BAB 1
Enam tahun yang lalu...
"ZARA... you boleh tolong I tak?" suara manja Zarina menyapa Zara dari arah belakang. Zara yang pada ketika itu sedang mengibas-ngibas wajahnya dengan sehelai kertas yang dilipat dua akibat cuaca panas terik berpaling lambat-lambat menghadap wajah ayu Zarina. Asyik-asyik minta tolong sahaja. Dia sudah tidak ubah seperti kuli batak kepada Zarina.
Hendak mengeluh, dia bimbang Zarina bakal terasa hati dengannya. Dia ke sini untuk belajar dan bukan mencari musuh. Sekalipun dia sakit hati dengan Zarina, dia tidak akan memarahi gadis itu. Tetapi, bergantung kepada kesabarannya juga...
Siapa yang tak kenal Zarina? Dia perempuan paling popular di UiTM Jengka mengalahkan artis sahaja. Sebab apa dia menjadi popular begitu? Kerana dia sering berdampingan dengan jejaka pilihan ramai. Syed Irsyadul Firdaus. Sebab kedua, dia gedik terlampau dan sebab ketiga, dia sering menarik perhatian dengan menyertai pertandingan yang diadakan oleh pihak universiti. Pertandingan menyanyi, dia sertai juga meskipun suara sedap sikit sahaja dari suara katak panggil hujan. Hanya dia yang berani memalukan diri sendiri seperti itu, jadi tentu sekali dia dikenali ramai kerana sikap 'beraninya' yang tak bertempat itu.
Zara sendiri tidak tahu apa istimewanya lelaki yang bernama Syed Irsyadul Firdaus itu walhal, lebih ramai lagi lelaki yang lebih kacak daripada lelaki itu. Namun tidak dapat dinafikan oleh Zara sendiri bahawa lelaki itu mempunyai keistimewaannya yang tersendiri iaitu, lesung pipit dan senyuman manisnya... memang tiada tandingan.
Mungkin kerana itulah Irsyad menjadi jejaka pilihan ramai. Pernah sekali Zara terdengar ada seorang pensyarah muda yang jatuh hati pada Irsyad. Gila! Sebegini kuatkah aura seorang lelaki bernama Irsyad? Setahu Zara, Irsyad yang sering diperhatikan dalam diam ini merupakan seorang lelaki yang sangat sombong dan bongkak. Tidak hairanlah jika dia digandingkan dengan Zarina, si gadis metropolitan yang sombong, bongkak, gedik dan suka mencari publisiti.
Ada pelajar yang kata mereka sedang hangat bercinta. Ada juga berkata sebaliknya. Menurut sumber-sumber yang boleh dipercayai, Zarina itu bukan kekasih Irsyad kerana mereka belum pernah mendengar Irsyad memanggil Zarina dengan panggilan 'sayang', 'dear' or what-so-ever!
Tidak seperti pasangan bercinta yang lain. Irsyad hanya memanggil Zarina dengan panggilan Rina sahaja. Namun, panggilan tidak menentukan hubungan seseorang. Ada juga suami isteri yang hanya berbahasa 'aku kau'. Jadi tak mustahil bagi yang bercinta membahasakan nama mereka. Alasan itu tidak kukuh untuk dijadikan bukti bahawa merekas berdua tidak bercinta!
Zara sendiri pernah melihat dengan mata kepalanya sendiri betapa Irsyad mengambil berat akan Zarina. Sewaktu si Drama Queen itu berpura-pura jatuh sakit, Irsyadlah yang menghantarnya ke klinik dan mereka keluar makan bersama-sama. Nah! Ini buktinya! Takkanlah mereka tidak bercinta?
Tapi, siapa sebenarnya di hati Irsyad? Irsyad sendiri sudah jelas menunjukkan sikap buaya tembaganya apabila Zara perasan, mata Irsyad sering terpaku melihat seorang rakan kelasnya yang merupakan model sambilan di beberapa buah majalah. Gadis itu merupakan sahabat karibnya sendiri.
Shila! Shila merupakan seorang gadis yang sangat cantik. Rambut panjang yang sentiasa dibiar tidak berikat itu benar-benar menunjukkan karismanya. Setiap style yang digayakan oleh Shila bakal menjadi ikutan pelajar di universiti itu. Shila memang pandai bergaya. Bonus untuk dia!
YOU ARE READING
Something Stupid
RomanceCerita ni dah ada di kedai okey? Di bawah penerbitan Lovenovel Publication. :) Jadi, anda boleh dapatkannya di kedaii. Yahoo! Saya dihina oleh awak depan orang ramai, saya ditolak mentah-mentah. Bila saya datang nak menghulur bantuan...