Bab 13

15.1K 72 0
                                    

DATUK TENGKU SHAH hanya mampu menggeleng melihat sikap anak keduanya yang berada di dalam bilik sambil memegang erat tangan Aisyah. Dia yang berada di sebalik cermin kaca hanya mampu berdiam diri.

Sayu hatinya melihat keadaan badan menantunya yang dipenuhi wayar. Anaknya itu langsung tidak mahu berenggang dengan isterinya sejak tiga hari yang lalu. Selepas sahaja mendapat panggilan daripada Tengku Shamil tiga hari lepas, dia, isteri, anak dan cucunya bergegas terbang ke Terengganu.

Doktor yang merawat menantunya menyatakan Aisyah mengalami pendarahan yang teruk di kepala akibat terhantuk benda keras. Tulang belakangnya juga retak akibat dilanggar oleh kereta. Aisyah tidak sedarkan diri sejak tiga hari yang lepas.

"Atuk, mama kenapa?" panggil cucu sulungnya, Tengku Ahmad Danish sambil menangis.

Pantas Datuk Tengku Shah mendukung cucu sulungnya. Dia sedih melihat keadaan cucu sulungnya yang sejak semalam asyik bertanyakan keadaan mamanya.

"Mama tak apa-apa, sayang."

"Kenapa papa asyik menangis, atuk?"

Datuk Tengku Shah tidak tahu bagaimana untuk menjawab soalan cucunya. Dia mengesat air mata yang mengalir di pipi cucunya.

"Danish dah makan ke belum?" Datuk Tengku Shah merubah topik. Danish tidak akan faham keadaan mamanya. Tangannya membetulkan rambut Danish yang agak panjang ke hadapan.

"Belum. Atuk, jom pergi makan. Danish lapar."

Belum sempat Datuk Tengku Shah menjawab, tiba-tiba dia berpusing apabila mendengar namanya dipanggil.

"Papa, macam mana keadaan Kak Aisyah? Dah ada perkembangan ke belum?" Zarul terus bertanya kepada papanya. Dia baru sahaja sampai ke hospital dengan mamanya setelah semalaman dia menjaga abang dan kakak iparnya.

"Macam itulah, Zarul. Tiada perkembangan. Abang kau tu sejak Kak Aisyah kena ragut sampai sekarang tak makan lagi. Risau papa tengok. Duk menangis aje." Mata Datuk Tengku Shah dihalakan ke arah Tengku Shamil yang masih lagi setia di sisi Aisyah.

Zarul terus mengambil Danish yang berada di dalam dukungan papanya.

"Daddy, Danish laparlah," adu Danish kepada Zarul yang dipanggil daddy.

"Nanti daddy bawa pergi makan, ya?" Zarul mengusap perlahan rambut panjang Danish yang hampir menutup mata itu.

"Abang, jomlah kita pergi makan dulu. Kesian Danish ni tak makan lagi. Som dengan Zarul pun tak makan lagi. Dania dengan Mah dah ada kat bawah, tengah makan." Datin Nur Kalsom mengajak suaminya makan. Teringat dia akan pembantu rumah dan cucu perempuannya yang ditinggalkan di kantin hospital sebentar tadi.

SURAYA mengetap bibirnya. Geram. Patutlah Myvi ungu milik Nurin Aira tidak kelihatan di rumah sejak dia pulang beberapa hari lepas. Ada juga dia bertanya ke mana perginya kereta Myvi Nurin Aira namun wanita itu hanya berdiam diri.

Nurin Aira langsung tidak menjawab pertanyaannya. Rupa-rupanya, Nurin Aira telah menjual kereta kesayangannya untuk mendapatkan wang bagi membiayai penyakit emaknya. Nurin... Nurin, kenapa kau tak cakap kat aku kau ada masalah? keluh hati Suraya.

Kadang-kadang dia sakit hati dengan perangai Nurin Aira yang kuat berahsia. Apa salahnya meluahkan kepada dia? Kalau dia boleh bantu, dia akan bantu. Kalau tidak pun, dia boleh menjadi pendengar setia. Sekurang-kurangnya, beban tu hilanglah sikit walaupun tak banyak.

Hari ini dia memaksa mahu menghantar Nurin Aira pergi bekerja. Nurin Aira menegah tapi Suraya tak sampai hati melihat Nurin Aira menaiki teksi ke tempat kerja. Walaupun tempat kerja mereka berjauhan, Suraya ikhlas menghantar Nurin Aira.

Dia mengetahui kereta Nurin Aira dijual ketika ingin ke Hotel Seri Muslim milik keluarganya untuk berjumpa uminya. Alangkah terkejutnya dia mendapati salah seorang kakitangan di sana menaiki kereta Nurin Aira. Pantas dia menghalang perbuatan wanita itu. Wanita itu menceritakan segala-galanya kepada dia. Sah, itu memang kereta Nurin Aira.

"Su," sergah Hamidatul sambil tersengih-sengih. Jauh Suraya berangan!

Suraya mengurut dadanya perlahan-lahan. Terkejut!

"Ada apa?" Malas-malas Suraya bertanya. Minah ini, kalau sehari tak bertenggek kat mejanya memang tak sah.

"Janganlah marah. Aku dengar esok bos akan bawa Puan Aisyah pulang ke sini. Dia nak Puan Aisyah dirawat kat hospital di KL ini. Lagipun, kesian mereka tu kat Terengganu, bukannya ada siapa-siapa." Hamidatul memberitahu kepada Suraya. Pagi tadi sempat dia berborak dengan Zarul bertanya khabar Aisyah.

Suraya hanya diam. Tiada menunjukkan apa-apa reaksi. Aisyah masih tidak sedarkan diri lagi daripada koma sejak beberapa hari yang lepas.

"Kenapa kau diam?"

"Kau nak aku gelak ke?" Sinis Suraya bertanya.

"Hehehe... Tak adalah."

"Aku cuma harap Puan Aisyah akan sembuh dengan cepat. Kau sendiri tengok kan macam mana kejadian tu? Kejadian tu berlaku depan mata kita semua. Tak kesahlah, Puan Aisyah nak dirawat kat hospital mana. Yang penting kita kena doa untuk dia," ujar Suraya. Fikirannya teringatkan peristiwa beberapa hari yang lepas. Sungguh menakutkan apabila diingat kembali. Makin kejam manusia zaman sekarang.

"Haahlah. Aku pun harap macam tu juga."

"Kau tunggu apa lagi? Baliklah tempat kau. Enjoylah kau, mentang-mentang bos tak ada." Suraya menggeleng melihat tingkah Hamidatul.

NURIN AIRA melebarkan senyumannya. Cutinya sudah diluluskan oleh Syed Ilham. Baik juga majikannya. Dia hanya meminta cuti selama tiga hari untuk pulang ke Kampung Kuala Ibai tetapi Syed Ilham memberinya cuti selama seminggu. Ini kalau pekerja lain dengar aku dapat cuti seminggu, memang cemburulah mereka, bisik hatinya.

Dia ingin pulang ke kampung untuk bersama-sama menjaga emaknya. Beberapa hari lagi, Mak Cik Halimah akan menjalani pembedahan. Dia berharap emaknya akan selamat. Sebagai anak dia mahu berada di samping emaknya setiap masa.

Nurin Aira pantas menekan punat lif untuk turun ke bawah. Pasti Suraya sudah menunggu dirinya. Walaupun mereka bersahabat baik, dia tetap berasa segan setiap kali Suraya ingin mengambil dan menghantarnya. Ketika berada di dalam lif, beberapa kali matanya melihat jam di tangan. Sudah lambat. Pasti Suraya sudah lama menunggunya.

"Hoi, mak engkau!" Nurin Aira melatah. Dia terlanggar bahu seseorang sebaik saja ingin keluar dari perut lif.

"Nurin?" Lelaki itu memanggil Nurin Aira.

Langkah Nurin Aira terhenti apabila namanya dipanggil. Dia mengamati wajah lelaki di hadapannya betul-betul. Lelaki itu hanya tersenyum manis. Macam pernah tengok. Dr. Haikal?

"Ingat saya lagi tak?" tanya lelaki itu.

Matanya merenung gadis di hadapannya. Semakin cantik. Wajahnya nampak lembut dan bersih. Sesuai sekali dengan baju kurung moden berwarna kuning yang dipakainya.

"Ingat... Ingat. Doktor Haikal apa khabar?" Nurin Aira tersenyum mesra ke arah lelaki di hadapannya. Sudah beberapa tahun dia tidak menatap wajah pensyarah kegemarannya. Makin kacak.

"Saya sihat. Nurin apa khabar? Buat apa kat sini?" Laju sahaja pensyarah muda itu bertanya. Tak sangka dia dapat berjumpa semula dengan bekas pelajarnya.

Nurin Aira tersenyum sehingga menampakkan lesung pipitnya. "Saya sentiasa sihat Doktor Haikal, saya kerja kat sini." Kecil betul dunia sehinggakan mereka boleh berjumpa di sini. Mereka berbual-bual mesra seketika sehingga Nurin Aira terlupa akan Suraya yang sedang menunggu dirinya.

"Oh, cakap pasal Suraya. Tadi masa nak masuk ke sini saya ada jumpa dia."

Gulp...

Dahi yang tidak bersalah ditepuk beberapa kali. Macam mana aku boleh lupa akan Suraya?

"Suraya? Ya Allah... Doktor Haikal, saya kena balik sekarang. Mesti Suraya dah tunggu saya. Saya dah lambat ni. Assalamualaikum," ujar Nurin Aira tergesa-gesa. Jangan Suraya naik angin kena tunggu aku lama-lama sudahlah. Kuat betul penangan Dr. Haikal sampai Nurin Aira boleh lupakan Suraya.

Dr. Haikal menjawab salam dalam hati. Tersenyum kecil dia dengan telatah spontan Nurin Aira. Tidak berubah-ubah perangai. Hatinya berbunga-bunga.

Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur NajihahWhere stories live. Discover now