Bab 39 - 42

3.7K 84 9
                                    

39

'Siapa?" Persoalan itu berlegar di benak fikiran mereka. Tiada orang lain selain mereka, sepatutnya. Zariqa memandang ke arah Jo. Lelaki tampak panik. Dia menarik keluar pistol yang disisip daripada pinggangnya. Penghentak peluru ditarik. Bersedia jika musuh mula menyerang.

Jo diarahkan untuk berselindung di belakangnya. Jo hanya menurut. Dia tidak bersenjata. Berlindung langkah terbaik buat masa ini. Lagi-lagi dia merupakan target seterusnya. Pintu berdentum di tingkat bawah. Jika benar itu musuh, maknanya dia sudah berada di dalam rumah ini. Zariqa dan Jo berjalan perlahan, mara ke hadapan dengan penuh hati-hati. Zariqa mengangkat pistolnya lurus ke hadapan. Mengacu rambang.

Pinggan kaca di dapur jatuh berkecai. Bunyinya bergema.

Mereka bergerak menuju ke tangga. Merapat ke dinding, lalu satu persatu anak tangga itu dilangkah. Jo menarik batang penyangkut baju yang tersadai di tepi tangga. Cukuplah itu sebagai senjata. Boleh melindungi diri jika diserang. Langkah kaki perlahan, bak ninja. Langsung tidak berbunyi. Mereka tidak mahu menarik perhatian siapapun musuh yang sedang mereka hadapi.

Kelihatan langsir berkibar. Tiada kelibat yang melintas. Mereka makin berwaspada sebaik tiba di tingkat satu.

"Keluar kalau kau anak jantan!" jerit Zariqa. Jo sudah merenggang daripada belakang Zariqa. Dia bersiap sedia dengan batang besi di tangan.

Kerusi ditarik. Menarik perhatian. Mereka menoleh. Tiada orang. Kemudian, kedengaran pintu bilik ditutup. Zariqa menoleh laju.

"Keluar!"

Suasana menjadi sepi. Mereka memerhati sekeliling. Kedengaran bunyi kipas berhayun. Mereka mendongak. Kipas bergerak perlahan. Nampak gaya, kipas ini dibuka tadi dan ditutup semula. Gerangan apa yang bermain sembunyi-sembunyi ini?

"Kalau kau pembunuh bersiri, tak mungkin kau menyorok. Keluar!" jerit Zariqa. Jarinya bermain di picu pistol. Dia mencabar. Dalam masa yang sama, bersedia untuk bertindak balas.

Pinggan kaca berkecai lagi. Zariqa segera berlari ke dapur. Jo menurut sama. Pinggan kaca bersepai di lantai. Sedang Jo berlari, kakinya disadung. Dia tersungkur ke depan. Zariqa menoleh. Jo sedang terbaring.

"Jo!" panggilnya.

Dia lantas berlari.

"Zariqa!"

Satu tendangan layang mengena pada sisi tubuhnya. Dia terpelanting jauh. Tubuhnya menghentak kerusi dan meja makan. Berterabur. Dia terperosok di tengah-tenganya. Zariqa mengaduh.

Jo segera bangkit. Satu libasan tajam mengena pada mukanya. Satu susuk tubuh menendangnya. Zariqa melihat lelaki itu terlambung menghentak dinding. Ternyata tenaga pembunuh itu terlalu kuat. Dia segera bangkit mendapatkan Jo. Pembunuh berselubung kepala itu melemparkan kerusi ke arahnya. Dia memaut lengan Jo lalu melompat ke tepi. Kerusi menghentam lantai dan patah kakinya. Tawa bergema.

"Kuat!" jerit suara itu.

Jo disandarkan pada dinding. Namun, Jo berdegil untuk berdiri semula. Zariqa tiada masa untuk menghalang. Jo mengambil batang besinya yang terpelanting tadi. Lalu dia berlari laju mendapatkan si pembunuh. Hayunannya sekadar mencantas angin. Susuk itu mengelak dengan cekap. Zariqa tidak menunggu lama. Dia turut menyerang. Dia membuat satu tendangan layang. Juga mencantas angin. Lelaki itu menjauh.

"Kau siapa?" tanya Jo.

Dia ketawa. Berdekah-dekah. "Aku Loki. Selamat berkenalan." Sinis. Berselubung kepala serta bertopeng.

"Ini yang kacau I dulu."

Zariqa mengerutkan dahinya. Pembunuh bersiri muncul di depan mata mereka. Dia meraba pinggangnya. Pistol sudah tiada. Tercampak dek rempuhan sebentar tadi.

ROS - sebuah novel Naufal AzizeWhere stories live. Discover now