Bab 12

14.7K 65 1
                                    

TENGKU Shamil mundar-mandir di sekitar luar bilik pembedahan. Hatinya gundah-gulana. Dia tak sangka perkara buruk akan berlaku kepada Aisyah. Patutlah perangai Aisyah pelik sejak ke belakangan ini. Rupa-rupanya ini adalah petanda buruk akan menimpa isterinya.

Tengku Shamil terkilan kerana tidak dapat menolong menyelamatkan isterinya. Dia hanya mampu melihat kejadian tragis itu. Kakinya ketika itu seperti dikunci. Matanya hanya mampu melihat Aisyah bergelut dengan peragut.

Ketika itu dia, Aisyah dan tiga orang lagi pekerjanya sedang menunggu teksi di hadapan hotel yang mereka menginap untuk ke Marang. Mereka bersiap-siap ingin ke Pulau Redang. Isterinya kemudian meminta izin daripadanya untuk ke tandas.

Secara tiba-tiba, sebuah motosikal datang menghampiri Aisyah lalu pembonceng motosikal itu meragut beg tangan Aisyah dengan kasar. Aisyah melawan peragut itu dan mengakibatkan dia terjatuh dan dilanggar pula oleh sebuah kereta Proton Exora.

Tengku Shamil hanya melihat tanpa mampu berbuat apa-apa. Kejadian itu berlaku begitu pantas. Hanya air matanya yang mengalir ketika melihat keadaan Aisyah yang sudah nyawa-nyawa ikan.

Kejadian ragut tadi, benar-benar merupakan mimpi ngeri buatnya. Segalanya berlaku di hadapan mata dengan pantas. Dia tidak mahu mengingati kejadian itu. Apa yang diharapkan, supaya Aisyah selamat walaupun dia tahu harapan itu sangat tipis. Tengku Shamil pantas meraup wajahnya.

Suraya yang duduk di atas kerusi berhampiran dengan Tengku Shamil hanya mampu memandang sayu ke arah majikannya. Dia juga terkejut dengan kejadian ragut tadi. Dia ingatkan percutian mereka ke Pulau Redang akan selamat tanpa masalah. Rupa-rupanya ini yang berlaku. Sungguh tidak dia duga.

"Encik, saya nak pergi solat sekejap." Suraya meminta izin sambil diikuti Hamidatul dan Anira iaitu rakan sekerja Suraya yang turut mengikuti seminar di Terengganu.

Tengku Shamil hanya mengangguk. Dia tiada mood untuk melayan pekerjanya.

"Lepas solat nanti, awak semua baliklah semula ke hotel. Saya dah check in balik hotel tu. Awak semua mesti dah penat, kan? Nanti akan ada orang ambil awak. Awak tunggu aje kat lobi hospital." Tengku Shamil tahu pekerjanya penat menunggu dari pagi sampai petang di hospital itu. Dia sendiri juga penat, tapi dia tak mampu untuk berjauhan dengan Aisyah. Dia tak sanggup.

Suraya, Hamidatul dan Anira mengangguk serentak. Mereka memang penat dan belum menjamah apa-apa makanan sejak pagi tadi. Mereka hanya akur akan arahan majikannya.

"YA Allah. Betul ke ni, Su?" Nurin Aira menutup mulutnya. Dia betul-betul terkejut dengan berita yang baru disampaikan oleh Suraya itu.

"Haah, betullah. Pagi tadi lagi dia kena ragut. Tak tahu lagi macam mana keadaan Puan Aisyah sekarang. Dia ada kat hospital. Teruklah juga. Lepas kena ragut, kena langgar dengan kereta Exora. Kereta tu tak sempat nak brek." Suraya menceritakan kejadian ragut itu kepada Nurin Aira.

"Habis, kau ada kat mana sekarang ni?"

"Ada kat bilik hotel. Encik Shamil cakap, apa-apa dia akan call," ujar Suraya yang berada di tingkat enam hotel itu. Dia dan rakan-rakannya baru sahaja selesai makan di sekitar restoran di bandar Kuala Terengganu.

"Kau kenapa call aku? Alia demam ke?" tanya Suraya. Pelik apabila Nurin Aira menghubunginya.

"Em..." Nurin Aira berfikir-fikir. Perlu atau tidak dia meminta tolong Suraya? Hanya Suraya harapan terakhirnya. Permohonan pinjaman bank tidak diluluskan. Pembeli keretanya pula bersetuju untuk membeli keretanya dengan harga RM20,000. Itupun, pembeli itu mahu membayar secara ansuran. Suraya merupakan harapan terakhirnya.

"Kenapa Nurin? Kau ada masalah ke?"

"Su, boleh tak aku nak pinjam duit kau? Tapi kalau kau tak ada duit, tak apa." Nurin Aira sebenarnya malu untuk meminjam wang daripada Suraya. Nanti dia dikatakan mengambil kesempatan pula. Tapi dia terpaksa.

"Lah, nak pinjam duit ke. Tapi susah sangat kau nak cakap ni kenapa?"

"Aku takut kau tak bagi." Nurin Aira mengetap bibir. Terasa tebal 10 inci mukanya.

Suraya tergelak kecil.

"Kau nak pinjam berapa?"

"Tiga puluh ribu ringgit."

"Banyaknya. Kau nak buat apa duit sebanyak tu?" Suraya terkejut. Nurin Aira tidak pernah meminjam wang sebanyak itu daripada dirinya.

"Adalah, nanti aku cerita. Boleh tak aku nak pinjam?" Nurin Aira berharap Suraya sudi meminjamkan wang kepadanya.

"Okey. Kau nak bila?" Suraya membuat keputusan. Dia memang tiada masalah tentang kewangan. Duit simpanannya sudah mencecah puluhan ribu di bank. Sejak zaman persekolahan lagi, uminya akan memasukkan sejumlah wang ke dalam akaunnya.

Sehingga kini walaupun dia sudah bekerja, uminya masih lagi memasukkan wang ke dalam akaunnya. Jadi tak salah jika dia membantu orang yang dalam kesusahan.

"Kalau boleh secepat mungkin. Kau jangan risau, Su. Aku janji dengan kau, aku akan bayar balik duit kau. Kau jangan risau." Nurin Aira seperti ingin melompat kegembiraan. Tidak terkata gembiranya. Alhamdulillah, dia hanya perlu menuntut baki wangnya dengan pembeli kereta Myvinya. "Terima kasih ya, Su."

"Alah, kau tak payah risaulah. Kau nak bayar ke tak, aku tak kesah. Anggap aje hadiah daripada aku. Sekarang ini kau susah aku tolong, mana tahu esok lusa aku susah kau pula tolong aku, kan?" Ikhlas Suraya berbicara. Dia tidak mengharapkan Nurin Aira membayar balik wangnya.

"Terima kasih sangat-sangat, Su. Kaulah kawan aku dunia akhirat. Aku sayang kau." Hampir menitis air matanya. Terharu dengan kebaikan Suraya. Suraya memang kawan ketika senang dan susah. Terima kasih, kawan.

HAMPIR menjerit Aima apabila mendengar berita yang dibawa oleh Aiza. Pantas kedua-dua beradik itu memeluk emak mereka dengan erat. Akhirnya, kakaknya Nurin Aira mempunyai wang yang mencukupi untuk membiayai rawatan emak mereka. Air mata Aima menitis gembira.

"Alhamdulillah, mak. Mak akan sembuh," ucap Aima lalu mencium pipi kanan emaknya.

Mak Cik Halimah hanya mampu tersenyum gembira walaupun dalam hatinya musykil. Bagaimana Nurin Aira mampu mendapatkan duit sebanyak itu?

"Apa lagi yang kakak cakap kat Aiza?" tanya Mak Cik Halimah. Mana tahu, Nurin Aira memberitahu daripada mana datangnya wang itu.

"Kakak cakap, emak tak payah risau. Kakak pinjam duit kawan. Kakak janji akan bayar balik duit kawan dia itu." Aiza bercerita kembali perbualan dengan kakaknya sebentar tadi.

Mak Cik Halimah hanya mengangguk. Pasti Suraya yang memberi pinjam wang. Nurin Aira banyak bercerita tentang Suraya.

Di luar pintu bilik emaknya, Nazim tiba-tiba meraup wajahnya. Air matanya jatuh membasahi pipi. Dia jatuh terduduk di tepi bilik. Hari ini dia sudah melakukan kesilapan besar. Maafkan Azim, mak. Maafkan Azim.

Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur NajihahWhere stories live. Discover now