Ketika Nurin Aira di tingkatan satu...
SUASANA yang panas terik itu menyebabkan Nurin Aira memegang kepalanya dengan
kuat. Kepalanya sakit tiba-tiba. Dunia seakan-akan berpusing- pusing. Akibat tidak mampu menahan kesakitan, Nurin Aira menuju ke tempat duduk di perhentian bas. Ketika itu jam menunjukkan angka dua petang. Dia ingin menunggu bas untuk pulang ke rumahnya. Tanpa disedari, dia terlanggar seorang pelajar yang turut berada di situ.
"Hoiii... Kau apa hal?" marah budak itu lantas menuju ke arah Nurin Aira lalu menolaknya. Akibat tidak dapat mengimbangkan badan, Nurin Aira terjatuh. Kepalanya semakin berpusing.
"Dia saja ajelah tu langgar kau," kata Hannah lalu menuju ke arah Safi, perempuan yang dilanggar oleh Nurin Aira sebentar tadi. Tergedik-gedik Hannah berjalan. Hannah merupakan sepupu kepada Nurin Aira. Tetapi mereka tidak pernah berbaik sejak kecil. Ibu Hannah iaitu Mak Cik Hasnah seolah-olah melancarkan perang kepada Nurin Aira dan keluarganya.
Safi dan Hannah menuju ke arah Nurin Aira yang masih lagi tidak bangun daripada jatuhnya. Hannah mengambil beg sekolah Nurin Aira lalu membukanya. Mereka terus membuang segala isi yang ada di dalam beg sekolah Nurin Aira. Buku teks, buku latihan dan alat tulis berteraburan di atas jalan tar. Nurin Aira tergamam. Dia memandang tajam ke arah rakan sebayanya itu.
"Safi, Hannah!" jerit Nurin Aira. Sakit hatinya apabila melihat barang-barangnya dibuang. Nurin Aira terus bangun. Sakit kepalanya hilang sedikit demi sedikit. Barang- barang miliknya penting. Dia bukan anak orang kaya yang mampu untuk membeli apa saja. Alat tulis yang digunakan sekarang merupakan alat tulis tahun-tahun lepas.
"Kau tak puas hati ke?"
"Kau diam, Hannah." Jari telunjuk Nurin Aira tepat dihalakan ke arah Hannah. Nurin Aira tahu yang Hannah saja ingin menyakitkan hatinya. Dia terlanggar Safi, bukannya Hannah. Hannah aje yang lebih-lebih. Sama macam emaknya.
"Aku langgar Safi, bukannya kau. Jadi kau jangan menyibuk. Okey Safi, aku nak mintak maaf. Aku tak sengaja langgar kau tadi." Nurin Aira tidak mahu memanjangkan cerita. Tangan dihulurkan untuk bersalaman dengan Safi.
Safi menepis. Tidak semena-semena dia menampar pipi Nurin Aira.
Nurin Aira tergamam. Terkejut.
Seumur hidup Nurin Aira, ibu bapanya sendiri tidak pernah menampar dirinya. Ini kali pertama dia merasakan peritnya sebuah tamparan. Dia tahu yang Safi marah kepadanya bukan sahaja kes dia melanggar Safi tetapi ada kes lain. Nurin Aira melihat Safi menuju ke arahnya lalu menolaknya lagi sehingga dia jatuh di atas jalan raya.
Tiba-tiba terdapat sebuah kereta Waja menyusur ke arahnya. Nurin Aira tergamam. Dia tidak sempat bangun dari atas jalan raya tersebut. Sempat matanya menghala ke arah Sufi dan Hannah. Wajah mereka pucat. Nurin Aira hanya mampu memejamkan matanya sambil berdoa supaya dirinya selamat. Dia tidak mahu mati lagi. Masih banyak tanggungjawab yang belum diselesaikan.
YOU ARE READING
Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur Najihah
RomanceTajuk: Kerana Dia Manusia Biasa Penulis: Wan Nur Najihah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0567-80-8 Harga: RM29 (Semenanjung) // RM32 (Sabah & Sarawak Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.p2u.my @ Aplikasi Karyaseni Disebabkan kesilapa...