik saja aku masuk ke dalam masjid. Ketika itu juga mata-mata tetamu memandangku. Perut aku rasa memulas sebab gemuruh. Jantung aku rasa berdegup dengan pantas tatkala mata kami berdua bertentang.
“Marilah kita mulakan sekarang. Tak elok melewatkan perkara yang baik.” Papa memberikan kata putus.
+++
“AKU terima nikahnya Ayana Fareeha binti Affan Rafisqi dengan mas kahwinnya 300 ringgit tunai.” Lafaz yang diucapkan uncle Ralph persetujui oleh saksi yang diyakini membuktikan bahawa saat ini aku telah sah menjadi seorang isteri.
Hik…hik…
Tiba-tiba hati aku terlintas saat ini kenapalah aku setuju nak kahwin dengan orang tua ni? Kenapalah aku beria sangat nak kahwin? Kenapa aku ni gatal sangat suka bercinta dan mempermainkan hati lelaki?
“Ayana…” kali ini suara mama pula yang menyedarkan aku. Anak mataku mencari riak wajah mama. Seraut wajah berusianya tersenyum kecil memandangku. “Jangan termenung. Ralph datang tu,” kata-kata mama membuatkan aku memandang ke arah lelaki yang baru saja menjadi suamiku. Dia dating ke arahku.
“Assalamualaikum,” katanya dengan lembut. Air mukanya juga nampak sangat segan. “Waalaikumussalam.” Aku menjawab. Kami berdua kekok. Ralph menggosok batang lehernya kerana suasana yang canggung.
YOU ARE READING
RALPH: His Bride
RomanceKATA Uncle Ralph... Lelaki sangat berbahaya kerana mereka seringkali cuba mengambil kesempatan ketika seorang perempuan terleka. Aku bercinta? Uncle Ralph kacau lelaki tu sampai aku putus. Aku kena ganggu? Uncle Ralph mengugut orang persis geng...