Bab 14

15.8K 72 1
                                    

NURIN AIRA memandang laut yang terbentang di hadapannya dengan bermacam-macam perasaan. Hatinya sangat tenang kini. Pembedahan emaknya sudah berjaya. Ketika itu, hanya air mata yang mampu keluar sebagai tanda kegembiraan dan kesyukuran.

Hatinya lega seolah-olah apa yang dilakukan olehnya berbaloi. Emaknya ada bertanya kenapa dia dan Alia pulang menaiki bas tapi Nurin Aira hanya senyap. Belum sampai masanya lagi untuk bercerita tentang perkara sebenar.

Petang ini, dia dan adik-adiknya ke pantai di Lagun Kuala Ibai. Alia yang beria-ia ingin ke pantai. Emaknya dijaga oleh adik lelakinya, Nazim di Hospital Sultanah Nur Zahirah. Hanya menunggu masa untuk dibawa pulang.

"Kakak," panggil Aima lantas melabuhkan punggungnya di sebelah kakaknya. Dia meninggalkan Aiza yang sedang bermain dengan Alia.

"Ada apa?" Nurin Aira tersenyum manis melihat adik ketiganya.

Aima diam. Matanya masih leka melihat gelagat Alia yang berkejar-kejaran dengan Aiza. Dia ingin bertanyakan sesuatu tetapi takut kakak sulungnya marah. Semenjak kakaknya pulang beberapa hari lepas, Mak Cik Hasnah tidak habis-habis mahu memfitnah kakaknya lagi. Kakaknya dikatakan mengandung anak luar nikah iaitu Alia. Emaknya sudah menceritakan perkara sebenar tetapi cerita itu dikatakan rekaan semata-mata.

"Aima nak tanya pasal Alia ke?" Nurin Aira meneka.

Lambat-lambat Aima mengangguk.

"Huh... Akak kalau boleh tak nak dengar dah cerita pasal Alia ni. Akak tak kesah orang nak cakap apa pun. Janji akak tahu siapa Alia." Nurin Aira meluahkan perasaannya. Dia sangat sayangkan Alia sehingga untuk meninggalkan Alia kepada Suraya sebentar pun dia tidak sanggup.

"Kak Nora mana, kak?"

Tersentap seketika Nurin Aira apabila mendengar nama itu. Kini, jika Nora ingin mengambil Alia daripadanya pun, dia tidak akan benarkan. Dia sanggup melakukan apa sahaja untuk mempertahankan Alia.

Nurin Aira tersenyum sinis. "Entah, akak pun tak tahu. Masalah dia tak selesai lagi kut. Lepas dia serah Alia kat akak, akak dah tak dengar apa-apa berita pasal dia. Entah-entah dia dah tak ingat kat anak dia."

"Akak tak tahu dia pergi mana?"

"Tak."

"Akak, apa kata kita pergi rumah keluarga Kak Nora? Akak mesti kenal, kan? Alah, bukannya jauh sangat. Kat Bukit Payung aje. Mesti keluarga dia tahu kat mana dia sekarang."

Nurin Aira tersenyum. Betul juga idea Aima tu. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Wajahnya kembali muram.

"Kenapa kak?"

"Akak tak boleh pergi. Akak dah janji dengan Kak Nora." Nurin Aira bersuara.

"Janji apa?"

Nurin Aira memandang wajah Aima. Dia lebih rapat dengan Aima berbanding Aiza.

"Akak tak boleh pergi rumah keluarga dia. Keluarga Kak Nora juga tak boleh tahu tentang kewujudan Alia. Lagipun, keluarga dia kan dah berhijrah ke Melaka. Mak Kak Nora kena tukar kat sana. Mak dia kan cikgu."

"Apa?" Hampir terjegil biji matanya. Jadi selama ini keluarga Kak Nora tak tahu tentang Alia? bisik hati Aima.

"Aima, tak payahlah cakap benda ini. Kak Nora kalau sayang kat anak dia, pandai-pandailah dia cari akak balik. Pergi panggil Aiza dan Alia. Kita balik. Nanti nak pergi tengok mak lagi," suruh Nurin Aira lalu dia bangun. Dia menyapu-nyapu pasir pantai yang melekat di skirt labuh berwarna coklat yang dipakainya.

"KAU kenapa, Hannah?" Nurin Aira menegur Hannah yang menghalang laluannya. Tayar motosikal Hannah hampir terkena kakinya.

Hannah terus turun dari motornya. Dia berdiri betul-betul di hadapan gadis yang memakai skirt labuh berwarna coklat, baju T lengan panjang yang sedondon dengan skirt dan tudungnya.

"Dah pandai kau bergaya sekarang ni, kan?" sindir Hannah. Meluat dia melihat perempuan di depannya ini. Pakai apapun mesti cantik. Huh...

Nurin Aira hanya diam, dia malas nak menjawab sindiran Hannah. Hannah memang sentiasa tidak puas hati dengan dirinya. Aiza yang mendengar sindiran itu terus menjawab. Dia pantang orang mengata kakaknya.

"Haah, memang kakak pandai bergaya pun. Nama pun akauntan, kerja kat KL. Ada orang tu setakat nak bergaya pun, bergaya kat kampung ajelah. Bagi kambing tengok. Tak boleh nak pergi mana-mana. SPM pun tak lepas," sindir Aiza. Gadis itu kuat menjawab orangnya terutama sekali dengan Hannah.

"Kau diam, Aiza!" Jari telunjuknya dihalakan ke arah Aiza.

"Hannah, kau nak apa? Aku nak balik ni."

"Kau ni kan Aira, memang muka tak malu, ya? Dah kau buat malu kat kampung ni, berani pula kau balik sini. Siap bawa budak ini lagi." Hannah menunjal kepala Alia. Terjegil biji mata Nurin Aira. Aku sendiri tak pernah tunjal kepala anak aku, bentak hatinya.

"Macam inilah, Hannah. Kau nak cakap apa, kau cakap aje. Aku tak kesah. Aku kenal perangai kau! Jadi aku anggap aje yang kau ni cemburu melihat aku," sinis Nurin Aira membalas kata-kata Hannah.

Hannah mengetap bibirnya. Geram. Sudah berani menjawab.

"Haah, akak. Dia ini memang jealous aje dengan akak. Dulu akak beli kereta pun, dia pergi cakap kat orang kampung akak sewa kereta. Padahal dia dengki dengan akak. Akak dah pakai kereta, dia masih dengan motor cabuk dia ni. Hahaha..." Aiza ketawa kuat. Nurin Aira dan Nurin Aima hanya tersengih.

"Jom akak, kita balik. Layan dia memang takkan sudah," ajak Aima yang sedari tadi hanya berdiam diri. Hannah dan Aiza kalau berperang mulut, mesti Aiza akan menang.

"Aku balik dulu. Kau jaga diri baik-baik. Assalamualaikum," ucap Nurin Aira. Sejahat mana pun Hannah, mereka tetap sepupu. Itu fakta yang tak dapat diubah lagi.

"AKU baru aje balik kerja," ucap Suraya lalu merebahkan dirinya ke atas katil bersaiz king di dalam biliknya. Sejak Nurin Aira dan Alia pulang ke kampung, dia tinggal di rumah keluarganya di Bukit Kiara.

"Awalnya kau balik." Nurin Aira melirik jam di tangannya. Baru pukul empat sepuluh minit petang.

Suraya bangun lalu menuju ke balkoni biliknya yang terletak di tingkat tiga.

"Dah tak ada kerja nak buat. Bos pun tak masuk. Aku pun balik ajelah."

"Kau buat macam syarikat walid kau pula, ya? Nak balik pukul berapa pun, ikut suka hati," sindir Nurin Aira.

"Kalau syarikat walid aku, memang hari-hari aku balik awal. Tu sebab aku tak nak kerja kat syarikat walid aku atau kat hotel umi aku. Nanti tak pasal-pasal mereka jatuh bankrap... Hehehe." Tapi itu hanya alasan rekaannya untuk tidak bekerja di syarikat atau hotel uminya. Hakikat sebenarnya Suraya mahu berdikari.

"Mak kau macam mana? Dah okey belum?"

"Dah. Mak aku nak balik tapi doktor tak benarkan. Doktor cakap tunggu dua tiga hari lagi. Tengok pada keadaan. Mak aku makin pulih."

"Alhamdulillah. Yang penting mak kau selamat. Alia macam mana?" Rindu hatinya tidak berjumpa Alia beberapa hari.

"Alia okey. Dia ada kat rumah, adik aku jaga. Su, macam mana keadaan Puan Aisyah?" Tiba-tiba dia ingin mengetahui tentang keadaan isteri majikan rakannya itu. Dia pun pelik. Mereka bukannya ada apa-apa hubungan pun. Ah... Janji mereka pernah kenal.

Suraya mengeluh.

"Semalam aku pergi tengok dia. Tiada apa-apa perubahan. Tetap macam tu. Makin teruk adalah. Dah macam mayat hidup." Sebak Suraya melihat keadaan Aisyah yang kurus kelmarin. Rasa tidak percaya, itu ialah Aisyah yang dikenalinya.

Nurin Aira mengucap panjang. Tak sangka nasib Aisyah seperti itu. Entah kenapa dia teringin untuk melawat wanita itu sebaik sahaja pulang ke Kuala Lumpur nanti. Nama wanita itu juga sering bermain-main dalam fikirannya. Pelik dia dibuatnya.

Apabila melihat wajah ayu itu suatu ketika dulu, dia dapat melihat wajah seseorang dalam diri wanita bernama Nur Aisyah. Tapi mungkin itu perasaannya sahaja. Sebagai insan yang mempunyai hati dan perasaan, dia turut bersimpati dengan isteri majikan Suraya. Harapannya semoga wanita itu cepat sembuh.

Kerana Dia Manusia Biasa- Wan Nur NajihahWhere stories live. Discover now