SELEPAS menghabiskan masa di taman rekreasi hampir dua jam, Lisa mengikut mereka pergi sarapan di sebuah kedai. Duduk sahaja di sebuah meja kosong, seorang pelayan datang untuk mengambil pesanan.
"Saya nak nasi lemak dan teh tarik!" kata Lisa.
"Bagi dia roti kaya dan air kosong saja," ujar Zul Zafri pula kepada pelayan itu.
"Hah?" Lisa terkejut. Roti kaya? Air kosong? Automatik perutnya memberontak. Belum makan lagi perutnya sudah tahu, mana cukup semua itu!
"Bos..." Lisa buat muka sedih.
Ini sudah lebih. Sudahlah awal-awal pagi dipaksa pergi joging. Dua pusingan joging keliling tasik. Ingatkan dapatlah makan yang sedap-sedap tapi dipaksa makan roti saja. Kejam!
"Baru lepas joging, nak makan makanan berlemak pula," balas bosnya.
"Tapi saya lapar... roti kaya mana cukup," ujar Lisa. Walau apa pun dia mesti pertahankan perutnya. Tak baik buat perut memberontak.
"Kalau tak cukup, belajar cukupkan."
"Cis! Bos yang kejam," Lisa mengomel perlahan.
"Apa?"
"Err... terima kasih bos sebab sudi belanja saya makan," ucap Lisa sekali dengan senyuman lima saat. Memang betul-betul bukan senyuman yang ikhlas. Kalau dia tahu begini jadinya, lebih baik dia balik rumah dan beli nasi lemak tidak jauh dari rumahnya.
"Apa yang kau seronok sangat?" tegur Zul Zafri bila tengok Nazri kelihatan seperti menahan ketawa.
"Cerita kartun tu... lucu sangat," kata Nazri sambil tunjuk ke arah sebuah televisyen yang menayangkan cerita kartun.
"Umur dah tua bangka tapi masih melayan kartun..." perli Zul Zafri.
"Apa salahnya kalau layan kartun. Saya pun layan kartun untuk hilangkan stres. Kalau bos rasa bosan dan stres dengan Nazurah, saya cadangkan bos tengok kartun. Automatik bos takkan rasa terbeban dengan masalah." Lisa mencelah.
Nazri angguk laju-laju. Kali ini Lisa betul-betul kenakan Zul Zafri. Bravo! Nampaknya selama ini dia memandang rendah terhadap keupayaan Lisa. Walaupun Lisa nampak seperti perempuan tiada keyakinan tapi sikap Lisa yang cakap lepas itu sedikit sebanyak dapat mengubah hidup kawannya itu.
Tak lama kemudian, pesanan yang dipesan mereka sampai. Bos makan bubur nasi. Nazri makan soto. Lisa pula... tengok roti bakar dengan sedih. Ini tak boleh jadi. Semakin lama semakin kejam bosnya. Ini semua Nazurah punya pasal!
Betul! Dia perlu buat sesuatu. Dia perlu selamatkan hubungan bos dengan Nazurah. Jika tidak, dia akan menjadi mangsa kekejaman bos sampai bila-bila!
"Bos... mmm... kalau saya tanya bos jangan marah tau." Lisa memulakan mukadimah.
Zul Zafri menjeling tajam. Kecut perut Lisa. Belum tanya lagi, bosnya sudah balas begitu. Kalau silap tanya ni gerenti kena humban dalam gaung! Tapi walau apa pun dia mesti tanya juga. Ini bukan saja untuk kebahagiaan bos tapi untuk kebahagiaan dia juga. Dia pun mahu hidup dengan aman damai tanpa gangguan daripada bos.
Redah sajalah!
"Mmm... kenapa bos tak ajak Nazurah sekali hari ni? Lagipun kalau kita keluar berempat, jadi tak perlu takut kalau orang syak apa-apa."
Serta merta Zul Zafri tak ada mood hendak menjamah makanannya. Nazurah, Nazurah dan Nazurah! Kenapa semua orang asyik serang dia dengan nama yang akan mengubah moodnya! Tadi Nazri. Kini Lisa pula. Memang cari nahas betul!
"Bukan tak nak ajak, Lisa." Nazri bersuara.
"Habis tu?" tanya Lisa yang tak berani pandang muka bosnya. Dia dapat rasa aura bosnya tidak menentu. Nasib baiklah ada Nazri.
YOU ARE READING
PLOT CINTA UNTUK BIG BOSS
RomanceWARNING! INI HANYA PROMO. Yang tertulis di sini hanya setakat BAB 35 sahaja. Novel ini telah diterbitkan pada bulan Jun 2016 oleh PENERBITAN FAJAR PAKEER. PEMBELIAN ONLINE: Emelkan kepada order@fajarnovels.com.my ******* SINOPSIS Ini bukan cerita...