NURIN AIRA melangkah masuk ke dalam pejabat dengan tergesa-gesa. Hari ini dia lambat lagi. Sudah dua hari dia lambat semenjak ketiadaan Suraya di rumah. Dia terlupa untuk mengunci jam loceng miliknya. Di skrin telefon, ada beberapa panggilan daripada Suraya yang tidak dijawab olehnya. Orang tidur, manalah nak sedar bunyi telefon.
Nasib baik Suraya cerdik. Dia pergi menelefon telefon rumah berkali-kali. Alia yang terjaga mengangkat panggilan itu lalu mengejutkan Nurin Aira daripada tidur. Fuhhh... Mujur ada Alia.
Ketika itu jam sudah menunjukkan angka tujuh sepuluh minit pagi. Kelam-kabut dia dibuatnya. Nurin Aira hanya sempat menyediakan roti bakar untuk Alia. Mujur, Alia tidak cerewet. Apa sahaja yang dia masak, pasti akan dimakan. Tidak pernah merungut.
Nurin Aira menarik nafas lega sebaik sahaja sampai ke biliknya. Tak sia-sia dia memecut Myvi ungunya. Apa yang diharapkan, sepanjang perjalanan ke biliknya dia tidak akan terserempak dengan Syed Ilham. Kalau tidak, memang teruk dia kena leter.
"Alhamdulillah, selamat aku. Tak payah dengar mamat tu berleter pagi-pagi buta macam ni. Mamat tu, kalau berleter memang mengalahkan nenek tua. Benda yang tak ada kena-mengena pun boleh masuk dalam ceramahnya. Pot pet, pot pet mulut dia. Tak penat ke asyik cakap?" Nurin Aira menundukkan badannya untuk mengurut kaki yang terasa sedikit sengal akibat berjalan laju tadi. Mulutnya masih setia mengutuk majikannya.
Nurin Aira tersengih sebaik mengangkat tubuhnya. Alamak, kantoi! Bila masa pula dia masuk? Aku tak perasan pun. Nurin Aira terkejut apabila melihat kelibat majikannya, Syed Ilham sudah pun berada di hadapannya. Segak lelaki itu mengenakan kemeja ungu yang dilipat paras siku. Ungu??? Nurin Aira melirik ke tubuhnya. Haah, samalah warna baju kita.
"Dah habis?" Syed Ilham merenung wajah wanita di hadapannya lalu menarik kerusi dan terus duduk.
Dah habis apa? Memang dia selalu bagi ceramah kalau aku datang lambat. Tapi yang hairannya, staf lain datang lambat okey aje. Tak ada pula dia nak bebel. Tak adil betul. Dahlah main duduk aje. Siapa bagi kebenaran entah? Tahulah ini syarikat bapak dia, bebel hati Nurin Aira.
"Dah, encik. Saya dah hantar laporan itu atas meja encik sebelum saya balik semalam. Takkan encik tak jumpa?" Lurus Nurin Aira menjawab.
Syed Ilham merenung tajam ke arah wanita itu. Dia ni, tak faham ke saja buat tak faham? Boleh pagi-pagi hari, dia duk mengata aku. Di depan aku pula tu. Ni mesti kes tak puas hati lagi ni. Semalam datang lambat, hari ini lagilah dia datang lambat. Balas dendam ke apa? omel hatinya.
"Encik." Nurin Aira mendengus geram. Boleh dia berangan di depan aku? Janganlah dia suruh aku balik lambat hari ini. Kesian Alia duk rumah jiran sorang-sorang.
"Oh, sorry. Saya tanya benda lain, benda lain yang awak jawab, ya?"
"Haah." Nurin Aira menjawab tanpa mengetahui maksud pertanyaan Syed Ilham.
Terjegil biji mata Syed Ilham.
"Awal kan awak datang hari ini? Dahlah awak datang awal, sempat lagi awak mengata saya." Syed Ilham menyindir Nurin Aira. Nak main-main sangat, kan?
"Saya minta maaf, encik."
"Selain perkataan ini, apalagi yang boleh awak cakapkan? Saya dah muak dengar." Tegas suara Syed Ilham kedengaran.
"Sorry, encik... Eh, tak... Tak." Nurin Aira pantas menekup mulutnya. Tersasul pula. Gerun dia melihat renungan tajam mata Syed Ilham. Pantas dia menundukkan wajahnya.
Syed Ilham menggeleng. Tanpa disedari, bibirnya mengukir senyuman kecil. Kelakar dengan tingkah Nurin Aira.
Tiba-tiba hatinya bergetar hebat apabila matanya jatuh ke muka bersih Nurin Aira yang masih menunduk. Cantik. Tak senang duduk dia dengan keadaan seperti itu. Apa kena dengan aku ni? bentak hati Syed Ilham.
YOU ARE READING
Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur Najihah
RomanceTajuk: Kerana Dia Manusia Biasa Penulis: Wan Nur Najihah Penerbit: Penulisan2u ISBN: 978-967-0567-80-8 Harga: RM29 (Semenanjung) // RM32 (Sabah & Sarawak Diskaun : RM3 Postage : Percuma Cara Beli : www.p2u.my @ Aplikasi Karyaseni Disebabkan kesilapa...