Bab 10

14.9K 65 0
                                    

NAZIM melangkah masuk ke dalam rumah dalam keadaan longlai. Keadaan rumah ketika itu sunyi sepi. Aima dan Aiza pula ke sekolah. Emaknya entah ke mana menghilang. Ada di dalam bilik tidurnya atau di dapur agaknya.

Sudah seminggu berlalu selepas perkhabaran tentang penyakit emaknya, namun dia masih tidak mampu untuk berbuat apa-apa. Segala usaha yang dilakukan olehnya sia-sia belaka. Semuanya tidak membuahkan hasil. Nurin Aira juga tidak memberi sebarang perkhabaran berita.

Apa yang dicakapkan oleh kakaknya itu hanya; tengah berusaha. Sampai bila? Sampai ibunya menghembuskan nafas atau ketika ibunya dalam keadaan yang kritikal? Ya Allah... Sekarang ini masa sangat berharga. Masa sangat penting.

Nyawa emaknya sebagai taruhan. Dia harus cepat bertindak demi nyawa emaknya. Tapi apa yang perlu dilakukan olehnya? Dia buntu. Segala usaha telah dilakukan.

"Aku kena buat apa sahaja. Ya, apa sahaja untuk emak. Apapun risikonya, aku kena hadapi. Janji nyawa emak selamat. Ya Allah, maafkan hamba-Mu ini, Ya Allah. Aku terpaksa mengambil jalan singkat demi nyawa wanita yang melahirkan aku. Aku terpaksa, Ya Allah." Pantas Nazim meraup muka dengan kedua-dua belah tangannya.

Emak, Azim minta maaf kalau sekali lagi Azim kecewakan mak. Apa yang Azim buat ini hanya untuk mak. Azim minta maaf, mak. Azim terpaksa mungkir janji, bisik hatinya hiba. Air mata lelakinya mula merembes keluar.

"Awal kau balik, Nazim?" tegur Mak Cik Halimah. Wajahnya agak pucat. Badannya sudah mula kurus.

Pantas Nazim berpaling menghadap wajah wanita kesayangannya. Tangannya terus mengesat air mata yang jatuh. Dia tidak mahu emaknya perasan akan kesedihan hatinya.

"Kau dah makan belum? Mak ada simpan lauk untuk kau. Pergilah makan. Tadi kau keluar awal sangat sampai tak sempat makan." Mak Cik Halimah mengatur langkah menuju ke arah Nazim yang sedang duduk di tepi tangga.

"Nantilah Azim makan. Tak lapar lagi. Mak sihat tak hari ini?" Terus Nazim merebahkan kepalanya di atas paha Mak Cik Halimah. Sudah lama dia tidak berbuat begitu. Rindu rasanya. Dicapai tangan wanita itu lalu diciumnya bertalu-talu. Wanita yang sanggup menerima kembali dirinya setelah hanyut seketika. Hanyut dengan kegembiraan duniawi.

Mak Cik Halimah hanya membiarkan. Tangannya mengusap lembut rambut satu-satu anak lelakinya. Anak lelaki yang diharapkan menjadi tunggak keluarga, menjadi pelindung keluarga pada masa hadapan. Anak yang pernah hanyut suatu masa dahulu.

Dia tidak sesekali menyalahkan Nazim kerana baginya setiap manusia pasti akan melakukan kesilapan. Semua insan yang bergelar manusia tidak sempurna. Pasti akan ada kesalahan yang dibuat.

"Azim... Bila mak tiada nanti, kau janji dengan mak jaga kakak dan adik-adik kau, ya?"

Nazim terus bangun daripada perbaringannya. Terkejut!

"Mak... Kenapa mak cakap macam ni? Mak akan sihat. Azim sayang kat mak." Nazim menggenggam erat tangan wanita itu. Hatinya sebak. Dia ingin berbakti dahulu kepada keluarganya. Dia pernah membuat wanita ini kecewa, wanita ini menangis.

"Azim, mak pun sayangkan semua anak-anak mak. Aira, kau, Aima, Aiza... Semua mak sayang. Apa pun yang kau buat kat mak dulu, dah lama mak ampunkan. Kau manusia biasa, nak. Semua cemuhan orang kampung mak dah lali dengar. Dah tak bagi apa-apa kesan pun kepada mak." Lirih Mak Cik Halimah berbicara. Memang dia kecewa dengan perbuatan anaknya, tapi naluri seorang ibu pasti lembut untuk memaafkan anaknya. Anak yang dikandung sembilan bulan sepuluh hari.

"Mak, janganlah cakap macam tu lagi. Azim tak sanggup dengar." Pantas dipeluk erat tubuh wanita itu. Dia menangis seperti anak kecil. Biarlah, janji dia tidak kehilangan emaknya. Dia terlalu sayangkan emaknya. Dia sanggup melakukan apa sahaja demi wanita ini. Ya, apa sahaja.

Mak Cik Halimah mengusap-usap belakang badan anak lelakinya. Dia reda andai nyawanya akan diambil. Dia sudah memaafkan segala kesalahan anak-anaknya. Dia bahagia hidup di samping anak-anaknya selama ini.

NURIN AIRA membantu Suraya memasukkan bajunya ke dalam beg roda. Esok, Suraya akan berangkat ke Terengganu untuk menghadiri seminar. Maknanya mulai esok dia dan Alia akan duduk berdua di rumah teres dua tingkat itu.

Takut juga dia apabila memikirkan tentang itu. Maklumlah, sekarang jenayah boleh berlaku di mana-mana. Di dalam rumah sendiri pun, tak mustahil boleh berlaku.

"Kau tak tahu lagi ke berapa hari nak duduk kat Terengganu?" Nurin Aira bertanya sambil melipat pakaian Suraya. Alia yang berada di atas katil Suraya hanya menumpukan perhatian pada iPad milik Suraya.

"Seminar tu cuma tiga hari dua malam. Tapi bos aku nak pergi bercuti kat Pulau Redang. Rasanya tak lama kut. Isterinya yang nak pergi sangat, dengan pekerja-pekerja dia angkut sekali. Dia cakap, dia belanja," ujar Suraya.

Sebenarnya, dia pun teruja untuk ke sana. Semasa kecil dulu dia pernah sampai ke Pulau Redang, antara pulau yang tercantik di Malaysia itu. Mesti dah banyak perubahan sekarang.

"Kau tak rasa kau menyibuk ke? Dia orang suami isteri tak apalah. Yang kau nak join sekali itu apa pasal? Tak ganggu dia orang ke?" Nurin Aira pelik. Baiknya bos Si Suraya ni. Nak pergi bercuti dengan isteri tapi bawa pekerja. Tak pernah dibuat orang.

"Hehehe... Mula-mula aku pun rasa macam tu. Manalah tau dia orang nak berbulan madu ke? Tapi bos aku yang beria-ia ajak. Puan Aisyah tu pun sokong. Lagipun, ada dua orang lagi pekerja yang ikut. Alah, apa orang tua-tua cakap tu... Hah, rezeki jangan ditolak." Suraya ketawa besar. Orang nak belanja, ambil ajelah. Kalau tidak, bila lagi? Nurin Aira hanya tergelak kecil.

Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur NajihahWhere stories live. Discover now