LISA menguap lagi. Masuk kali ini sudah lebih 10 kali dia menguap. Semasa datang ke ofis tadi pun dia masih mamai-mamai lagi. Mujurlah Suhaila yang memandu kereta. Kalau dia yang kena memandu, pasti dia akan memandu dengan mata sebelah tertutup.
Dia terlampau mengantuk pagi ini. Semuanya gara-gara terpaksa bekerja memerah otak sehingga awal pagi memikirkan homework yang bosnya berikan tempoh hari. Ini bukan sesi memerah otak tapi sudah jadi sesi mendera otak.
Sepanjang dia menjadi penulis pun belum pernah lagi dia menggunakan otaknya sehingga tahap ini. Sebenarnya dia langsung tidak dapat memikirkannya langsung. Kalau boleh memang dia tidak mahu datang kerja. Pagi tadi jejak sahaja ke ofis pun menggigil kakinya. Seram sejuk juga badannya. Tapi apa boleh buat, bos sudah bagi warning awal-awal. Jangan mengada-ngada nak ambil cuti sakit!
Tak sangka, bos bukan sahaja psiko tapi ahli nujum juga. Tahu sahaja apa yang difikirkannya. Hari ini, kalau kena marah dengan bos, reda sajalah.
Lisa menguap besar lagi.
"Amboi, besarnya mulut!" tegur Kak Wahida yang dari tadi asyik memerhati. "Tak tidur ke malam tadi?"
"Tak," jawab Lisa. Dia menguap lagi dan berharap dapat tidur sebentar. Harap-harap bosnya masuk lambat hari ini.
"Kenapa? Lisa buat apa malam tadi sampai tak boleh tidur?" Kak Wahida bertanya lagi. Sudah macam polis pula lagaknya.
"Macam mana saya nak tidur kalau bos tu..." Cepat-cepat Lisa tutup mulut.
Alamak! Hampir terlepas cakap! Lisa tersenyum-senyum. Spontan saja Kak Wahida membalas senyuman Lisa. Macam sudah tahu-tahu saja. Hisy, ini macam mahu bagi diri sendiri masuk kandang harimau aje! Matilah kalau hal begini tersebar. Bos mesti jadi harimau dan terkamnya tanpa berperikemanusiaan. Hal sebegini sudah jadi rahsia. Tiada sesiapa pun yang patut tahu.
"Haa..." Kak Wahida tersenyum-senyum lagi.
"Tak! Tak ada apa-apalah. Kak Wahida jangan fikir yang bukan-bukan!" Lisa menafikannya terus. Kak Wahida mesti menganggap dia dengan bos memang ada apa-apa hubungan yang serius.
"Ya ke?" Kak Wahida mula menyakat.
"Betul! Mana ada apa-apa." Lisa terus menafikannya.
Kalau memang betul dia dengan bos ada hubungan, gerenti dia datang ofis dengan hati yang berbunga-bunga. Bukannya seram sejuk begini.
"Habis tu sebab apa?"
"Yang sebenarnya... saya kena marah dengan bos lagi sebab tersilap atur jadual..." bohong Lisa. Harap-harap Kak Wahida percaya.
"Takkan sebab tu Lisa tak boleh tidur malam?"
"Memang tak boleh. Tiap kali nak tidur saja mesti ternyiang-nyiang maki hamun bos." Lisa meneruskan penipuannya. Bagi sampai Kak Wahida percaya!
"Lain kali berhati-hatilah."
Yes! Kak Wahida percaya.
"Okey, lepas ni saya akan lebih berhati..." Lidah Lisa terus kelu apabila melihat kelibat bos melangkah masuk. Dia bagaikan terkena renjatan elektrik apabila melihat bosnya itu.
Habis! Masak! Apasal bos datang awal sangat hari ini?
Lisa semakin menggelabah. Spontan sahaja dia bangun dari duduknya dan terus bersembunyi duduk di bawah meja.
"Lisa, awak ingat saya tak nampak awak ke tadi?" Suara bos menegurnya.
Lisa terus duduk diam di bawah meja. Lagi kecut perutnya apabila mendengar suara bosnya itu. Ah, lantaklah! Bos nampak atau tidak, yang penting dia belum bersedia hendak bersemuka dengan bos lagi. Boleh jadi stres. Bila dia stres, langsung terbantut otaknya mahu menyelesaikan masalah bos ini.
YOU ARE READING
PLOT CINTA UNTUK BIG BOSS
RomanceWARNING! INI HANYA PROMO. Yang tertulis di sini hanya setakat BAB 35 sahaja. Novel ini telah diterbitkan pada bulan Jun 2016 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. PEMBELIAN ONLINE: Emelkan kepada order@fajarnovels.com.my ******* SINOPSIS Ini bukan cerita...