BAB 7
SEPERTI yang dijanjikan oleh Aiman, mereka keluar pada malam itu ke kedai makan di B5. Ramai juga orang di situ. Mereka memilih gerai di hujung sekali. Aiman selalu melepak di situ. Zara menurut sahaja. Hmm. Entah apalah khabar berita Irsyad dan Shila sekarang ini ya? Tentu mereka berdua sedang berbahagia. Makan bersuap. Cemburu betul!!
"Zara nak makan apa?" soal Aiman apabila pelayan kedai makan itu menghampiri mereka untuk mengambil pesanan. Zara masih lagi terpinga-pinga. Aiman menanya makan apa tanpa suara kepadanya. Oh! Makan apa rupanya... itulah... sibuk sangat memikirkan Irsyad. Khayal lagi!
Zara pula berusaha memerah otaknya. Dia nak makan apa ya? Biasanya dia hanya makan di cafe atau dewan makan yang terdapat di kompleks siswi sahaja. Tak payah order, pelbagai jenis lauk ada djual di situ dan dia hanya tinggal pilih sahaja. Sekarang, berbeza benar! Sukarnya nak buat pilihan untuk benda yang tak ada kat depan mata!
"Err... Nasi goreng...." leretnya tak sudah. Dia meminta nasi goreng sebab perutnya terasa lapar. Tapi nasi goreng apa yang sedap? Nasi goreng belacan? Dah lama tak makan. Tapi, macam tak nak makan pulak hari ni. Nasi goreng lada hitam? Panas pulak badan malam nanti. Nasi goreng kampung? Alaa. Dah jemu pun. Nasi goreng cina? Nasi goreng pattaya? USA? Apa ni?!!!
"Ikan masin." Aiman akhirnya membantu dia membuat pilihan apabila perkataan 'goreng' itu dileret hampir dua minit lamanya. Zara mengangguk-anggukkan kepalanya. Ya! Bedallah labu!
"Nasi goreng ikan masin?" soal pelayan wanita itu meminta kepastian dan soalannya dibalas dengan anggukan Aiman. Zara mengeluh. Apa keslah dengan aku hari ni? Kenapa otak tak pandai nak berhenti memikirkan Irsyad? Apa istimewanya lelaki tu?
"Bagi dua." ujar Aiman selepas itu. Si pelayan mengangguk-angguk.
"Minum?" soal si pelayan lagi. Muka pelayan itu sudah nampak kebosanan melayan karenah Aiman dan Zara. Ambil pesanan untuk mereka berdua pun macam ambil pesanan untuk dua belas orang. Si gadis itu nampak macam tak ready langsung. Nanti fikirlah siang-siang nak makan apa. Kutuk si pelayan di dalam hati. Pelayan tersebut terlalu sibuk untuk terus berada di meja yang sama selama beberapa minit.
"Tea 'O' Ais dengan Carrot Susu." Aiman membuat pilihan untuk adiknya. Nanti dileretkan lagi. Macamlah dia tak kenal adiknya itu. Leret bukan main panjang, Tetapi akhirnya, menu yang biasa dia makan juga yang akan dipesan.
Setelah pelayan tersebut pergi, Aiman memandang ke wajah adiknya.
"Memang cadang nak mintak pelayan tu maki Zara kat sini ke apa?" sindir Aiman. Dia pula yang berasa geram dengan Zara akibat lewat meminta pesanan. Mujurlah bergelar adik. Kalau kawan, sudah lama dia terbalikkan meja itu.
"Alah. Biarlah. Kita sebagai pelanggan perlu membuat keputusan yang bijak. Tak boleh tergesa-gesa. Dan dia sebagai seorang pelayan, dia perlu banyak bersabar. Kalau tak pelanggan lari." si adik mula berceloteh menegakkan 'haknya'.
Aiman menggeleng-gelengkan kepalanya. Serentak itu, dirunyai-runyaikan rambut Zara. Ada sahaja alasannya!
"NAK makan apa ni, Shila?" soal Irsyad menyeluk poket seluar. Dia memandang ke kiri dan kanan. Amboi, bukan main ramai lagi orang di KFC itu. Shila pula dilihatnya sedari tadi duduk tak diam. Sekejap pandang jam, sekejap dia berSMS. Naik rimas Irsyad melihatnya. Entah berSMS dengan siapa entah?!
YOU ARE READING
Something Stupid
RomanceCerita ni dah ada di kedai okey? Di bawah penerbitan Lovenovel Publication. :) Jadi, anda boleh dapatkannya di kedaii. Yahoo! Saya dihina oleh awak depan orang ramai, saya ditolak mentah-mentah. Bila saya datang nak menghulur bantuan...